SOALAN:
Mengapakah Tuhan masih dianggap Maha Sempurna dan Maha
Berkuasa walaupun kejahatan dan kekejaman berleluasa?
JAWABAN:
Berkata Imam Ibrahim al-Laqqani (w. 1041H) didalam kitab
beliau Jauharah Tauhid:
وَجَائِزٌ عَلَيْهِ خَلْـقُ الشِّـرِّ
وَالْخَيْرِ كالإِسْلاَمْ وَجَهْـلِ الْكُفْـرِ
"Dan (antara) perkara yang harus (tidak wajib dan tidak
mustahil) bagi Allah mencipta perkara buruk (seperti maksiat),
Dan perkara baik
(contohnya) seperti Islam dan jahil dalam kekufuran."
Firman Allah didalam surah al-Insan pada ayat ke 3:
إِنَّا هَدَيۡنَـٰهُ ٱلسَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرً۬ا وَإِمَّا كَفُورًا
"Sesungguhnya Kami telah menujukkan kepadanya (melalui
akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah: maka terserahlah
kepadanya) sama ada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia
berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)."
Amalan yang dilakukan
oleh makhluk sama ada bersifat baik atau buruk pada hukum syarak ialah ciptaan
Allah tanpa terkecuali.
Kita beriman bahawa Allah mengkehendaki segala apa yang
berlaku, dan tidak ada sesuatu pun boleh berlaku tanpa kehendak Allah. Namun
sudah pasti, kehendak Allah tersebut tidak memestikan Allah menyukai hal
tersebut. Contohnya perkara kejahatan. Walaupun Allah berkehendak menciptakan
kejahatan tetapi tidak menjadikan Allah redha terhadap maksiat tersebut.
Allah Maha Mengetahui, Dialah Tuhan yang memiliki sifat Qudrat dan Iradat. Hakikatnya, sesuatu perbuatan yang ingin dilakukan oleh
seseorang, sama ada maksiat ataupun ketaatan, telah pun diketahui oleh Allah
bahkan semenjak azali lagi, iaitu sebelum Allah menciptakan seluruh makhluk.
MENGAPA ALLAH MENCIPTA KEJAHATAN?
Ada satu pertanyaan yang diajukan kepada Prof. Dr. Mutawwali
Asy-Sya'rawi (w.1998M) yang dimuatkan didalam karya beliau أنت تسأل والإسلام
يجيب berkenaan mengapakah Allah menciptakan keburukan dan kejahatan
dalam alam dunia ini, maka beliau menjawab,
"Allah Subhanahu wa Taala menciptakan keburukan atau
kejahatan bukan untuk disebarkan. Allah Subhanahu wa Taala menciptakan itu
semua untuk menguji manusia, adakah manusia kuat bertahan dan menghindari
perbuatan-perbuatan buruk serta jahat."
Kejahatan adalah pendorong kepada manusia menuju ke arah kebaikan. Wujud golongan sekular dan atheis menyebabkan orang Islam mempelajari dan mendalami ilmu agama. Jika kesesatan tidak muncul, tidak akan ada Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah.
Kejahatan adalah pendorong kepada manusia menuju ke arah kebaikan. Wujud golongan sekular dan atheis menyebabkan orang Islam mempelajari dan mendalami ilmu agama. Jika kesesatan tidak muncul, tidak akan ada Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah.
Mari kita renungi satu firman Allah didalam al-Quran:
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬ۚ
وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
"Dialah yang telah mentakdir adanya mati dan hidup
untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih
baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa membalas amal kamu), lagi Maha
Pengampun."
(al-Mulk 67:2)
Proses ujian adalah untuk menjadi bukti kepada sesama makhluk, biar mereka sendiri yang menilai apakah
mereka benar-benar telah menjadi hamba Allah atau tidak.
KOREKSI HADIS- MAKHLUK HIDUP DIDALAM ILMU ALLAH
ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ
فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ:
بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ
"Kemudian, dihantarkan malaikat dan ditiupkan roh,
serta disuruh untuk menulis empat perkara iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya,
dan ke mana arah tujunya sama ada menjadi celaka dan neraka atau bahagia dan ke
syurga."
