AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Jumaat, 1 Ogos 2014

Tanam Tumbuhan di Kubur

Soalan:

Saya dengar ada seorang Ustaz meriwayatkan bahawa Nabi menanam pohon tamar di atas kubur bagi meringan beban orang tersebut. Benarkah ada pandangan menyatakan tidak boleh menanam pohon tamar diatas kubur? Boleh datangkan dari kedua-dua pandangan? Tq.

Jawaban:

Saya bercakap atas dasar ilmu yang telah dizahirkan kepada saya. Mohon rujuk kepada asatizah, masyaikh, dan 'alim ulama. Mereka lebih layak bercakap perihal agama berbanding saya.

Baik, kalau melihat didalam al-Quran, telah dinyatakan bahawa haiwan dan tumbuhan juga turut bertasbih kepada Allah. Firman Allah:

"Bertasbih kepada ALlah apa-apa yang ada dilangit dan apa-apa yang ada dibumi." (Surah al-Taghabun:1). Boleh juga rujuk surah al-Israk ayat 44.

Moga-moga dengan tasbih oleh bunga tersebut boleh memberi manfaat kepada yang berada dalam kubur.
Malah, dibolehkan menggunakan pelepah, ranting-ranting yang basah dan segar.[1]

Hadis baginda mengambil pelepah tamar dan mematahkannya kemudian meletakkan diatas kubur orang yang diazab sebab suka mengadu domba, dan kencing tak dibersihkan dengan betul adalah hadis Sahihain (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis tersebut, ulama menyatakan sunat meletakkan tumbuhan yang hidup dengan tujuan mendoakan penghuni kubur.[2]

Ibn Hajar al-Haitami dalam Fatawa al-Hadisiyyah menyatakan:

"Para ulama berinstinbat daripada perbuatan Nabi S.A.W mencacak dua pelepah tamar di atas kubur, untuk bolehnya mencacak pokok dan bunga..."

Adapun pandangan yang menyatakan sebaliknya adalah pandangan yang perlu dihormati. Berkata Bin Baz[3]:

"Perbuatan baginda menanam pelepah tamar hidup adalah kerana Allah memperlihatkan kepadanya azab yang dikenakan kepada mereka berdua. Perbuatan tersebut adalah khusus untuk baginda sahaja. Baginda tidak melakukan demikian di atas kubur yang lain." (Rujuk Majmu' Fatawa Syeikh Ibn Baz, jilid 5, halaman 497)

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Muhadir Bin Haji Joll (2014), Khilafiah, Kuala Lumpur: Inteam Records Sdn Bhd. h.535-537
[2] Muhammad Aizudin Haji Kamarul Zaman (2013), al-Ustaz Isu 14; Cara Hidup Islam, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd. h.104-105
[3] Yusof Arbain (2008), Jenazah [Himpunan Fatwa Muhammad Bin Soleh al-Munajjid, Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin, Abdul Rahman al-Barrak,Abdul Aziz Bin Baz beserta terjemahan kitab Ahkam al-Janaaiz wa Bida'uha oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani], Selangor Darul Ehsan: Karya Bestari. h.123