AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Rabu, 8 Januari 2020

Imam Tertinggal Surah al-Fatihah

Kalau imam tu salah baca (tertinggal satu ayat surah al-fatihah) time rakaat akhir dan sebelum takhiyat akhir tu baru dia sedar, imam kena buat sujud sahwi ke?

JAWAPAN:

Terima kasih bertanya. Soalan yang baik.

Lupa merupakan sifat seorang manusia. Benarlah sebuah kata-kata arab:

وَمَاسُمِيَالإِنْسَانُإلاَّلِنِسْيَانِهِ

“Tidak dinamakan manusia kecuali kerana lupanya.”

Lupa bukan sahaja boleh berlaku ketika menjalani kehidupan, malah seseorang boleh sahaja terlupa ketika dalam solat, contohnya meninggalkan rukun membaca surah al-fatihah didalam solat.

Salah satu perkara yang membatalkan solat adalah seseorang memutuskan rukun sebelum sempurna mengerjakan rukun tersebut. Seperti contoh orang yang hanya membaca enam ayat surah al-fatihah kemudian terus rukuk. Tetapi perbuatan ini jika ditinggalkan secara tidak sengaja tidak membatalkan solat dan perlu digantikan semula mengikut kaedah yang tertentu.

Orang yang sedang solat tetapi meninggalkan satu ayat dari tujuh ayat surah al-fatihah, atau meninggalkan mana-mana kalimah dalam surah al-fatihah atau meninggalkan mana-mana huruf dalam surah al-fatihah adalah sama kedudukan dengan tidak membaca surah al-fatihah. Sedangkan membaca surah al-fatihah merupakan rukun bagi Imam, makmum dan mereka yang solat sendirian.

Terdapat tiga keadaan bagi seseorang yang solat sendirian dan solat menjadi Imam, tertinggal membaca al-fatihah:

1.) Jika teringat belum lagi mengerjakan rukun membaca al-fatihah ketika dalam perbuatan solat yang lain, maka wajib dia bangun semula kepada rukun membaca al-fatihah kemudian menyempurnakan sekali lagi rukuk, iktidal dan sujud.

Contohnya, jika ketika sedang rukuk, dia teringat bahawa dia belum lagi membaca surah al-fatihah , maka dia wajib segera bangun dari rukuk untuk membaca surah al-fatihah sekali lagi. Setelah surah al-fatihah dibaca, buat sekali lagi rukuk dan sempurnakan solatnya.

2.) Jika dia teringat tertinggal rukun membaca al-fatihah dalam rakaat yang sebelum tetapi sudah berada dalam rukun membaca al-fatihah dalam rakaat yang lain, maka rakaat tersebut menggantikan rakaat ketika mana rukun yang dia tertinggal.

Contohnya, dalam rakaat kedua dia teringat yang dia belum lagi membaca surah al-fatihah dalam rakaat pertama, dia teringat sewaktu sedang membaca surah al-fatihah dalam rakaat kedua maka rakaat kedua dia menjadi rakaat pertama. Apa-apa yang dibuatnya tadi diantara rukun yang tertinggal tadi adalah tidak dikira.

3.) Jika dia teringat tertinggal rukun membaca al-fatihah selepas memberi salam, dan masanya belum lama mengikut kebiasaan, maka wajib dia kembali dalam berdiri semula untuk membaca surah al-fatihah, dan menyempurnakan solat sehingga salam. Jika lama, maka wajib bagi dirinya mengulangi solat sekali lagi dengan rakaat yang sempurna.

Untuk tiga keadaan yang telah disebutkan, hal itu adalah perlu dilakukan oleh seseorang yang solat bersendirian dan juga yang memimpin solat iaitu Imam. 

Sunat mengerjakan sujud sahwi bagi ketiga-tiga hal tersebut. Hal ini kerana seorang yang telah meninggalkan tanpa sengaja mana-mana rukun dalam solat disunatkan melakukan sujud sahwi. Perbuatan rukun yang ditinggalkan itu pula jika disengajakan tinggal akan membatalkan solat tersebut.

Pada asalnya, meninggalkan rukun secara sengaja membawa kepada ketidakabsahan solat. Namun begitu, perbuatan meninggalkan rukun tanpa sengaja dan diganti semula tidak akan membatalkan solat. 

Berbeza pula sekiranya seseorang itu terlupa berniat atau melafazkan takbiratul ihram, solatnya yang dikerjakan adalah tidak sah dan dia perlu mengulangi solatnya semula.

