Soalan:
"TAJUK: ZINA AKAN BERTERUSAN WALAU PUN DAH DI IJABKABUL...
BACA UNTUK PENGETAHUAN SEMUA DAN PEDOMAN SEMUA.
HIDUP SEBAGAI SEORANG BERNAMA ISLAM JANGAN BERTERUSAN DALAM KEJAHILAN.
Sesungguhnya, permasalahan ini amatlah berat.
Perhatikan soalan 1 - 9.
Perkahwinan seumpama memang tersangat biasa kerana keluarga memilih jalan ini untuk mendapat malu.
Bila dapat tahu anak 'pregnant luar nikah', cepat-cepat dikahwinkan.
Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila...
Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama anda di sini kerana ianya amat penting:
Soalan 1: Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?
Jawapan 1: Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 2: Sekiranya lelaki yang bertangggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?
Jawapan 2: Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.
Soalan 3: Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkahwin?
Jawapan 3: Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakan ayah kepada bayi yang dikandung itu.
Soalan 4: Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?
Jawapan 4: Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi secara sah.
Soalan 5: Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?
Jawapan 5: Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikah mereka itu tidak sah.
Soalan 6: Apakah hak seorang anak luar nikah?
Jawapan 6: Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.
Soalan 7: Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?
Jawapan 7: Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.
Soalan 8: Sekiranya seorang lelaki Muslim Dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?
Jawapan 8: Mereka mesti tinggal berasingan segera dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.
Soalan 9: Sekiranya saya kenal/ tahu seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?
Jawapan 9: Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf..."
Betul ke ni?? Boleh pastikan tidak?
JAWABAN:
Daripada soalan yang dinyatakan, saya dapat rumuskan kepada tiga soalan:
1. Adakah sah bernikah ketika mengandung anak luar nikah, sama ada dari pihak lelaki dan pihak perempuan?
2. Bolehkah lelaki yang berzina dengan ibunya menjadi mahram kepadanya (anak luar nikah tersebut)?
3. Wujudkah hak daripada lelaki yang berzina dengan ibunya?
Jawaban kepada permasalahan ini adalah;
1. Bernikah ketika mengandung anak luar nikah
Pernikahan ketika mengandung anak luar nikah itu adalah SAH tanpa perlu disyaratkan bertaubat terlebih dahulu. Ia merupakan pendapat jumhur (kebanyakan) ulama . Namun tidak dinafikan ada beberapa pendapat lain daripada kalangan ulama.
Misalnya pendapat dari mazhab Hambali [1], tidak harus menikahi wanita yang telah berzina kecuali dengan dua syarat;
a) telah bertaubat
b) telah habis iddah, sekiranya mengandung maka iddahnya tiga kali suci sama ada orang yang ingin menikahinya itu lelaki yang telah berzina dengannya atau lelaki lain.
Pendapat yang DITERIMA PAKAI di Malaysia ialah pendapat jumhur berdasarkan dalil dan hujah mereka yang lebih kuat. [2]
Ini adalah kerana, menurut ulama perkara yang haram tidak akan mengharamkan perkara yang halal.
[3]
Penilaian ulama berdasarkan hadis :
لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلَالَ
Maksudnya:
"Perkara yang haram tidak mengharamkan akan perkara yang halal."
(Hadith Riwayat Ibn Majah,
kitab an-Nikah, no. 2015)
Wanita penzina yang hamil tiada iddah. Iddah hanya wujud akibat penceraian yang sah sahaja. Zina sejak awal lagi, tidak wujud ikatan yang sah padanya. Ia tidak boleh disamakan dengan perempuan hamil yang bercerai dimana iddahnya hingga dia melahirkan anak.
APA ITU IDDAH?
Menurut Fiqh Manhaji, Iddah ialah nama bagi tempoh perempuan menunggu semata-mata mematuhi perintah Allah atau tanda kesedihan pemergian suami, atau memastikan rahim bersih dari kandungan.[4]
Syaikh Nuruddin Marbu Al-Banjari didalam soal jawab beliau, menjawab,
"...Akad nikah yang dilakukan walaupun sebelum melahirkan anak adalah sah. Perbezaannya, jika dia dinikahi oleh lelaki yang merogolnya, mereka boleh bercampur setelah akad nikah berlangsung. Jika dia dinikahi oleh lelaki lain, dia tidak boleh bercampur setelah akad nikah berlangsung, sehinggalah dia bersalin.
Riwayat menyebutkan, "Tidak halal seseorang yang beriman kepada Allah Subhnahu wa Taala dan hari akhirat untuk menumpahkan airnya pada tanaman orang lain." (Hadis Riwayat Abu Daud)."[5]
Saya kira Fatwa Kebangsaan Malaysia juga telah menjawab permasalahan ini.
2. Anak luar nikah boleh menjadi mahram kepada pen'zina' Ibunya
Jika seorang lelaki yang berzina dengan ibunya telah bernikah dengan ibunya kemudian menyetubui isterinya, maka dia telah dianggap sah menjadi ayah tiri. Ayah tiri termasuk mahram (haram dinikahi) selama-lamanya.[6]
3. Hak anak zina terhadap harta ibunya
Anak zina dikira pada hukum syarak mempunyai hubungan nasab dengan ibunya, maka anak zina dan keturunannya berhak mendapat pusaka daripada ibunya dan waris-waris lain sebelum ibunya. Begitu juga sebaliknya, ibu boleh mewarisi pusaka anak zinanya dan kebawah (keturunan anak zina).[7]
Didalam Fiqh Manhaji disebutkan:
"Para 'ulama' sepakat bahawa nasab anak zina daripada ibunya thabit secara pasti namun ia tidak thabit daripada lelaki berzina yang menyebabkan kelahirannya. Hal ini ada disebabkan hukum nasabnya daripada lelaki tersebut tidak thabit secara pasti kerana syarak tidak mengiktiraf perbuatan zina sebagai cara yang disyariatkan bagi hubungan lelaki dengan perempuan. Begitu juga penthabitan nasab kepada lelaki berkenaan. Oleh itu, tiada pewarisan antara anak zina dengan penzina serta kerabatnya.
Bagaimanapun, bagi ibu kepada anak zina dan kerabat ibunya, jumhur ulama menthabitkan pewarisan antara mereka."[8]
Allahu'alam
RUJUKAN:
[1] Q & A Isu 02, Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn. BHd. hlm 49-51
[2] Al-Ustaz Isu 03, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn Bhd hlm. 34
[3] Mohammad Nidzam Abdul Kadir (2012), Bolehkah Bercouple?, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 150
[4] Mustafa al-Bugha (Dr.), Mustafa al-Khin (Dr.), Ali al-Syarbaji (2007), Manhaj Fiqh 'Ala Mazhab Imam al-Syafie Jilid IV, Negeri Sembilan Darul Khusus: Jabatan Mufti Negeri Sembilan hlm. 328
[5] Q & A Isu17, Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn. BHd. hlm 77
[6] Al-Ustaz Isu 03, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm 37
[7] Al-Ustaz Isu 03, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 43
[8] Mustafa al-Bugha (Dr.), Mustafa al-Khin (Dr.), Ali al-Syarbaji (2007), Manhaj Fiqh 'Ala Mazhab Imam al-Syafie Jilid V, Negeri Sembilan Darul Khusus: Jabatan Mufti Negeri Sembilan hlm. 234