AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Selasa, 28 April 2020

Mengapa Allah Mencipta Kejahatan


SOALAN:

Mengapakah Tuhan masih dianggap Maha Sempurna dan Maha Berkuasa walaupun kejahatan dan kekejaman berleluasa?


JAWABAN:

Berkata Imam Ibrahim al-Laqqani (w. 1041H) didalam kitab beliau Jauharah Tauhid:


وَجَائِزٌ عَلَيْهِ خَلْـقُ الشِّـرِّ

وَالْخَيْرِ كالإِسْلاَمْ وَجَهْـلِ الْكُفْـرِ

"Dan (antara) perkara yang harus (tidak wajib dan tidak mustahil) bagi Allah mencipta perkara buruk (seperti maksiat),

Dan  perkara baik (contohnya) seperti Islam dan jahil dalam kekufuran."


Firman Allah didalam surah al-Insan pada ayat ke 3:

 إِنَّا هَدَيۡنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرً۬ا وَإِمَّا كَفُورًا

"Sesungguhnya Kami telah menujukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah: maka terserahlah kepadanya) sama ada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)."

Amalan yang dilakukan oleh makhluk sama ada bersifat baik atau buruk pada hukum syarak ialah ciptaan Allah tanpa terkecuali.

Kita beriman bahawa Allah mengkehendaki segala apa yang berlaku, dan tidak ada sesuatu pun boleh berlaku tanpa kehendak Allah. Namun sudah pasti, kehendak Allah tersebut tidak memestikan Allah menyukai hal tersebut. Contohnya perkara kejahatan. Walaupun Allah berkehendak menciptakan kejahatan tetapi tidak menjadikan Allah redha terhadap maksiat tersebut. 

Allah Maha Mengetahui, Dialah Tuhan yang memiliki sifat Qudrat dan Iradat. Hakikatnya, sesuatu perbuatan yang ingin dilakukan oleh seseorang, sama ada maksiat ataupun ketaatan, telah pun diketahui oleh Allah bahkan semenjak azali lagi, iaitu sebelum Allah menciptakan seluruh makhluk.


MENGAPA ALLAH MENCIPTA KEJAHATAN?

Ada satu pertanyaan yang diajukan kepada Prof. Dr. Mutawwali Asy-Sya'rawi (w.1998M) yang  dimuatkan didalam karya beliau  أنت تسأل والإسلام يجيب berkenaan mengapakah Allah menciptakan keburukan dan kejahatan dalam alam dunia ini, maka beliau menjawab,

"Allah Subhanahu wa Taala menciptakan keburukan atau kejahatan bukan untuk disebarkan. Allah Subhanahu wa Taala menciptakan itu semua untuk menguji manusia, adakah manusia kuat bertahan dan menghindari perbuatan-perbuatan buruk serta jahat."

Kejahatan adalah pendorong kepada manusia menuju ke arah kebaikan. Wujud golongan sekular dan atheis menyebabkan orang Islam mempelajari dan mendalami ilmu agama. Jika kesesatan tidak muncul, tidak akan ada Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah. 

Mari kita renungi satu firman Allah didalam al-Quran:

  
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ
 وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
  
"Dialah yang telah mentakdir adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun."

(al-Mulk 67:2)

Proses ujian adalah untuk menjadi bukti kepada sesama makhluk, biar mereka sendiri yang menilai apakah mereka benar-benar telah menjadi hamba Allah atau tidak.


KOREKSI HADIS- MAKHLUK HIDUP DIDALAM ILMU ALLAH


ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ:

 بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ

"Kemudian, dihantarkan malaikat dan ditiupkan roh, serta disuruh untuk menulis empat perkara iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya, dan ke mana arah tujunya sama ada menjadi celaka dan neraka atau bahagia dan ke syurga."

