AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Khamis, 30 Julai 2015

Inhaler Membatalkan Puasa?

Soalan:

ape hukum ambik inhaler time puase??

Jawaban:

INHALER:

Alat yang digunakan oleh pesakit asma. Ia terdiri daripada cecair yang dimampatkan dalam tekanan gas yang tinggi. Pesakit asma ini akan meletakkan corongnya di kawasan mulut dan menolak punat yang terdapat diatasnya bagi memudahkan ubat berbentuk gas masuk ke dalam rongga pernafasan. Pada masa yang sama, dia tetap menarik nafas seperti biasa ketika menggunakan alat ini.[1]


HUKUM

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, ada yang berpendapat membatalkan puasa dan ada pula yng mengatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa.

Antara ulama yang berpendapat membatalkan puasa ialah Dr. Fadl Hasan Abbas, Syaikh Muhammad al-Mukhtar Salami, Dr. Muhammad Alfai, Syaikh Muhammad Taqiuddin al-Uthmani dan Dr. Wahbah az-Zuhaili. Mereka menggunakan alasan bahawa bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut.[2] Keadaan ini dikecualikan pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja.

Bagaimanapun, ada pendapat ulama yang menyatakan tidak batal penggunaan inhaler. Antara hujah mereka ialah[3]:

1. Perbuatan menggunakan inhaler itu tidak mempunyai sebarang unsur makan atau minum iaitu tidak membekalkan sebarang zat tenaga baru kepada badan.

2. Kias kepada hukum berkumur-kumur dan bersersugi. Harus berkumur-kumur walhal ada kuantiti kecil air tetap melepasi kerongkong. Begitu juga selepas bersugi akan ada kuantiti kecil unsurnya kekal melepasi kerongkong. 

Para doktor mengesahkan siwak [sugi] mengandungi lapan jenis bahan kimia yang berfungsi untuk membersihkan gigi dan kotoran yang menyebabkan sakit. Walhal, unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan masuk ke tekak. Dan Amir bin Rabiah pernah melihat Rasulullah Sallahu'alaihi Wasalam bersiwak secara kerap pada ketika baginda berpuasa.[4]


3. Ada kajian menyatakan serbuk inhaler ini sampai ke perut, ada juga kajian mengesahkan akan terserap habis pada bahagian pernafasan (setakat dada) sahaja. Jadi, sama ada ia sampai ke perut atau setakat di pernafasan masih menjadi perkara yang tidak pasti dan diragui. Dan perkara yang tidak pasti atau diragui tidak memberi kesan kepada perkara yang wujud secara yakin berdasarkan kaedah Fiqh:


اليقين لا يزال بالشك

Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.


DEFINISI BENDA

Pengarang Fiqh Manhaji berkata:

"Benda bermaksud sesuatu yang dapat dilihat..."[5]

Bersandarkan definisi benda diatas, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Hafizahullah telah berkata:

"...dapat difahami bahawa unsur yang dimasukkan ke dalam mulut adalah gas yang bersifat halus dan tidak jelas. Oleh itu, ia (penggunaan inhaler) tidak dihukum seperti benda yang membatalkan puasa.[6]

Dari sudut penggunaan inhaler, setiap inhaler mengandungi 10 ml cecair berubat. Kuantiti sebanyak ini akan mengeluarkan 200 semburan. Bermakna, setiap semburan akan keluar kurang dari 1 ml.[7]

Pendapat yang dipilih oleh ialah Shaikh Ahmad bin Muhammad al-Khalil ialah penggunaan inhaler TIDAK membatalkan puasa. Pendapat ini juga pendapat yang dipilih oleh Shaikh Abdul Aziz Bin Baz, Syaikh Muhammad bin Salih al-Uthaimeen, Syaikh Abdullah bin Jabrin, Dr. Siddiq ad-Darir dan TG Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Al-Ustaz Isu 04 hlm. 83

[2] Ahmad bin Muhammad al-Khalil (2007), Isu-Isu Perubatan Dan Hubungannya Dengan Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication. hlm. 10- 14

[3] Al-Ustaz Isu 04 hlm. 37

[4] Mohamad Abdul Kadir (2013), Biar Tahu Jangan Keliru, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hlm. 222-224

[5] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid II, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 151

[6] Zulkifli Mohamad al-Bakri (Dr) (2012), Q&A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Selangor: PSN Publication Sdn. Bhd. hlm. 132-133

[7] Mohamad Abdul Kadir (2013), Biar Tahu Jangan Keliru, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hlm. 222-224

Tiada ulasan:

Catat Ulasan