Soalan:
Rasulullah (S.A.W) Solat Subuh ada bacaan Doa Qunut tak? Kawan ana tanya.
Jawapan:
Empat perkara sunat dilakukan ketika iktidal [1]:
1. Membaca bacaan yang sunat ketika iktidal.
2. Mengangkat tangan ketika iktidal
3. Berdiri tegak sebelum sujud
4. Membaca qunut di rakaat akhir pada solat subuh.
Di dalam mazhab Shafie, sunat ab'adh (sunat ab'adh jika tertinggal perlu diganti dengan sunat sujud sahwi pada akhir solat) membaca doa Qunut semasa iktidal dalam rakaat yang terakhir ketika bersolat subuh.[2]
Hadis Anas R.A., dia berkata yang maksudnya:
"Rasulullah S.A.W selalu membaca doa qunut ketika solat subuh hingga akhirnya baginda wafat."[3]
Hadis seterusnya[4],
Anas r.a telah ditanya, "Adakah Nabi S.A.W membaca qunut ketika solat subuh?"
Dia menjawab, Ya.
Lalu ditanya lagi, adakah baginda membacanya sebelum rukuk?
Dia menjawab, tidak berapa lama selepas rukuk.
Lafaz Qunut yang selalu digunakan[5]:
"Ya Allah, kurniakanlah diriku petunjuk dalam kalangan mereka yang mendapat petunjukMu,
Sihatkan dan selamatkan diriku dalam kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan dan keselamatan,
Tolonglah daku dalam kalangan mereka yang mendapat pertolonganMu.
Berkatilah nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku,
Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan,
Sesungguhnya Engkaulah penentu yang berkuasa ke atasMu.
Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan
dan tidak akan muliau orang yang Engkau musuhi.
Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci dan Yang Maha Tinggi."
Berdasarkan beberapa hadith sahih tentang berselawat ke atas Nabi S.A.W selepas doa dan zikir, para ulama mengatakan sunat ditambah dalam doa qunut:
[6],
"BagiMu segala puian atas apa-apa yang Engkau tentukan.
Kami memohon keampunanMu ya Allah ya Tuhan kami, dan kepadaMu kami bertaubat.
Allah mengurniakan rahmat dan kesejahteraan kepada penghulu kami Nabi Muhammad yang ummiy (أمي) dan kepada seluruh keluarga dan para sahabatnya."
RUJUKAN:
[1] Ustaz Mohamamad Bin Abdullah @Ustaz Amin.
Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab As-Syafie. Empat Perkara Sunat Ketika Iktidal m/s 64-66
[2] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji.
Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1: bab Sunat Ab'adh. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
[3] Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnad, Daruqutni dalam al-Sunan, Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, Abdul Razak dalam al-Mushannaf, Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf dan Thahawi dalam Syarah Ma'ani al-Athar
[4] Hadith Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim (677)
[5] Hadith Riwayat Abu Daud (1425)
[6] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji.
Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan m/s 341