AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Isnin, 27 Oktober 2014

Mani dan Haidh

Soalan:

Nak tanya boleh. Betul tak?


Jawaban:

Ya. InsyaAllah, betul.

1. MANI

Wuduk terbatal sebab keluar sesuatu daripada qubul dan dubur (dua jalan) iaitu air kencing dan berak.[1] Ini berdalilkan surah an-Nisa' ayat 43 (4:43). Didalam  kitab Fiqh Manhaji, pengarang menambah perkara yang menyebabkan terbatal disebabkan keluar sesuatu daripada qubul dan dubur iaitu darah, dan kentut sekalipun yang keluar itu suci.[2]

Guru saya: Ustaz Aizol Ismon -Semoga Allah melindunginya- mensyarahkan perkara ini, termasuklah guli dan cacing walaupun cacing tersebut hanya keluar sekejap selepas itu masuk semula didalam punggung, tetap membatalkan wuduk.[3] Adapun dengan sebab keluarnya air mani tidak akan membatalkan wuduk namun hanya sekadar diwajibkan mandi hadas.[4]

Mengeluarkan mani sama ada dengan sengaja atau tidak adalah hadas مُتَوَسِّطَة mutawassitah (pertengahan).[5] Air mani adalah cairan tubuh yang keluar dari zakar lelaki hasil daripada nafsu syahwat dan dikeluarkan oleh kelenjar seksual manakala proses persenyawaannya disebut pancutan.[6]

Sehubungan dengan itu, orang yang berhadas dengan hadas mutawassitah adalah di HARAMkan untuk berhenti atau menetap didalam masjid. Adapun sekadar melalui atau melintas dari pintu ke pintu masjid contohnya, maka tidak mengapa dan hukumnya harus.[7] Ini adalah kerana ia tidak berhenti dan menetap didalam masjid. Begitu juga dengan puasa, puasa tidak termasuk dalam larangan ini bagi orang yang mengeluarkan mani dengan TIDAK SENGAJA.[8]


Hukum air mani adalah suci tetapi air mani tidak menyucikan.[9] Air mani tidak termasuk dalam kategori najis. Jika terdapat air mani yang keluar, hanya perlu mandi wajib sahaja. Seperti kata pengarang kitab Muin al-Mubin;

"...Maka jika dijadikannya mani hendaklah ia mandi, tetapi kalau bukan, cukuplah dengan berwudhu' dan membasuh setakat mana yang mengenainya sahaja."[10]


2. HAIDH

Haidh adalah darah kotor yang keluar dari rahim perempuan yang bukan darah penyakit.[11] Datang haidh atau nifas adalah dinamakan sebagai hadas أكبر akbar (besar).[12] Darah adalah najis termasuklah darah binatang.[13] dan perlu difahami bahawa:

1. Bukan darah orang yang mati, kerana darah orang yang mati syahid adalah suci.
2. Bukan darah dari hidupan didalam air
3. Darah tersebut banyak dan mengalir.

Bahkan, darah haidh adalah najis, menurut kesepakatan ulama. [14]

Jika keluar haidh, maka terbatal wuduk. Ini adalah kerana wuduk terbatal jika keluar darah daripada qubul dan dubur.[15]

Diantara pengharaman bagi perempuan yang haidh ialah berhenti didalam masjid.[16] Bahkan jumhur ulama' mazhab mengatakan HARAM bagi mereka yang haidh duduk di dalam masjid.[17] Berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari:

 عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ
 أَمَرَنَا نَبِيُّنَا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَنْ نُخْرِجَ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ 

وَعَنْ أَيُّوبَ عَنْ حَفْصَةََ بِنَحْوِهِ وَزَادَ فِي حَدِيثِ حَفْصَةََ قَالَ أَوْ قَالَتْ

 الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الخُدُورِ وَيَعْتَزِلْنَ الْحُيَّضُ المُصَلَّى

"Daripada Ummu Atiyyah telah berkata:

Nabi kamu S.A.W memerintahkan kami supaya mengeluarkan wanita-wanita dan anak-anak gadis (pada hari raya).

Dan daripada Ayyub daripada Hafsah dengan lafaz yang serupa dan dia menambah dalam riwayatnya, dia (Ayyub) atau Hafsah berkata:

wanita-wanita dan anak-anak gadis, dan mereka yang didatangi haid hendaklah mengasingkan diri dari tempat solat."


Begitu juga HARAM melintasi masjid sekiranya dibimbangi akan mencemarkan masjid.[18] Sekiranya kebimbangan itu tiada, maka tiada masalah untuk melintasi didalam masjid.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] 'Abdul Hamid Hakim (2013), Muin al-Mubin Buku I,  Selangor: al-Hidayah Publication hlm.40
[2] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie jilid I, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm. 138 dan 139
[3] Ustaz Aizol Ismon: Pensyarah Fiqh Ibadah di KUIM menggunakan kitab Manhaj Fiqh al-Syafie @Fiqh Manhaji Jilid I.
[4] Ismail Kamus (Dato), Mohd Azrul Azlen Abdul Hamid (2009), Indahnya Hidup Bersyariat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 81
[5] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 21
[6] Ismail Tambi (Dr)(2008), Terapi Perkahwinan, Selangor: Buku Prima Sdn. Bhd hlm. 12
[7] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 23
[8] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid II, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm. 155
[10] 'Abdul Hamid Hakim (2013), Muin al-Mubin Buku I,  Selangor: al-Hidayah Publication hlm.47
[11] Ismail Kamus (Dato), Mohd Azrul Azlen Abdul Hamid (2009), Indahnya Hidup Bersyariat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. hlm. 67
[12] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 21
[13] Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohamad Wahid Abdul Hanif (2011), Ensiklopedia Solat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd, hlm.283
[14] Muhadir Haji Joll (2014), Khilafiah: Persoalan & Penjelasan, Kuala Lumpur: Inteam Publishing hlm. 282
[15] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie jilid I, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm.138
[16] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie jilid I, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm. 180 
[17] Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohamad Wahid Abdul Hanif (2011), Ensiklopedia Solat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd, hlm. 87
[18] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 23

Tiada ulasan:

Catat Ulasan