Soalan:
Saya tinggal satu hari puasa pada 2012. Saya tak
ganti puasa sampailah masuk Ramadan 2013. Selepas habis Ramadan 2013, saya
selesaikan hutang-hutang puasa. Tapi fidyah nya belum bayar. Sekarang dah masuk
Ramadan 2014, dan fidyah tu belum lagi dibayar. Adakah saya kena bayar dua kali
ganda fidyah yang dulu tu, padahal puasanya dah selesai.
Jawapan:
1. “Saya tinggal satu hari puasa pada 2012. Saya
tak ganti puasa sampailah masuk Ramadan 2013.”
Orang yang dikenakan qada dan fidyah ialah:
I)
Wanita mengandung yang berbuka puasa
kerana anaknya.
II)
Wanita menyusukan anak yang berbuka
puasa kerana anaknya.
III)
Seorang yang terpaksa berbuka kerana
menyelamatkan orang lain.
IV)
Melewat-lewatkan ganti puasa hingga
masuk Ramadan yang baharu dengan sengaja.
V)
Orang yang mati dengan meninggalkan
puasa.
Maka anda adalah golongan yang ‘melewat-lewatkan ganti puasa hingga masuk Ramadan yang baharu dengan
sengaja.’
Berkata pengarang kitab Fiqh Manhaji,
“Jika cuai dan tidak mengqadanya sehingga masuk
bulan Ramadan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqada puasanya serta membayar
fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan
penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut
bilangan tahun yang di langkaui nya.”
2. “Selepas habis Ramadan 2013, saya selesaikan
hutang-hutang puasa. Tapi fidyah nya belum bayar. Sekarang dah masuk Ramadan
2014, dan fidyah tu belum lagi dibayar.”
Satu hari tidak berpuasa Ramadan pada tahun 2012
(1433H) sehingga masuk Ramadan 2013 (1434H), maka kena qada puasa yang
tertinggal dan dikenakan satu fidyah sahaja. Kemudian anda selesai qada satu
hari puasa yang anda tinggal tahun 2012 selepas Ramadan tahun 2013 (1434H)
tanpa membayar fidyah. Kemudian, masuk Ramadan tahun 2014 (1435H) dan anda
masih tak menjelaskan satu fidyah tersebut. Maka anda hanya perlu menjelaskan
satu fidyah tersebut sahaja tanpa digandakan fidyah.
3. “Adakah saya kena bayar dua kali ganda fidyah
yang dulu tu, padahal puasanya dah selesai?”
Ustaz Azhar Idrus
berkata:
“Puasa yang sudah di qada tidak lagi berganda fidyah
nya. Bilangan fidyah hanya mengikut bilangan baki yang belum di qada sahaja.”
Allahu’alam.