AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Sabtu, 21 Disember 2013

Hukum Memakai Inai

Soalan:

Boleh ke buat ukiran inai pada tangan?


Jawapan:

HUKUM BERINAI[1]

Jumhur ulama berpendapat bahawa HARAM bagi lelaki memakai inai ataupun mewarnakan jari atau tangan kerana inai adalah khusus bagi para wanita.
Menurut Imam Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman as-Shafie, beliau tidak membenarkan lelaki memakai inai pada tangan dan kaki kerana pemakaian inai akan menyerupai perempuan KECUALI jika atas tujuan untuk perubatan ataupun darurat.

Menurut pandangan Imam Nawawi pula dalam Fatwa al-Majmu', lelaki diHARAMkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut. Dr.Yusuf al-Qaradawi didalam kitabnya,[2] memetik riwayat daripada Anas Bin Malik yang menyatakan bahawa Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab juga menggunakan inai di rambut. Bahkan menjadi sunnah untuk mewarnakan rambut dan janggut selain dengan warna hitam[3] (ketika sudah beruban). Cuma, inai adalah alat mengubah warna rambut dan janggut yang terkenal yang terdapat pada zaman baginda.[4]

UKIRAN INAI DITANGAN PEREMPUAN

Berkenaan ukiran inai yang telah dihias di tangan atau kaki, maka orang perempuan WAJIB menyembunyikan tangan atau kaki yang telah dihias dengan inai daripada mata orang yang haram melihatnya. [5]


INAI DAN PERUBATAN

Menurut guru kami, Ustaz Muhammad Kazim Elias al-Hafiz[6], kajian menunjukkan bahawa inai atau nama saintifknya Lawsonia Inermis boleh menjadi agen untuk anti bakteria dan anti fungus (kulat). Inai juga sangat berkesan dalam rawatan kaki berkulat, kulit berkulat dan bengkak-bengkak kerana sifatnya yang menyejuk.

Allahu'alam. Jom tanya asatizah yang lain.



RUJUKAN:

[1] Afiqme Mohamad (2013), Barakah Kahwin Muda, Kuala Lumpur: Pustaka Azhar. hlm. 112

[2] al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (Dr) (2014), Halal dan Haram Dalam Islam, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. hlm. 166

[3]Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid III, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 347

[4] Ustaz Azhar Idrus

[5]  al-Ustaz Isu 15, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd. hlm. 23

[6] Ustaz Mohamad Kazim Bin Elias al-Hafiz (2011), Doa & Penawar [Menurut Al-Quran & Al-Sunnah] Terpilih, Kuala Lumpur: InteamPublishing. hlm. 18

Tiada ulasan:

Catat Ulasan