Jika Allah telah memerintahkan malaikat menulis empat perkara tersebut apakah keperluan bagi manusia untuk diuji? Tulisan yang diperintahkan oleh Allah kepada malaikat bukan merujuk kepada paksaan menerima ketentuan akan tetapi sebenarnya tidak lain tidak bukan membawa maksud ilmu Allah Subhanahu Wa Taala kerana Allah telah mengetahui kedudukan manusia nanti sama ada dia berada di syurga atau neraka. Manusia tidak dipaksa menjadi jahat namun manusia diberi pilihan dan pilihan tersebut sudah diketahui oleh Allah yang Maha Mengetahui.

Analogi mudah, seorang pesakit bertemu dengan pakar bedah dan mengadu demam dan sakit perut selama beberapa hari. Walaupun pakar itu belum melihat apendiks  pesakit berkenaan, berdasarkan ilmu dan penilitian pakar tersebut merumuskan bahawa pesakit itu sedang menghidapi penyakit radang apendiks. Beliau pun melakukan pembedahan. Setelah melakukan pembedahan ternya memang benar bahawa pesakit tersebut mengalami radang pada apendiksnya. Adakah kita akan menghukumi pakar bedah ini sebagai penyebab penyakit semata-mata pakar dapat mendiagnos dengan tepat?

Gambaran lain yang lebih mudah, seorang guru mengetahui potensi yang ada pada murid-muridnya. Ada pelajar yang rajin dan selalu fokus didalam kelas manakala ada juga yang memiliki sifat yang malas dan selalu tidur didalam kelas. Apabila peperiksaan dijalankan, guru mendapati bahawa pelajar yang rajin itu berjaya menjawab peperiksaan dengan baik manakala pelajar yang malas itu tidak keruan menjawab kertas peperiksaan. Akhirnya dengan usaha pelajar yang malas itu menatijahkan kegagalan buat dirinya. Adakah, disebabkan salah gurunya atau salah pelajar itu sendiri? Sekalipun guru tersebut tidak membuat ujian peperiksaan, guru tersebut sudah boleh menebak siapakah yang mampu menjawab peperiksaan atau pun tidak berdasarkan usaha yang dilakukan oleh para pelajar.

Ada sebuah hadis sahih melalui riwayat al-Bukhari pada nombor 3885 menceritakan bahawa ada seorang lelaki memukul tentera musyrikin didalam peperangan. Namun begitu, baginda mengatakan lelaki tersebut termasuk dalam kalangan ahli neraka. Mengapa hal ini berlaku? Hal ini berlaku kerana setelah lelaki tersebut dicederakan , lelaki tersebut  meletakkan hujung pedangnya kemudian menjatuhkan dirinya. Lelaki itu akhirnya mati membunuh diri. Nabi Sallahu 'Alaihi Wasallam kemudian  bersabda yang membawa maksud:

"Sesungguhnya seorang lelaki yang beramal dengan amalan ahli syurga menurut pandangan manusia, sesungguhnya dia daripada ahli neraka. Dan seorang yang lelaki yang beramal dengan amalan ahli neraka menurut pandangan manusia, sesungguhnya dia dalam kalangan ahli syurga."

Hadis ini bukan menunjukkan kehendak Allah menjadikan buruknya penghabisan seseorang manusia, tetapi disebabkan amalan dan usaha seseorang.


KENAPA TIDAK CIPTA SEMUA MUSLIM SAHAJA?

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬‌ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ

"Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan."

Syed Qutub dalam Fi Zilalil Quran ketika menafsirkan surah Hud pada ayat 118 menyatakan Allah boleh sahaja menciptakan manusia dalam keadaan yang sama tanpa kelainan atau bermacam ragam akan tetapi Allah mengkehendaki makhluk itu berbeza dari sudut kebolehan dan arah tujuan hidup masing-masing agar makhluk berupaya dan bebas memilih arah tuju hidup dan jalan hidup mereka. Mereka bertanggungjawab terhadap pilihan mereka. Mereka mendapat balasan sesuai dengan pilihan mereka sama ada memilih hidayat atau kesesatan. Hal ini kerana sunnatullah dan kehendak iradat-Nya.


