AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Rabu, 18 Januari 2017

Perkahwinan Sebelum Islam Selepas Menganut Islam

SOALAN:

Ada sebuah pasangan non muslim. Mereka berkahwin semasa mereka belum memeluk Islam

Ditakdirkan Allah , mereka memeluk agama Islam. Jadi, bagaimanakah status perkahwinannya? Perlukah menikah semula atau tidak perlu?


JAWABAN

1. Perkahwinan lelaki muslim dengan perempuan yang tidak Islam adalah tidak dibenarkan.

2. Perkahwinan orang bukan Islam sesama orang bukan Islam adalah sah. Perkara ini adalah bersandarkan kepada beberapa hadith antaranya Ghaylan bin Salamah at-Thaqafi yang mempunyai sepuluh orang isteri sewaktu beliau belum lagi menganut agama Islam, namun selepas pengislaman mereka Rasulullah Sallahu 'alaihi Wasalam memerintahkan supaya mengekalkan empat sahaja isteri dan menceraikan isteri yang lain.[1]

3. Ada sahabat Nabi yang memiliki lima, lapan, bahkan sehingga sepuluh orang isteri. Kesemua sahabat itu tadi diperintahkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasalam untuk memilih empat orang sahaja untuk diteruskan hubungan suami isteri. [2] Naufal bin Muawiyah misalnya, memiliki lima orang isteri dan apabila memeluk Islam, Nabi Sallahu 'alaihi wasalam memerintahkan  supaya menceraikan seorang dari lima orang isterinya.[3]

4. Kembali kepada permasalahan, jika mereka (bukan Islam) kembali kepada Islam, bagaimana dengan status perkahwinan mereka? Ini bergantung kepada beberapa keadaan[4]:

i. Sah jika suami isteri yang bukan Islam bersama memeluk Islam.
ii. Sah jika suami memeluk Islam sedangkan isteri yang ahli kitab tidak memeluk Islam.
iii. Sah jika suami memeluk Islam sedangkan isteri bukan beragama Islam memeluk Islam dalam tempoh iddah. Tempoh iddah bermula apabila pengislaman suaminya.
iv. Sah jika isteri bukan Islam sedangkan suami bukan beragama Islam memeluk Islam dalam tempoh iddah isterinya.
v. Pernikahan semula (mas kahwin dan akad yang baru) dengan bekas isteri jika suami memeluk Islam selepas habis iddah isteri.


KESIMPULAN:

Pernikahan seorang suami isteri yang bukan Islam adalah sah dan boleh diteruskan jika mereka telah masuk ke dalam Islam bersama. Namun, jika salah seorang sahaja yang memeluk Islam, maka perkahwinan yang lama boleh diteruskan jika mereka memeluk Islam dalam tempoh iddah isterinya. Apabila tamat tempoh iddah dan ingin kembali kepada pasangannya maka perlu kepada pernikahan dengan mas kahwin dan akad yang baru. Inilah yang diterangkan didalam mazhab kami mazhab Syafi'i.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] Muhammad Idris al-Marbawi (2012), Bahru al-Maadzi, Selangor: al-Hidayah Publications, 8/193-195

[2] Al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (Dr)(2014), Halal dan Haram Dalam Islam, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. hal. 348-349

[3] Muhammad Irfan bin Abdul Rani (2014), Konsep Poligami Di Malaysia Melalui Prosedur Mahkamah Dan Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah, Melaka: Kolej Universiti Islam Melaka, hal. 6

[4] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syarbaji (2007), Manhaj Fiqh al-Syafi'i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, 4/152-155

Tiada ulasan:

Catat Ulasan