AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Rabu, 18 Januari 2017

Solat Dengan Pejam Mata

Soalan:

Apa hukum solat pejam mata

Jawaban:

1. Dalam mazhab as-Shafi'i adalah disunnahkan (sunat haiah) melihat tempat sujud ketika solat. Hanya ketika tahiyat ketika jari diangkat maka sunat memandang jari telunjuk (tempoh melihat jari sepanjang tempoh jari diangkat, minimum sewaktu diangkat).

2. Bagi sesiapa yang meninggalkan perkara sunat maka hukumnya adalah makruh.

3. Solat memejam mata berlawanan dengan hadis Nabi Sallahu'alaihiwasalam yang menyuruh membunuh ular dan kala jenking. Jelas bahawa hadis ini memberi kefahaman supaya perlu membuka mata bagi menjaga keselamatan diri semasa solat.

4. Bahkan Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan bahawa Nabi menyuruh Aisyah radiyaAllahu 'anha mengalihkan tabir bergambar kerana ia menganggu Nabi ketika bersolat. Ini menunjukkan bahawa Nabi bersolat dalam keadaan mata dibuka.

5. Pejam mata untuk berasa khusyuk maka tiada masalah.


KESIMPULAN:

Hukum asal memejam mata didalam solat adalah MAKRUH dan tidak haram.

Tujuan melihat tempat sujud adalah bagi menzahirkan sifat khusyuk. Namun, sekiranya dengan memejam mata membuatkan seseorang itu lebih khusyuk maka ia tidak menjadi kesalahan (TIDAK  MAKRUH tetapi SUNAT).

والله أعلم


RUJUKAN:

Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. 1/375

Wahbah Az-Zuhaili (Prof) (Dr) (2010), al-Fiqh Al-Islami Wa Adilatuh, Jakarta: Gema Insani. 2/70

Azhar Idrus (2011), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd. hal. 25

Muhadir Haji Joll (2016), Praktikal Solat Sempurna, Selangor: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. hal. 122

Zaharuddin Abdul Rahman (Dr) (2012), Formula Solat Sempurna, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 47-49

Instgram 3/4/2016 (@hjanhar)
Dr. Anhar Opir; Timbalan Mufti Selangor

http://www.youtube.com/watch?v=lwXiG6wxZU2g&feature=youtube_gdata_player

https://www.youtube.com/watch?v=jzIVhb8JzAk&feature=youtube_gdata_player

Rujuk Semula Dalam Iddah, Bilangan Talak Menjadi Satu Semula?

Soalan:

Jumlah talak isteri yang telah habis iddah, kemudian suami kahwin semula dengan isteri tersebut. Berapakah jumlah talak dia, kembali menjadi tiga ataupun kekal menjadi dua?


Jawaban:

Talak ni yang boleh kita baik semula kalau boleh rujuk dua talak sahaja.

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ
dua talak sahaja

فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ
kamu sudah dua kali talak, dua kali cerai lagi maka jadi tiga talak, bila tiga talak habis dah tak boleh lagi berkahwin melainkan isteri kamu berkahwin dengan suami yang lain.

Dan suami yang lain itu bukan berpakat cerai. Dia tidak ada jodoh panjang pula dengan suami yang kedua. Bercerai, habis iddah baru boleh balik dengan suami yang lama dengan pernikahan...

Persoalannya, balik kepada suami lama, ada tak hutang 3 (talak) itu? Yang tu persoalan dia.
3 talak tu habis dah atau kosong-kosong balik?

Jawabnya, tengok liga perdana... dulu Selangor lawan Perak Selangor dapat satu, bila dia gi di Perak pula dia bawa tak gol satu tu? dia bawa.

Tapi kalau tahun depan piala baru pula bawa dok? Dok

Maka bila dia kahwin dengan laki baru maka piala baru, bila piala baru kosong kosong balik. Nampak? Dapat 3 balik.

***

Allahu'alam

Soalan dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus, Karangkraf

Perkahwinan Sebelum Islam Selepas Menganut Islam

SOALAN:

Ada sebuah pasangan non muslim. Mereka berkahwin semasa mereka belum memeluk Islam

Ditakdirkan Allah , mereka memeluk agama Islam. Jadi, bagaimanakah status perkahwinannya? Perlukah menikah semula atau tidak perlu?


JAWABAN

1. Perkahwinan lelaki muslim dengan perempuan yang tidak Islam adalah tidak dibenarkan.

2. Perkahwinan orang bukan Islam sesama orang bukan Islam adalah sah. Perkara ini adalah bersandarkan kepada beberapa hadith antaranya Ghaylan bin Salamah at-Thaqafi yang mempunyai sepuluh orang isteri sewaktu beliau belum lagi menganut agama Islam, namun selepas pengislaman mereka Rasulullah Sallahu 'alaihi Wasalam memerintahkan supaya mengekalkan empat sahaja isteri dan menceraikan isteri yang lain.[1]

3. Ada sahabat Nabi yang memiliki lima, lapan, bahkan sehingga sepuluh orang isteri. Kesemua sahabat itu tadi diperintahkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasalam untuk memilih empat orang sahaja untuk diteruskan hubungan suami isteri. [2] Naufal bin Muawiyah misalnya, memiliki lima orang isteri dan apabila memeluk Islam, Nabi Sallahu 'alaihi wasalam memerintahkan  supaya menceraikan seorang dari lima orang isterinya.[3]

4. Kembali kepada permasalahan, jika mereka (bukan Islam) kembali kepada Islam, bagaimana dengan status perkahwinan mereka? Ini bergantung kepada beberapa keadaan[4]:

i. Sah jika suami isteri yang bukan Islam bersama memeluk Islam.
ii. Sah jika suami memeluk Islam sedangkan isteri yang ahli kitab tidak memeluk Islam.
iii. Sah jika suami memeluk Islam sedangkan isteri bukan beragama Islam memeluk Islam dalam tempoh iddah. Tempoh iddah bermula apabila pengislaman suaminya.
iv. Sah jika isteri bukan Islam sedangkan suami bukan beragama Islam memeluk Islam dalam tempoh iddah isterinya.
v. Pernikahan semula (mas kahwin dan akad yang baru) dengan bekas isteri jika suami memeluk Islam selepas habis iddah isteri.


KESIMPULAN:

Pernikahan seorang suami isteri yang bukan Islam adalah sah dan boleh diteruskan jika mereka telah masuk ke dalam Islam bersama. Namun, jika salah seorang sahaja yang memeluk Islam, maka perkahwinan yang lama boleh diteruskan jika mereka memeluk Islam dalam tempoh iddah isterinya. Apabila tamat tempoh iddah dan ingin kembali kepada pasangannya maka perlu kepada pernikahan dengan mas kahwin dan akad yang baru. Inilah yang diterangkan didalam mazhab kami mazhab Syafi'i.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] Muhammad Idris al-Marbawi (2012), Bahru al-Maadzi, Selangor: al-Hidayah Publications, 8/193-195

[2] Al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (Dr)(2014), Halal dan Haram Dalam Islam, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. hal. 348-349

[3] Muhammad Irfan bin Abdul Rani (2014), Konsep Poligami Di Malaysia Melalui Prosedur Mahkamah Dan Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah, Melaka: Kolej Universiti Islam Melaka, hal. 6

[4] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syarbaji (2007), Manhaj Fiqh al-Syafi'i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, 4/152-155