AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Jumaat, 14 November 2014

Sekalikan Niat Mandi Wajib dan Wuduk

Soalan:

Nak tanya, boleh ke sekalikan niat wuduk hadas kecil dengan wuduk biasa?


Jawaban:


Baik, saya kira saudara terkeliru dengan hadas kecil, hadas pertengahan dan hadas besar. Saya perjelaskan dahulu apa beza hadas kecil dengan hadas besar[1]:

1. Hadas kecil

Apabila batalnya wuduk, maka seseorang itu akan berhadas kecil.

2. Hadas pertengahan

Apabila seseorang itu berjunub dengan cara bersetubuh dengan isteri (sekalipun tidak keluar mani) atau mengeluarkan mani dengan sengaja atau tidak sengaja.

3. Hadas besar

Apabila seseorang itu didatangi haidh atau nifas.


TERANGKATKAH WUDUK DENGAN MANDI WAJIB?

Jadi saya simpulkan soalan sebenar saudara ialah:

"Nak tanya, boleh ke sekalikan niat mandi wajib dengan wuduk biasa?"


Berkenaan dengan permasalahan saudara, saya nukilkan pandangan Ustaz Muhammad Raji Musa[2]:

"Ya, hadas kecil boleh terangkat sekali apabila kita berniat mengangkat hadas besar. Ini merupakan pandangan yang kuat dalam mazhab Shafii.

Justeru, sekiranya seseorang melakukan mandi wajib, maka ia tidak lagi wajib berwuduk setelahnya. 

Sama ada niat mandi wajib itu dihimpunkan dengan niat wuduk ataupun tidak. 

Sama ada dia membasuh anggota wuduknya secara tertib ataupun tidak.

Sekiranya dia berhadas (Ustaz maksudkan hadas kecil iaitu perkara yang yang membatalkan wuduk-penulis) ketika mandi wajib dan selepas membasuh semua anggota wuduk, maka mandi wajibnya sah. Namun wajib ke atasnya berwuduk sekiranya ingin bersolat.

Perkara yang membatalkan wuduk itu misalnya menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, terkentut ataupun keluar air kencing."


RUJUKAN:

[1] Ahmad Adnan Fadzil (2012), 30 Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 21
[2] (2011), Al-Ustaz Isu 23, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 35

Tiada ulasan:

Catat Ulasan