AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 16 November 2014

Usia Aisyah Ketika Berkahwin dengan Nabi

Soalan:

Ketika umur berapa ya Rasulullah menikahi Siti Aisyah?

Jawaban:

Umur Aisyah r.anha ketika menikahi Rasulullah S.A.W ialah pada usia enam tahun dan tinggal serumah dengan Nabi pada usia sembilan tahun.

Daripada Aisyah:

"Rasulullah menikahiku ketika aku berusia enam tahun. Dan Baginda tinggal bersamaku apabila aku berusia sembilan tahun."

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saya meminjam tulisan Ustaz Umar Muhammad Nor berkaitan status hadith ini[1]:

1. Hadis ini terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

2. Hadis ini direkodkan oleh Hisyam bin Urwah daripada ayahnya (Urwah bin al-Zubair) daripada Aisyah.

3. Sanad  ini sangat sahih dengan rangkaian para perawi yang thiqah (dipercayai)

4. Hadith ini diriwayatkan oleh Hisyam bin Urwah sebelum hafalan Hisyam didapati lemah apabila berkunjung ke Baghdad.

Manakala umur baginda Rasulullah S.A.W ketika mengahiwini Aisyah r.anha pada umur 51 tahun. Rasulullah S.A.W melangsungkan akad nikah dengan Aisyah r.anha pada tahun kedua sebelum Hijrah. Namun baginda menggaulinya sesudah dua tahun selepas hijrah.[2]

Tokoh terawal yang meragui status usia perkahwinan Aisyah r.anha antaranya ialah Abbas Mahmud Aqqad dari Mesir dalam bukunya al-Siddiqah bint al-Siddiq namun dibantah oleh Ahmad Syakir dalam Kalimat al-Haq. Manakala tokoh kontemporari yang meragui status usia Aisyah r.anha ialah Habibur Rahman Kandhalawi dalam pembentangan kertas kerjanya.

Pandangan beliau juga boleh dipertikaikan kerana ada riwayat yang menjelaskan sifat keanak-anakan Aisyah r.anha di antaranya sifat Aisyah r.anha yang masih bermain patung[3]:

Mafhum hadith:

"Aku biasa bermain-main dengan anak-anak perempuan (boneka perempuan) disisi Rasulullah S.A.W dan kawan-kawanku datang kepadaku kemudian mereka menyembunyikan boneka-boneka tersebut kerana takut kepada Rasulullah S.A.W, tetapi Rasulullah S.A.W sebenarnya suka dengan kedatangan kawan-kawanku itu, kemudian mereka bermain-main bersama aku."

(Muttafaq 'alaih)

Kita tidak boleh mengatakan Rasulullah itu mempunyai penyakit pedophilia kerana baginda berkahwin dengan Aisyah r.anha yang berumur sangat muda. Kita tidak boleh mengukur umur perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W dengan Aishah r.anha yang berumur sembilan tahun dengan zaman sekarang tetapi harus disesuaikan dengan budaya zaman itu. Bahkan mengikut sejarah, sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad, Aisyah r.anha sudah pun bertunang dengan Jober Ibn al-Moteam Ibn Ubai. Ini menunjukkan bahawa amalan tersebut tidak bercanggah dengan amaln pada masa tersebut.[4]

Sebagai nota tambahan, menurut mazhab yang empat, Islam tidak menetapkan had bilangan umur untuk bernikah.[5] Namun kalau dilihat didalam seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 memperuntukkan[6]:

"Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu."

Peruntukan ini memperuntukkan had umur untuk berkahwin menurut mahkamah syariah bagi menyelidiki status perempuan tersebut seperti latar belakang, fizikal, kemampuan berumah tangga bagi menjaga kepentingan perempuan tersebut.

Menurut Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin selaku pengamal undang-undang:

"Peruntukan ini adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan masyarakat agar tidak ada sesuatu perkahwinan yang dibuat kerana paksaan atau kerana hutang atau tujuan  yang memudharatkan mengikut pandangan syarak ataupun wali iaitu bapa dan datuk berniat jahat sehingga memaksa terjadinya perkahwinan tersebut."[7]

RUJUKAN:

[1] (2014) Al-Ustaz Isu 20, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 76
[2] (2014) Al-Ustaz Isu 22, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm. 17
[3] Afiqme Mohamad (2013), Barakah Kahwin Muda, Kuala Lumpur: Pustaka Azhar hlm. 44 dan 45
[4] Faisal Abdurrahman (2012), Tuhan Untuk Semua, Kuala Lumpur: PTS Islamika Sdn. Bhd. hlm. 89
[5] http://www.islam.gov.my/e-hadith/perkahwinan-rasulullah-saw-dengan-aisyah-ra
[6] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 Dan Kaedah-Kaedah & Islamic Family Law (State Of Selangor) Enactment 2003 And Rules (Hingga 1hb April 2011), Selangor Darul Ehsan: International Law Book Services hlm. 91
[7] Muhamad bin Abdullah (2010), Panduan Keluarga Bahagia, Selangor Darul Ehsan: Majlis Agama Islam Selangor hlm. 26

Jumaat, 14 November 2014

Sekalikan Niat Mandi Wajib dan Wuduk

Soalan:

Nak tanya, boleh ke sekalikan niat wuduk hadas kecil dengan wuduk biasa?


Jawaban:


Baik, saya kira saudara terkeliru dengan hadas kecil, hadas pertengahan dan hadas besar. Saya perjelaskan dahulu apa beza hadas kecil dengan hadas besar[1]:

1. Hadas kecil

Apabila batalnya wuduk, maka seseorang itu akan berhadas kecil.

2. Hadas pertengahan

Apabila seseorang itu berjunub dengan cara bersetubuh dengan isteri (sekalipun tidak keluar mani) atau mengeluarkan mani dengan sengaja atau tidak sengaja.

3. Hadas besar

Apabila seseorang itu didatangi haidh atau nifas.


TERANGKATKAH WUDUK DENGAN MANDI WAJIB?

Jadi saya simpulkan soalan sebenar saudara ialah:

"Nak tanya, boleh ke sekalikan niat mandi wajib dengan wuduk biasa?"


Berkenaan dengan permasalahan saudara, saya nukilkan pandangan Ustaz Muhammad Raji Musa[2]:

"Ya, hadas kecil boleh terangkat sekali apabila kita berniat mengangkat hadas besar. Ini merupakan pandangan yang kuat dalam mazhab Shafii.

Justeru, sekiranya seseorang melakukan mandi wajib, maka ia tidak lagi wajib berwuduk setelahnya. 

Sama ada niat mandi wajib itu dihimpunkan dengan niat wuduk ataupun tidak. 

Sama ada dia membasuh anggota wuduknya secara tertib ataupun tidak.

Sekiranya dia berhadas (Ustaz maksudkan hadas kecil iaitu perkara yang yang membatalkan wuduk-penulis) ketika mandi wajib dan selepas membasuh semua anggota wuduk, maka mandi wajibnya sah. Namun wajib ke atasnya berwuduk sekiranya ingin bersolat.

Perkara yang membatalkan wuduk itu misalnya menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, terkentut ataupun keluar air kencing."


RUJUKAN:

[1] Ahmad Adnan Fadzil (2012), 30 Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 21
[2] (2011), Al-Ustaz Isu 23, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 35