Jika Allah telah memerintahkan malaikat menulis empat
perkara tersebut apakah keperluan bagi manusia untuk diuji? Tulisan yang
diperintahkan oleh Allah kepada malaikat bukan merujuk kepada paksaan menerima
ketentuan akan tetapi sebenarnya tidak lain tidak bukan membawa maksud ilmu
Allah Subhanahu Wa Taala kerana Allah telah mengetahui kedudukan manusia nanti
sama ada dia berada di syurga atau neraka. Manusia tidak dipaksa menjadi jahat namun
manusia diberi pilihan dan pilihan tersebut sudah diketahui oleh Allah yang
Maha Mengetahui.
Analogi mudah, seorang pesakit bertemu dengan pakar bedah
dan mengadu demam dan sakit perut selama beberapa hari. Walaupun pakar itu
belum melihat apendiks pesakit
berkenaan, berdasarkan ilmu dan penilitian pakar tersebut merumuskan bahawa
pesakit itu sedang menghidapi penyakit radang apendiks. Beliau pun melakukan
pembedahan. Setelah melakukan pembedahan ternya memang benar bahawa pesakit
tersebut mengalami radang pada apendiksnya. Adakah kita akan menghukumi pakar
bedah ini sebagai penyebab penyakit semata-mata pakar dapat mendiagnos dengan
tepat?
Gambaran lain yang lebih mudah, seorang guru mengetahui
potensi yang ada pada murid-muridnya. Ada pelajar yang rajin dan selalu fokus
didalam kelas manakala ada juga yang memiliki sifat yang malas dan selalu tidur
didalam kelas. Apabila peperiksaan dijalankan, guru mendapati bahawa pelajar
yang rajin itu berjaya menjawab peperiksaan dengan baik manakala pelajar yang
malas itu tidak keruan menjawab kertas peperiksaan. Akhirnya dengan usaha
pelajar yang malas itu menatijahkan kegagalan buat dirinya. Adakah, disebabkan
salah gurunya atau salah pelajar itu sendiri? Sekalipun guru tersebut tidak
membuat ujian peperiksaan, guru tersebut sudah boleh menebak siapakah yang
mampu menjawab peperiksaan atau pun tidak berdasarkan usaha yang dilakukan oleh
para pelajar.
Ada sebuah hadis sahih melalui riwayat al-Bukhari pada
nombor 3885 menceritakan bahawa ada seorang lelaki memukul tentera musyrikin
didalam peperangan. Namun begitu, baginda mengatakan lelaki tersebut termasuk
dalam kalangan ahli neraka. Mengapa hal ini berlaku? Hal ini berlaku kerana
setelah lelaki tersebut dicederakan , lelaki tersebut meletakkan hujung pedangnya kemudian
menjatuhkan dirinya. Lelaki itu akhirnya mati membunuh diri. Nabi Sallahu
'Alaihi Wasallam kemudian bersabda yang
membawa maksud:
"Sesungguhnya seorang lelaki yang beramal dengan amalan
ahli syurga menurut pandangan manusia, sesungguhnya dia daripada ahli neraka.
Dan seorang yang lelaki yang beramal dengan amalan ahli neraka menurut
pandangan manusia, sesungguhnya dia dalam kalangan ahli syurga."
Hadis ini bukan menunjukkan kehendak Allah menjadikan
buruknya penghabisan seseorang manusia, tetapi disebabkan amalan dan usaha
seseorang.
KENAPA TIDAK CIPTA SEMUA MUSLIM SAHAJA?
وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ
أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ
"Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki,
tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi
Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan."
Syed Qutub dalam Fi Zilalil Quran ketika menafsirkan surah
Hud pada ayat 118 menyatakan Allah boleh sahaja menciptakan manusia dalam
keadaan yang sama tanpa kelainan atau bermacam ragam akan tetapi Allah
mengkehendaki makhluk itu berbeza dari sudut kebolehan dan arah tujuan hidup
masing-masing agar makhluk berupaya dan bebas memilih arah tuju hidup dan jalan
hidup mereka. Mereka bertanggungjawab terhadap pilihan mereka. Mereka mendapat
balasan sesuai dengan pilihan mereka sama ada memilih hidayat atau kesesatan.
