AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Sabtu, 21 Disember 2013

Lafaz Nazar

Soalan:

Kalau (nazar) tak lafaz, tak perlu buat lah eh?

Jawapan: [1]

Ya. Nazar mesti dilafazkan.

Imam Yahya Bin Sharaf an-Nawawi didalam al-Majmu' menyebut:

"Tidak sah nazar melainkan dengan ucapan." 

Lafaz itu mestilah menunjukkan maksud mewajibkan diri melakukan amalan kebajikan tertentu.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Ustaz Muhammad Luqman Makhtar. 2012. al-Ustaz Isu 12: Harga Nama Allah, Merungkai Hukum Sumpah & Nazar. Fokus Isu 12; Kemelut Nazar, Sekadar Niat Bukannya Nazar. Telaga Biru Sdn Bhd. Kuala Lumpur m/s 25

Hukum Memakai Inai

Soalan:

Boleh ke buat ukiran inai pada tangan?


Jawapan:

HUKUM BERINAI[1]

Jumhur ulama berpendapat bahawa HARAM bagi lelaki memakai inai ataupun mewarnakan jari atau tangan kerana inai adalah khusus bagi para wanita.
Menurut Imam Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman as-Shafie, beliau tidak membenarkan lelaki memakai inai pada tangan dan kaki kerana pemakaian inai akan menyerupai perempuan KECUALI jika atas tujuan untuk perubatan ataupun darurat.

Menurut pandangan Imam Nawawi pula dalam Fatwa al-Majmu', lelaki diHARAMkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut. Dr.Yusuf al-Qaradawi didalam kitabnya,[2] memetik riwayat daripada Anas Bin Malik yang menyatakan bahawa Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab juga menggunakan inai di rambut. Bahkan menjadi sunnah untuk mewarnakan rambut dan janggut selain dengan warna hitam[3] (ketika sudah beruban). Cuma, inai adalah alat mengubah warna rambut dan janggut yang terkenal yang terdapat pada zaman baginda.[4]

UKIRAN INAI DITANGAN PEREMPUAN

Berkenaan ukiran inai yang telah dihias di tangan atau kaki, maka orang perempuan WAJIB menyembunyikan tangan atau kaki yang telah dihias dengan inai daripada mata orang yang haram melihatnya. [5]


INAI DAN PERUBATAN

Menurut guru kami, Ustaz Muhammad Kazim Elias al-Hafiz[6], kajian menunjukkan bahawa inai atau nama saintifknya Lawsonia Inermis boleh menjadi agen untuk anti bakteria dan anti fungus (kulat). Inai juga sangat berkesan dalam rawatan kaki berkulat, kulit berkulat dan bengkak-bengkak kerana sifatnya yang menyejuk.

Allahu'alam. Jom tanya asatizah yang lain.



RUJUKAN:

[1] Afiqme Mohamad (2013), Barakah Kahwin Muda, Kuala Lumpur: Pustaka Azhar. hlm. 112

[2] al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (Dr) (2014), Halal dan Haram Dalam Islam, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. hlm. 166

[3]Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid III, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 347

[4] Ustaz Azhar Idrus

[5]  al-Ustaz Isu 15, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd. hlm. 23

[6] Ustaz Mohamad Kazim Bin Elias al-Hafiz (2011), Doa & Penawar [Menurut Al-Quran & Al-Sunnah] Terpilih, Kuala Lumpur: InteamPublishing. hlm. 18

Jumaat, 13 Disember 2013

Doa Kulit Cerah

Soalan:

Kalau contoh kulit orang tu gelap tetapi doa dekat Allah, agar diputihkan kulit. Tu dikira tidak mensyukuri nikmat ya? Ke macam mana.

Jawapan:

"Itu doa yang tidak baik, doa tu menunjukkan yang kita tak reda. Sedangkan kita sepatutnya balik kepada Rasulullah.Perasan tak bila Rasulullah lantik Bilal Bin Rabbah menjadi orang kanan baginda, orang penting. Bilal Bin Rabbah orang yang sangat gelap kulit dia. Bilal Bin Rabbah walaupun orang yang sangat gelap kulit dia, ruh (bunyi tapak kaki) dia ketika hidup sudah berada dalam syurga. Itu doa yang melampaui batas. Tak boleh (berdoa sedemikian)."[1]

Guru saya[2] menyatakan bahawa tidak boleh berdoa agar berkulit cerah tetapi boleh berdoa agar diberi seri wajah.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Suntingan daripada Ustaz Amran Yusuf @Ustaz Bollywood
[2] Ustaz Suhaimi Abu Hassan

Rukun Qawliy

Soalan:

(Rukun) Qawliy dalam solat yang mana?

Jawapan:

Menurut mazhab Shafie, terdapat 13 rukun didalam solat.

13 Rukun tersebut ialah [1]:

1. Niat
2. Berdiri betul sekiranya mampu ketika bersolat fardhu
3. Takbiratul Ihram
4. Membaca surah al-Fatihah
5. Rukuk
6. I'tidal selepas rukuk
7. Sujud sebanyak dua kali pada setiap rakaat.
8. Duduk diantara dua sujud
9. Duduk tahiyyat akhir.
10. Membaca tasyahhud ketika duduk yang penghabisan
11. Berselawat ke atas Nabi selepas tasyahhud akhir
12. Salam yang pertama.
13. Tertib.

Daripada rukun-rukun ini, maka kita dapat ambil bahawa terdapat 5 rukun qawliy yang mesti dipatuhi.
Rukun Qawliy (percakapan), memerlukan seseorang itu bersuara sekurang-kurangnya didengari oleh telinga sendiri:

1. Takbiratul Ihram
2. Membaca Surah al-Fatihah
3. Membaca tasyahud akhir
4. Berselawat ke atas Nabi selepas tasyahhud akhir.
5. Memberi salam yang pertama.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Ahad, 8 Disember 2013

Membaca Ameen Membatalkan Solat?

Soalan:

Mengapa (Syiah) membaca ameen membatalkan solat? Saya tak faham.

Jawapan:

Menurut Syiah, membaca ameen didalam solat selepas surah al-fatihah akan membatalkan solat.

Ini adalah menurut pandangan ulama Syiah itu sendiri. 

Ayatullah Khomeini berkata:

"Dan sengaja mengucapkan amin selepas selesai membaca Fatihah (juga membatalkan sembahyang) kecuali kerana taqiyyah, tidak mengapa mengucapkannya."

(Tahriru al-Wasilah jilid 1 Halaman: 190)


RUJUKAN:

[1] Maulana Mohd. Asri Bin Yusof. Bahaya Syiah kepada Akidah, Syariah, Akhlak Ummah & Negara: Bahaya Kepada Akhlak. Terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan m/s 36

Isnin, 2 Disember 2013

Qunut Subuh

Soalan:

Rasulullah (S.A.W) Solat Subuh ada bacaan Doa Qunut tak? Kawan ana tanya.


Jawapan:

 Empat perkara sunat dilakukan ketika iktidal [1]:

1. Membaca bacaan yang sunat ketika iktidal.
2. Mengangkat tangan ketika iktidal
3. Berdiri tegak sebelum sujud
4. Membaca qunut di rakaat akhir pada solat subuh.

Di dalam mazhab Shafie, sunat ab'adh (sunat ab'adh jika tertinggal perlu diganti dengan sunat sujud sahwi pada akhir solat) membaca doa Qunut semasa iktidal dalam rakaat yang terakhir ketika bersolat subuh.[2]

Hadis Anas R.A., dia berkata yang maksudnya:

"Rasulullah S.A.W selalu membaca doa qunut ketika solat subuh hingga akhirnya baginda wafat."[3]


Hadis seterusnya[4],

Anas r.a telah ditanya, "Adakah Nabi S.A.W membaca qunut ketika solat subuh?"
Dia menjawab, Ya.

Lalu ditanya lagi, adakah baginda membacanya sebelum rukuk?
Dia menjawab, tidak berapa lama selepas rukuk.

Lafaz Qunut yang selalu digunakan[5]:


"Ya Allah, kurniakanlah diriku petunjuk dalam kalangan mereka yang mendapat petunjukMu,
Sihatkan dan selamatkan diriku dalam kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan dan keselamatan,
Tolonglah daku dalam kalangan mereka yang mendapat pertolonganMu.
Berkatilah nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku,
Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan,
Sesungguhnya Engkaulah penentu yang berkuasa ke atasMu.
Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan
dan tidak akan muliau orang yang Engkau musuhi.
Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci dan Yang Maha Tinggi."


Berdasarkan beberapa hadith sahih tentang berselawat ke atas Nabi S.A.W selepas doa dan zikir, para ulama mengatakan sunat ditambah dalam doa qunut: [6],


"BagiMu segala puian atas apa-apa yang Engkau tentukan.
Kami memohon keampunanMu ya Allah ya Tuhan kami, dan kepadaMu kami bertaubat.
Allah mengurniakan rahmat dan kesejahteraan kepada penghulu kami Nabi Muhammad yang ummiy (أمي) dan kepada seluruh keluarga dan para sahabatnya."



RUJUKAN:

[1] Ustaz Mohamamad Bin Abdullah @Ustaz Amin. Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab As-Syafie. Empat Perkara Sunat Ketika Iktidal m/s 64-66
[2] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1: bab Sunat Ab'adh. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
[3] Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnad,  Daruqutni dalam al-Sunan, Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, Abdul Razak dalam al-Mushannaf, Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf dan Thahawi dalam Syarah Ma'ani al-Athar
[4] Hadith Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim (677)
[5] Hadith Riwayat Abu Daud (1425)
[6] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan m/s 341

Batu Karbala

Soalan:

Apa kegunaan batu karbala yang Syiah gunakan dalam solat?

Jawapan:

Syiah sujud di atas tanah Karbala sebagai alas sujud dan keyakinan bahawa perbuatan itu mendapat pahala serta keutamaan bagi mereka.[1]

Perkara ini tidak ada dalil dalam agama, sekiranya benar sujud di atas batu Karbala itu itu satu ibadah, maka sudah tentulah akan diutamakan mengambil tanah daripada dua buah masjid suci iaitulah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Mereka juga mendakwa bahawa tanah Karbala itu boleh dimakan sebagai penawar yang boleh menghilangkan berbagai-bagai jenis penyakit.[2]


RUJUKAN:

[1] Ustaz Mohamad Bin Abdullah @Ustaz Amin. Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab As-Syafie; Bab Lapan: Perbahasan Mengenai Kesalahan Di Dalam Solat. m/s 117
[2] Maulana Mohd Asri Bin Yusuf. Bahaya Syiah Kepada Akidah, Syariah, Akhlak Ummah Dan Negara m/s 39

Khutbah Jumaat Tamat

Soalan:

Sah tak solat Jumaat dia kalau dia sampai, Khutbah dah habis. Solat Jumaat terus.

Jawapan: [1]

Jika jemaah yang mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka hukum orang yang datang lewat Jumaat tanpa mendengar khutbah adalah sah solat Jumaatnya tetapi mereka terlepas fadhilat mendengar khutbah. Namun jika orang yang hadir lewat itu menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang dari 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar. Demikianlah Fatwa daripada Syeikh Dr.'Ali Jum'ah.


RUJUKAN:

[1] Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. 60 Jawapan Bagi Soalan Anda: Solat Jumaat Tanpa Mendengar Khutbah m/s 35