AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 27 Ogos 2017

Memotong Kuku Ketika Haid

Soalan:

Boleh ke potong kuku dalam keadaan haid?

Jawaban:

Ulama seperti Imam Khatib al-Syarbini (w. 977H) dalam Mughni Muhtaj, Imam Ghazzali (w. 505H) dalam Ihya' Ulumiddin dan lain-lain menyebut tentang larangan ini.[1] Namun larangan ini dihukumkan dengan hukum makruh.[2]

Mereka melarang orang yang sedang berjunub memotong kuku, rambut atau bulu-bulu yang terdapat di tubuh mereka disebabkan khuatir anggota-anggota tersebut akan dibangkitkan diakhirat kelak dalam keadaan berjunub. Ada juga pendapat mengatakan kerana setiap bulu tadi akan menuntut daripada tuannya kerana ia masih belum suci.

Namun pandangan ini boleh ditolak kerana, kaedah fiqh menyebutkan:

"Setiap perkara adalah HARUS selagi tiada dalil yang melarang atau menegahnya."

Nabi dalam Hadith juga pernah berpesan kepada wanita yang uzur agar menyikat atau meramas-ramas rambut mereka ketika mandi wajib. Sedangkan kita tahu perbuatan tersebut boleh menyebabkan rambut-rambut berguguran sebelum mandi wajib selesai.

Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Khasim berpesan:

"Sesiapa sahaja yang berbuat demikian sama ada lelaki atau wanita tidak perlu menyimpan bahagian anggota yang dipotong itu untuk dimandikan bersama mereka ketika mandi wajib.


Menurut Syaikh 'Athiyyah Saqr rahimahullah (w. 1427H) didalam Ahsanul Kalam, Nabi Sallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:


أَلْقِ عَنْكَ شِعْرَ الكُفْرِ وَاخْتَتِن

"Buanglah daripadamu rambut kekufuran (penampilan orang kafir) dan berkhatanlah."

Jelas disebutkan di dalam hadith Riwayat Abu Daud ini, Nabi berpesan pada sahabat yang baru memeluk agama Islam agar membuang segala bulu yang tumbuh di tubuh mereka sebelum Islam. Kalau benar terdapat larangan memotong kuku, rambut dan sebagainya mesti baginda Nabi SAW akan melarang para sahabat dari membuang bulu-bulu di tubuh mereka sebelum Islam.[3]

Ulama menolak pandangan yang mengatakan terdapat larangan memotong kuku, rambut dan sebagainya bagi orang yang haid, namun terdapat larangan makruh bagi mereka memotong kuku, rambut dan sebagainya apabila masuk 1 zulhijjah sehingga selesai membuat korbannya.[4]

Adapun, perkara yang diharamkan oleh kerana haidh ialah[5]:

1. Solat
2. Membaca, menyentuh dan menanggung al-Quran.
3. Berhenti didalam masjid
4. Lalu didalam masjid jika dikhuatiri mencemarkan masjid.
5. Tawaf
6. Puasa
7. Persetubuhan, bercumbuan dan menggauli isteri diantara pusat hingga ke lututnya.

Allahu'alam.




RUJUKAN

[1] al-Ustaz Isu 06, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sd. Bhd. hlm. 33

[2] ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/memotong-rambut-dan-kuku-ketika.html?m=1

[3] al-Ustaz Isu Perdana, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm. 8

[4] https://www.youtube.com/watch?v=SKg9sVYtHYY&feature=youtube_gdata_player

[5] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid 1, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 180- 186