Maulana Abdullah Yusuf Ali berkata:

"Tujuan manusia diciptakan ialah untuk meningkatkan mereka dari segi kerohanian dengan rahmat Tuhan. Tetapi kalaulah mereka itu memilih jalan kejahatan dan jatuh ke dalam kedosaan maka takdir dan qada' Tuhan pasti berlaku, dan keadilan Tuhan bertindak sebagaimana semestinya. Dalam masa berjalannya keadilan itu maka neraka akan dipenuhkan dengan manusia dan jin."


KESIMPULAN:

Allah berkehendak menciptakan kejahatan bukan bermaksud Allah redha terhadap kejahatan tetapi ia adalah ujian terhadap diri kita. Bagaimana kita mahu mengenali cahaya jika tiada gelap, bagaimana kita ingin mengenali siang jika tiada malam, bagaimana kita mahu mengenali panas jika tiada dingin? Bohong misalnya adalah salah satu dari sifat kejahatan. Namun begitu, bohong dicipta bukan untuk menyuruh kita menjadi seorang pembohong akan tetapi untuk menonjolkan kepada kita sifat berkata benar. Malas bukan dicipta untuk melatih kita menjadi seorang pemalas tetapi menjadikan sifat rajin itu menonjol.

Kelainan dan perbezaan individu-individu merupakan asas sunnatullah. Dan kita hidup kerana sunnatullah dan kehendak Allah Subhanahu Wa Taala. Boleh sahaja Allah mencipta seluruh makhluk dalam keadaan taat seperti para Malaikat akan tetapi Allah berkehendak melakukan ujian kepada makhluknya. Jangan kita lupa mengapa tujuan Allah menciptakan manusia dan jin, untuk menjadi seorang hamba kepada Allah. Kita boleh memilih sama ada untuk berada dalam landasan kebaikan atau kejahatan, namun jangan lupa bahawa kita akan dihisab di hari akhirat. Hari tersebut hari yang tidak lagi boleh beramal, dan Allah bertindak sebagai Hakim dan sebaik-baik pemberi keputusan. Benarlah, kita hidup di dalam jagaan pemilik nama al-'Alim, al-'Aziz, dan al-Hakam.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

Abdullah Yusuf Ali (2000), Al-Quranul Karim: Terjemahan dan Huraian Maksud, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 2/1038

Akli Ahmad (Dr) (2015), Risalah Fikriyyah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 101.

Danial Zainal Abidin (Dr.) (2011), Tuan Bertanya, Dr. Danial Menjawab Mengenai Islam Yang Kontemporari, Selangor: PTS Millenia Sdn. Bhd. hal. 326

Ibn al-'Aththar, Mohd Solleh Abdul Razak (2017), Syarah Hadis 40, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 64

Muhammad Ramzi Omar (2006), Surah al-Mulk Terjemahan dan Huraian, Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat. hal.23

Muhammad Rozaimi Ramle (Dr.) (2017), Tadabbur Hikmah Hadis 40 Imam al-Nawawi, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hal. 24-32

Mutawwali Asy-Sya'rawi (Prof.) (Dr.) (2012), 495 Kemusykilan Terungkai Anda Bertanya Islam Menjawab, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd. hal. 32-33

Mutawwali Asy-Sya'rawi (Prof.) (Dr.) (2012), 495 Kemusykilan Terungkai Anda Bertanya Islam Menjawab, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd. hal. 486

https://drive.google.com/file/d/1fhd_ESPT4FgAT-3XM8GngAkomhlMlNcV/view

https://tafsirzilal.files.wordpress.com/2015/05/hud-melayu.pdf

https://www.youtube.com/watch?v=Bw74O40XwPU

https://www.youtube.com/watch?v=eBPIU3S9nmg&t=19s