AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Jumaat, 31 Januari 2014

Maksud "Masjid" Yahudi dan Nasrani

Soalan:

"Sesungguhnya Allah melaknat golongan Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid."[HR Bukhari]

Apa maksud hadis ni?

Jawaban:

Hadis ini menjelaskan bahawa ada hadnya dalam menzahirkan rasa cinta kepada para Nabi dan orang-orang soleh. Ia bukanlah dengan menjadikan kubur mereka sebagai tempat sujud dan meminta pertolongan.[1]


RUJUKAN:

[1] al-Ustaz Isu 17. Imam Muda: Ustaz Asyraf Bin Ridzuan. Pemuda Wasatiyyah. m/s 83 

Khamis, 30 Januari 2014

Sembelih Ketika Hadas Besar

Soalan: 

Assalamu'alaikum. Ada soalan. Apa hukum sembelihan jika seorang itu dalam keadaan berhadas besar yakni belum mandi wajib. Adakah sembelihan yang dilakukan sah?

Jawaban:

Waalaikumussalam.

Untuk menjawab permasalahan ini, saya merujuk didalam kitab Fiqh Manhaji al-Syafie'[1];

Jika kita melihat syarat sah penyembelihan; ada 3 syarat yang dikenakan untuk tukang sembelih:

1. Penyembelih hendaklah beragama Islam atau ahli kitab.
2. Penyembelih bukan ahli kitab yang telah diselewengkan.
3. Penyembelih tidak menyembelih dengan nama selain Allah.

Menurut pengarang kitab tersebut apabila terdapat ketiga-tiga syarat penyembelihan tersebut, maka HALALlah sembelihannya sama ada dia lelaki atau perempuan, kecil atau besar, mumayyiz atau tidak, mabuk atau gila, dan sebagainya selagi dia mampu menyembelih, dan mempunyai niat tersebut.

Saya bertanyakan permasalahan ini kepada guru saya dalam bab Fiqh Ibadat, beliau menjawab[2]:

"Boleh tak ada masalah... Dia tidak menjadi syarat kepada penyembelih sama ada dia dah bersuci ataupun tidak."

Wallahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid III. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan 
[2] Ustaz Aizol Ismon.

Isnin, 20 Januari 2014

Surah al-Kahf Ayat 104

Soalan:

Apa maksud ayat al-Kahfi 104…maksud mensia-siakan perbuatan?

Jawapan:

Menurut Ustaz Abdul Razak Mutalib[1], Mereka adalah orang-orang yan mensia-siakan perbuatan mereka semasa hidup di dunia, sedangkan mereka menyangka mereka tu dah melakukan perkara sehabis baik. Sedangkan dalam ayat sebelumnya iaitu pada ayat 103, Allah kata tu golongan yang paling rugi.

Maksud ayat tersebut, menurut Ibn Khateer ialah orang-orang yang mengerjakan perbuatan yang sesat dan tidak berlandaskan syariat yang ditetapkan serta perbuatan yang tidak diredai dan diterima oleh Allah.[2]

Syed Qutub pula di dalam tafsirnya[3] menjelaskan usaha sia-sia itu merujuk kepada usaha-usaha itu tidak membawa kepada hidayat dan tidak membawa mereka kepada sesuatu faedah atau matlamat.

 وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّہُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا

Oleh sebab mereka terlalai, mereka tidak sedar bahawa usaha-usaha mereka sia-sia dan hilang percuma. Mereka terus melakukan usaha-usaha yang sesia dan sesat itu dan menghabiskan masa hidup mereka dengan percuma.

Sebab itu dalam ayat 105 surah ini Allah menggunakan kalimah habitot (حَبِطَتۡ) bererti penyakit kembung yang dihidapi binatang ternakan apabila ia termakan sejenis rumput yang beracun. Orang yang  melakukan amalan sia-sia diumpamakan sebagai yang memiliki penyakit.  

Penyakit ini boleh membawa maut. Ia kelihatan kembung dan mengelembung besar sehingga para pelakunya menyangka bahawa amalan-amalan itu benar-benar baik, berjaya dan menguntungkan. Namun hakikat yang sebenarnya ia membawa kepada kebinasaan.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Abdul Razak Mutalib. Hikmah Surah al-Kahf
[2] Ustaz Yusuf Arbain
[3] Syed Qutub. Fi Zilalil Quran. Surah al-Kahf

Tinggal Tahiyat Awal

Soalan:

Kalau saya tinggalkan tahiyat awwal batal tak solat saya?

Jawaban:

Kalau kita lihat pandangan di dalam mazhab hanafi, adalah tidak batal meninggalkan tahiyat awal tetapi wajib menunaikan sujud sahwi selepas salam.  Dalam pegangan mazhab hanbali pula, batal solat sekiranya meninggalkan tahiyat awal dengan sengaja.[1]

Adapun mazhab Shafie, kalau lihat dalam Fiqh Manhaji[2], tahiyyat awal ini adalah sunat ab'adh; sunat yang dituntut. Sekiranya tertinggal SUNAT mengerjakan sujud sahwi.

Allahu'alam


RUJUKAN:

[1] Dr.Zaharuddin Abdul Rahman. Formula Solat Sempurna Edisi Kemas Kini. 2012. Telaga Biru Sdn Bhd. Selangor Darul Ehsan.
[2] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Sabtu, 11 Januari 2014

Sujud Baca al-Fatihah

Soalan:

Kita tengah sujud. Tetiba baca al-Fatihah. Batal tak solat?


Jawapan:

Termasuk perkara yang disunatkan sujud sahwi ialah melakukan sesuatu rukun atau sunat pada bukan tempatnya.

Perkara yang diSUNATkan sujud sahwi[1]:

1. Meninggalkan satu daripada sunat Ab'adh seperti tasyahud yang pertama dan qunut.
2. Meragui bilangan rakaat.
3. Tidak sengaja melakukan perbuatan yang ditegah jika disengajakan akan membatalkan solat.
4. Memindahkan sesuatu perbuatan solat sama ada rukun atau sunat ab'adh atau surah yang dipindahkan kepada bukan tempatnya.

Dalam permasalahan ini, saudara telah melakukan rukun qawliy pada rukun fi'li maka saudara disunatkan sujud sahwi sebelum salam.


RUJUKAN:

[1] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, dan 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid 1. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Hukum lukisan

Soalan:

Melukis benda hidup (manusia, haiwan) berdosa kan?

Jawapan:

Suka saya memetik soalan yang diutarakan kepada Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Nor[1],

"Seorang jiran saya bekerja sebagai seorang kartunis. Ia melukis kartun untuk buku-buku pendidikan dan dakwah. Adakah wang yang ia dapatkan daripada pekerjaan itu halal?"

Maka Ustaz menjawab,

"Hukum asal bagi lukisan di atas papan atau kertas adalah MAKRUH seperti yang dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Namun sekiranya lukisan ini untuk pembelajaran atau dakwah, maka saya berpendapat ianya harus kerana terdapat hajat. Ini berdasarkan kaedah yang menyatakan bahawa hukum makruh gugur jika terdapat hajat padanya." 

Ustaz Azhar memberikan jawapan harus melukis, "macam untuk pelajaran,...atau kita lukis tu sebab nak jadi isyarat tepi jalan...Jangan lukis benda hidup untuk jadikan perhiasan."[2]


RUJUKAN

[1] Al-Ustaz Isu 13; Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor Wasatiyyah: Hukum Patung, Lukisan dan Foto