AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 19 April 2015

Membasuh Guna Mesin Basuh

Soalan:

Assalamualaikum.. boleh terangkan macam mana nak basuh pakaian yg bernajis menggunakan mesin basuh automatik kalau pakaian itu dicampur dengan pakaian yang tidak bernajis?? saya ada baca, jika dicampur keduanya maka semua pakaian itu bernajis..

Jawaban:
 
Wa'alaikumussalam.

Ia menjadi najis kerana air yang menakung pakaian yang terdapat najis telah berpindah pada air seterusnya menyebabkan pakaian yang terdapat dalam mesin basuh turut menjadi najis.

Walaupun proses ini menyebabkan pakaian tersebut menghilangkan kesan najis dari segi zat, bau, warna dan rasa, hukum pakaian ini adalah najis hukmi.

Cara untuk menghilangkan najis tersebut adalah mengalirkan air mutlak ke atas kesemua baju tersebut tanpa perlu dibilas atau diberus. Jika mesin basuh ada fungsi membilas maka ia akan menghilangkan najis tersebut.

Sebaiknya, hilangkan dahulu kesan najis pada pakaian yang bernajis kemudian baru masuk ke dalam mesin basuh.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

Al-Ustaz Isu 18, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm. 34- 3

Ustaz Azhar Idrus- Basuh Guna Mesin Basuh

Waktu Niat Puasa Ganti

Soalan:
Assalamualaikum. boleh tak kalau kita tak makan apa apa langsung pagi tu lepas tu kita terus niat untuk ganti puasa?
Jawaban:
 
Wa'alaikumussalam.

Untuk puasa yang wajib (termasuklah puasa ganti), tidak memadai berniat pada selepas waktu subuh. Adapun untuk puasa sunat maka harus hukumnya dengan syarat niat dilakukan sebelum waktu zuhur.

Allahu'alam


RUJUKAN:

Ahmad Adnan Fadzil (2012), A-Z Soal Jawab Puasa, Solat Tarawih, Zakat Fitrah dan Hari Raya, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm. 50

Berapa Dalam Api Neraka?


Soalan:
salam akh . minta rujukan hadis tntng batu yg dicampakkan selama 70 000/7000 000 tahun (kurang pasti) ke dlm neraka yg mana ketika rasulullah mengajar , tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang mana Rasulullah kata itu bunyi batu yg sudah smpai di lantai neraka.
Jawaban:
 
Daripada Abu Hurairah r.anhu, beliau berkata:

"Adalah kami bersama-sama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda: "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui." Lalu Nabi SAW bersabda: "Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak TUJUH PULUH TAHUN yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya."

(HR Muslim)

Boleh lihat hadis ke-9 didalam 40 Hadis Penawar Hati.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

Abu Ali al-Banjari al-Makki an-Nadwi (2007), 40 Hadis Penawar Hati, Kedah: Khazanah Banjariah. hlm 32-33

Berdosakah memfitnah

Soalan:

Assalammualaikum ustaz, saya nak tanya ni, kalau kawan kita menfitnah kita memang berdosa besar kan ustaz ?
 
 
Jawaban:
 
Wa'alaikumussalam
.
Dosa berbohong ketika menceritakan perihal orang lebih besar dari mengumpat. Demikian menurut guru kami Ustaz Syamsul Muhaimin.
.
Allahu'alam

Islam Kembali Pelik

Soalan:

ce xplain psl islam dtg dlm keadaan asing smpai penghujung hadis tuuuu


Jawapan:

Dari Abu Hurairah r.anhu berkata:

Bersabda Rasulullah SAW;

"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang. Dan ia akan kembali dagang. Maka beruntunglah (ﻓﻄﻭﺑﻰ) orang-orang yang dagang."

(HR Muslim)


Boleh lihat hadith ini pada Hadis kesembilan didalam 40 Hadis Akhir Zaman. Dagang didalam hadith ini bukan merujuk kepada nasi dagang tetapi merujuk kepada kalimah 'asing'.

Islam ni datang dalam keadaan sedikit sahaja penganut nya sedangkan musuh nya ramai.

Kemudian bila Islam dah tersebar, dah ada di dua pertiga dunia, Islam kembali asing. Islam kini ramai tetapi dirasa ganjil dari pandangan dunia. Bahkan umat Islam sendiri yang merasa pelik dengan Islam.

Orang yang belajar di universiti tetapi tak ada gilefriend. "Eh pelik."

Orang yang berbisnes tetapi tak nak ambil rasuah. "Eh pelik."

Hudud... "Eh pelik"

Nak solat awal jap. "Eh pelik."

Tutup aurat. "Eh pelik."

Umat Islam yang berpegang dengan Islam dikira pelik. Bukan si Unknown yang dalan Lawak Kampus tu. Yang tak nak terima Islam, dianggap biasa-biasa je. Ek eleh bro.

Maka beruntunglah orang-orang yang pelik. Guru kami Ustaz Syed Mohd Norhisham bin Tuan Padang al-Idrus mendatangkan pandangan ulama tentang kalimah ﻓﻄﻭﺑﻰ (fatuubaa-beruntunglah) merujuk kepada sejenis pokok di dalam Syurga. Bermakna dia akan dapat sebuah pokok didalam Syurga. Nak tanya, kalau dia dapat pokok dalam syurga, dia masuk Syurga tak?
.
Allahu'alam. 
RUJUKAN:
Abu Ali al-Banjari an-Nadwi al-Maliki (2008), 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Kedah: Khazanah Banjariah hlm. 28-29