Sujud sahwi yang ditinggalkan dengan sebab sengaja atau terlupa tidak akan membatalkan solat. 

Jika sujud sahwi dilakukan oleh imam, wajib bagi makmum mengikuti imam walaupun makmum tidak melakukan sebarang kesalahan.(1)

Berkata pengarang kitab al-Mujtaba:

“Begitu juga sekiranya imam sujud sahwi dan makmum sengaja meninggalkannya, maka batal solat makmum.”

Adapun untuk seorang yang mengikuti perbuatan Imam iaitu makmum namun terlupa untuk membaca surah al-fatihah, maka:


4.) Sekiranya makmum yang muafiq(2) terlupa membaca surah al-fatihah sehingga Imam sudah rukuk dan dia belum lagi rukuk, lalu dia teringat bahawa dia belum lagi membaca surah al-fatihah maka wajib bagi dirinya menghabiskan bacaan surah al-fatihah dan dimaafkan dia ketinggalan daripada imam hingga tiga rukun yang panjang (rukuk dan dua sujud). 

Hal ini disebut dalam kitab Fiqh Islam Wa Adillatuhu:

وَلَوْعَلِمَ الْمَأْمُومُ تَرَكَ الْفَاتِحَةِأَوْشَكَّ فِيْهِ، 
وَقَدْ رَكَعَ الْإِمَامُ وَلَمْ يَرْكَعْ هُوْ،
قَرَأَهَا (الْفَاتِحَةُ) وُجُوبًا لِبِقَاءِ مَحَلَّهَا وَيُعَدُّ مُتَخَلِّفًا بِعُذْرٍ
 وَيُطَبَّقُ عَلَيْهِ حُكْمُ بَطِيْءِ الْقِرَاءَةِ فِيْ المُوَافِقِ.

“Jikalau makmum mengetahui tertinggal surah al-fatihah atau syak padanya sedangkan imam telah rukuk dan dia masih belum rukuk, maka wajib dia membaca al-fatihah kerana masih kekal kedudukannya (al-fatihah) dan dikira dia terkemudian kerana keuzuran, dan dia dihukum seperti seorang makmum muafiq yang lambat bacaannya.”

Bermaksud, makmum tersebut mesti menyelesaikan bacaan surah al-fatihahnya sebelum Imam bangkit kepada qiyam rakaat yang kemudian atau Imam pergi kepada rukun tahiyat akhir (tahiyat akhir termasuk rukun yang panjang, manakala 3 rukun yang panjang dalam situasi ini termasuklah rukuk, iktidal, sujud dua kali, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal). Jika selesai membaca surah al-fatihah sebelum tempoh tersebut, kejar Imam dengan menyempurnakan rukuk, iktidal dan duduk antara dua sujud. 

Manakala jika tidak selesai membaca surah al-fatihah, Imam sudahpun berada dalam qiyam rakaat seterusnya atau Imam telah berada pada tahiyat akhir maka makmum perlu berhenti membaca surah al-fatihah dan pergi kepada tempat perbuatan Imam ketika itu. Setelah imam memberi salam, dia perlu menambah satu rakaat lagi.


5.) Hal keadaan bagi makmum yang masbuq(3) terlupa membaca surah al-fatihah sehingga Imam sudah rukuk dan dia belum lagi rukuk, lalu dia teringat bahawa dia belum lagi membaca surah al-fatihah maka wajib bagi dirinya membaca bacaan surah al-fatihah sekadar mana tempoh lupanya itu. Jika makmum yang masbuq itu sempat rukuk dengan imam maka dia mendapat rakaat, jika tidak sempat rukuk berserta dengan tomakninah Imam makmum perlu menambah satu rakaat lagi. Jika makmum masbuq tidak sempat rukuk beserta tomakninah Imam, makmum masbuq perlu mengikut Imamnya dimana Imam berada.

Contohnya, makmum masbuk yang terlupa anggaran 15 saat kadar membaca surah al-fatihah, kemudian Imam sudah rukuk dan makmum masbuq belum lagi rukuk, tersedar belum lagi membaca surah al-fatihah, maka perlu membaca surah al-fatihah dalam anggaran 15 saat. Jika dalam tempoh 15 saat itu imam sudah bangun daripada rukuk (iktidal) maka makmum masbuq perlu berhenti membaca surah al-fatihah dan terus melakukan iktidal.  Nanti selepas imam memberi salam, makmum masbuq perlu menambah sebanyak satu lagi rakaat.

6.) Adapun bagi makmum muafiq atau masbuq teringat belum lagi membaca surah al-fatihah sedangkan Imam sudah rukuk dan dirinya juga sudah rukuk, maka dia tidak boleh berdiri kembali membaca surah al-fatihah tetapi wajib mengikuti perbuatan imam. Setelah imam memberi salam, hendaklah dia menambah satu rakaat lagi.

Ini seperti mana disebut oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh:

وَلَوْعَلِمَ الْمَأْمُوْمُ فِيْ رُكُوْعِهِ أنّهُ تَرَكَ الْفَاتِحَةَ، 
لَمْ يَعُدْ إِلَيْهَا بَلْ يُصَلِّيْ رَكْعَةً بَعْدَ سَلَامِ الْإِمَامِ.

“Jikalau makmum mengetahui ketika rukuk bahawa dia telah meninggalkan bacaan surah al-fatihah, maka jangan dia kembali berdiri sesudah rukuk, bahkan (menambah) solat satu rakaat selepas imam memberi salam.”

Tidak disunatkan bagi makmum untuk melakukan sujud sahwi jika melakukan kesalahan yang menjadikan dia sunat sujud sahwi jika solat sendirian, melainkan setelah makmum tersebut tidak lagi mengikut imam seperti imam telah selesai solat bagi makmum yang masbuk atau makmum telah mufaraqah dari ikutan Imam. Hal ini kerana Imam telah menanggung lupa makmum tersebut.

Makmum tidak diwajibkan untuk mengikut Imam yang telah meninggalkan rukun membaca surah al-fatihah.

Jika imam terlupa membaca surah al-fatihah pada mana-mana rakaat solat yang kuat bacaan (seperti maghrib, isyak dan subuh), makmum disunatkan melakukan fath (فتحٌ) iaitu mengingatkan imam dengan cara memperdengarkan bacaan termasuk bacaan surah al-fatihah supaya imam mengetahui kesalahan yang dilakukan kemudian membetulkan kesilapannya.(4)

Makmum mempunyai dua pilihan jika imam terlupa membaca surah al-Fatihah didalam solat:

a.) Berada dalam keadaan qiyam sambil menunggu Imam sujud sehingga imam berdiri kepada rakaat kedua. Tidak boleh makmum melakukan tahiyat awal apabila imam melakukan tahiyat awal.(5) Makmum perlu menunggu Imam dalam berdiri. 

Jika makmum pada rakaat kedua, tidak boleh duduk pada tahiyat awal sedangkan Imam berdiri (Imam berdiri sebab Imam menyangka dia sudah rakaat ketiga) walaupun memang tempat makmum sebab wajib makmum ikut Imam.(6) Makmum perlu ikut Imam berdiri.

Ketika Imam melakukan tahiyat akhir (pada sangkaan Imam rakaat keempat), makmum perlu berdiri menunggu Imam sehingga Imam memberi salam. 

Walaupun Imam sudah memberi salam, makmum yang berdiri tidak boleh rukuk disebabkan ikutan makmum dengan imam belum lagi habis.(7) Setelah imam salam, jika makmum mahu meneruskan rukuk, perlu berniat mufaraqah. Tetapi akan luput fadilat berjemaah.

Namun jika tidak mahu luput fadilat berjemaah, setelah lama imam memberi salam(8), barulah makmum boleh melaksanakan solat secara sendiri tanpa perlu berniat mufaraqah.


b.) Makmum terus berniat mufaraqah dan menyempurnakan solat secara sendirian.

Adapun bagi solat jumaat, tidak boleh makmum berniat mufaraqah pada rakaat pertama melainkan setelah berada pada rakaat kedua solat jumaat.(9)

Diantara dua pilihan makmum yang telah disebutkan, adalah afdhal bagi makmum menunggu Imam didalam solat, bukan melakukan mufaraqah.

Jika imam menyedari tertinggal bacaan surah al-fatihah, sedangkan Imam dan makmum telah pun rukuk, maka Imam wajib kembali kepada bacaan surah al-fatihah namun tidak bagi makmum. Makmum perlu menunggu imam dimana tempat makmum berada.

KESIMPULAN:

Sekiranya seseorang imam itu telah tertinggal satu ayat surah al-fatihah waktu rakaat akhir dan sebelum atau ketika berada pada tahiyat akhir tu baru dia menyedari kesilapannya, imam tidak boleh menutup dengan mengerjakan sujud sahwi semata-mata, malah pada waktu dia teringat sama ada ketika rukuk atau ketika sujud dan sebagainya perlu bangkit segera kepada qiyam untuk membaca surah al-fatihah secara sempurna. Kemudian menyempurnakan rukuk dan dua sujud sekali lagi.

Manakala hal keadaan makmum,  jika makmum mendapati keadaan imam daripada rukuk atau sujud pertama dan sebagainya telah bangkit semula untuk membaca surah al-fatihah maka makmum menunggu imam diperbuatan dimana makmum berada.

Allahu’alam.

Al-faqir Muhammad Irfan bin Abdul Rani


NOTA KAKI

(1) Wajib ikut imam pada perbuatan sunat tersebut, dan tidak wajib ikut pada perbuatan sunat tersebut yang Imam tinggalkan.

(2) Makmum muafiq ialah makmum yang memiliki masa yang cukup untuk membaca al-fatihah dalam masa qiyam Imamnya, manakala kadar bacaan al-fatihah tersebut ialah bacaan pertengahan iaitu bacaan yang tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Kadar masa bacaan surah al-fatihah tersebut tidak dinisbahkan kepada bacaan diri dan bukan juga nisbah kepada bacaan Imamnya. Bacaan surah al-fatihahnya tidak ditanggung oleh Imam.

(3)Makmum masbuq pula ialah makmum yang tidak memiliki masa yang cukup untuk membaca al-fatihah dalam masa qiyam Imamnya, manakala kadar bacaan al-fatihah tersebut ialah bacaan pertengahan iaitu bacaan yang tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Kadar masa bacaan surah al-fatihah tersebut tidak dinisbahkan kepada bacaan diri dan bukan juga nisbah kepada bacaan Imamnya. Bacaan surah al-fatihahnya boleh ditanggung oleh Imam.

(4) Menegur bacaan Imam dengan niat bacaan semata-mata. Sekiranya dilakukan tanpa niat atau dilakukan semata-semata niat kerana memberitahu imam maka batal solat yang dilakukan.

(5) Mengikut pegangan imamnya, Imam berada dalam rakaat kedua atau keempat untuk mengerjakan tahiyat namun oleh kerana meninggalkan tanpa sengaja surah al-fatihah dalam rakaat pertama, maka rakaat kedua menjadi rakaat pertama Imam.

(6) Tidak wajib ikut Imam pada perbuatan sunat tersebut, tetapi wajib meninggalkan perbuatan sunat tersebut jika Imam meninggalkan sunat tersebut.

(7) Hal ini kerana Imam tidak sengaja memberi salam.

(8) Kadar lama itu mengikut uruf. Ada pendapat mengatakan ukuran lama itu mengikut kisah yang berlaku kepada sahabat yang bernama Zul Yadain. Anggaran masa sekitar 40 saat.

(9) Sekurang-kurang mendapat rakaat solat jumaat adalah mendapat satu rakaat solat jumaat.

RUJUKAN:

Dato Dr Anhar Opir
Ustaz Abdullah Yusuf
Ustaz Hanafiah Hussin al-Bandani
Ustaz Hazri Hashim al-Bindani
Ustaz Mohd Radhi Idris
Ustaz Syahir Shahbudin

Al-Fatani; Daud bin Abdullah (2016), Munyatul Musolli & Bahjah Mardhiah, Kelantan: Jabal Maraqy Sdn. Bhd hal.145

Hasan Ahmad (____), Muafik dan Masbuk, Kelantan: Jaafar Rawas hal. 11

Mohd Haidzir Hussin (2014), Indahnya Solat Berjemaah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd. Hal. 230-233

Mohd Hazri Hashim (1436H), Bekalan Imam Idaman Makmum, Selangor: S@N Vision (M) Sdn. Bhd. Hal. 38

Muhadir Haji Joll (2018), Misbahud Duja fi Syarh Safinah al-Naja, Selangor: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Hal. 352-353

Al-Banjari; Muhammad Arsyad (2017), Bidayatul Mubtadi Wa ‘Umdatul Aulad, Kelantan: Jabal Maraqy Sdn. Bhd. Hal. 74

Mustafa al-Khin(Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafi’i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. 1/403

Nazirul Mubin (2016), Memburu 27 Darjat, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. Hal. 104

Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd. Wahid Abd. Hamid (2011), Ensiklopedia Solat, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd hal. 343-345

Wahbah az-Zuhaili (Prof)(Dr) (2010), Fiqh Islam Wa Adillatuhu, Jakarta, Gema Insani. 2/340

Zakaria Bin Ahmad Wan Besar (Dato’)(2010), