AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Isnin, 28 Julai 2014

Solat bertayamum kemudian turun Hujan

Soalan:

Kalau dia dah bertayammum waktu tengah solat pastu hujan turun... macamana solat dia. Nak batalkan ke...?


Jawaban:


Perkara yang membatalkan  tayammum ada 4:

1. Perkara yang membatalkan wuduk.
2. Terdapat air
3. Berkemampuan menggunakan air tetapi sengaja menggunakan tayammum.
4. Murtad.

Berkata pengarang kitab Fiqh Manhaji[1]:

"...Tayammum terbatal apabila ada air namun solat dengan tayammum tetap sah dan tidak perlu diqadha' sekiranya air didapati selepas solat tersebut selesai. Begitu juga sekiranya air didapati setelah solat dimulai, solat tersebut boleh diteruskan dan hukumnya sah. Tetapi menghentikan solat itu untuk berwuduk dan bersolat semula dengan wuduk adalah lebih baik."

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji.(2011) Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid I. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Jumaat, 25 Julai 2014

Qada Puasa dan Fidyah


Soalan:

Saya tinggal satu hari puasa pada 2012. Saya tak ganti puasa sampailah masuk Ramadan 2013. Selepas habis Ramadan 2013, saya selesaikan hutang-hutang puasa. Tapi fidyah nya belum bayar. Sekarang dah masuk Ramadan 2014, dan fidyah tu belum lagi dibayar. Adakah saya kena bayar dua kali ganda fidyah yang dulu tu, padahal puasanya dah selesai.


Jawapan:

1.      Saya tinggal satu hari puasa pada 2012. Saya tak ganti puasa sampailah masuk Ramadan 2013.”

Orang yang dikenakan qada dan fidyah ialah[1]:

I)                   Wanita mengandung yang berbuka puasa kerana anaknya.
II)                Wanita menyusukan anak yang berbuka puasa kerana anaknya.
III)             Seorang yang terpaksa berbuka kerana menyelamatkan orang lain.
IV)             Melewat-lewatkan ganti puasa hingga masuk Ramadan yang baharu dengan sengaja.
V)                Orang yang mati dengan meninggalkan puasa.

Maka anda adalah golongan yang ‘melewat-lewatkan ganti puasa hingga masuk Ramadan yang baharu dengan sengaja.

Berkata pengarang kitab Fiqh Manhaji[2],

“Jika cuai dan tidak mengqadanya sehingga masuk bulan Ramadan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqada puasanya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang di langkaui nya.”

2.      Selepas habis Ramadan 2013, saya selesaikan hutang-hutang puasa. Tapi fidyah nya belum bayar. Sekarang dah masuk Ramadan 2014, dan fidyah tu belum lagi dibayar.”

Satu hari tidak berpuasa Ramadan pada tahun 2012 (1433H) sehingga masuk Ramadan 2013 (1434H), maka kena qada puasa yang tertinggal dan dikenakan satu fidyah sahaja. Kemudian anda selesai qada satu hari puasa yang anda tinggal tahun 2012 selepas Ramadan tahun 2013 (1434H) tanpa membayar fidyah. Kemudian, masuk Ramadan tahun 2014 (1435H) dan anda masih tak menjelaskan satu fidyah tersebut. Maka anda hanya perlu menjelaskan satu fidyah tersebut sahaja tanpa digandakan fidyah.

3.      Adakah saya kena bayar dua kali ganda fidyah yang dulu tu, padahal puasanya dah selesai?”
Ustaz Azhar Idrus[3] berkata:

“Puasa yang sudah di qada tidak lagi berganda fidyah nya. Bilangan fidyah hanya mengikut bilangan baki yang belum di qada sahaja.”

Allahu’alam.


[1] Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (2013), A-Z Soal Jawab Puasa, Solat Tarawih, Zakat Fitrah & Hari Raya m/s 157, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd
[2] Mustafa a-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), ‘Ali al-Syarbaji,(2011), Al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie (Terjemahan), Negeri Sembilan Darul Khusus: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
[3] Himpunan Soal Jawab Puasa Ustaz Azhar Idrus