Hal ini kerana sunnatullah dan kehendak iradat-Nya.
Maulana Abdullah Yusuf Ali berkata:
"Tujuan manusia diciptakan ialah untuk meningkatkan
mereka dari segi kerohanian dengan rahmat Tuhan. Tetapi kalaulah mereka itu
memilih jalan kejahatan dan jatuh ke dalam kedosaan maka takdir dan qada' Tuhan
pasti berlaku, dan keadilan Tuhan bertindak sebagaimana semestinya. Dalam masa
berjalannya keadilan itu maka neraka akan dipenuhkan dengan manusia dan
jin."
KESIMPULAN:
Allah berkehendak menciptakan kejahatan bukan bermaksud
Allah redha terhadap kejahatan tetapi ia adalah ujian terhadap diri kita.
Bagaimana kita mahu mengenali cahaya jika tiada gelap, bagaimana kita ingin mengenali siang jika tiada malam, bagaimana kita mahu
mengenali panas jika tiada dingin? Bohong misalnya adalah salah satu dari sifat kejahatan. Namun begitu, bohong dicipta bukan untuk menyuruh
kita menjadi seorang pembohong akan tetapi untuk menonjolkan kepada kita sifat
berkata benar. Malas bukan dicipta untuk melatih kita menjadi seorang pemalas
tetapi menjadikan sifat rajin itu menonjol.
Kelainan dan perbezaan individu-individu merupakan asas
sunnatullah. Dan kita hidup kerana sunnatullah dan kehendak Allah Subhanahu Wa
Taala. Boleh sahaja Allah mencipta seluruh makhluk dalam keadaan taat seperti
para Malaikat akan tetapi Allah berkehendak melakukan ujian kepada makhluknya.
Jangan kita lupa mengapa tujuan Allah menciptakan manusia dan jin, untuk
menjadi seorang hamba kepada Allah. Kita boleh memilih sama ada untuk berada dalam
landasan kebaikan atau kejahatan, namun jangan lupa bahawa kita akan dihisab di hari akhirat. Hari tersebut hari yang
tidak lagi boleh beramal, dan Allah bertindak sebagai Hakim dan sebaik-baik pemberi keputusan. Benarlah, kita hidup di dalam jagaan pemilik nama
al-'Alim, al-'Aziz, dan al-Hakam.
Allahu'alam.
RUJUKAN:
Abdullah Yusuf Ali (2000), Al-Quranul Karim: Terjemahan dan
Huraian Maksud, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 2/1038
Danial Zainal Abidin (Dr.) (2011), Tuan Bertanya, Dr. Danial
Menjawab Mengenai Islam Yang Kontemporari, Selangor: PTS Millenia Sdn. Bhd.
hal. 326
Ibn al-'Aththar, Mohd Solleh Abdul Razak (2017), Syarah
Hadis 40, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 64
Muhammad Ramzi Omar (2006), Surah al-Mulk Terjemahan dan Huraian, Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat. hal.23
Muhammad Rozaimi Ramle (Dr.) (2017), Tadabbur Hikmah Hadis
40 Imam al-Nawawi, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hal. 24-32
Mutawwali Asy-Sya'rawi (Prof.) (Dr.) (2012), 495 Kemusykilan
Terungkai Anda Bertanya Islam Menjawab, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn.
Bhd. hal. 32-33
Mutawwali Asy-Sya'rawi (Prof.) (Dr.) (2012), 495 Kemusykilan Terungkai Anda Bertanya Islam Menjawab, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd. hal. 486
Mutawwali Asy-Sya'rawi (Prof.) (Dr.) (2012), 495 Kemusykilan Terungkai Anda Bertanya Islam Menjawab, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd. hal. 486
https://drive.google.com/file/d/1fhd_ESPT4FgAT-3XM8GngAkomhlMlNcV/view
https://tafsirzilal.files.wordpress.com/2015/05/hud-melayu.pdf
https://www.youtube.com/watch?v=Bw74O40XwPU
https://www.youtube.com/watch?v=eBPIU3S9nmg&t=19s
Tiada ulasan:
Catat Ulasan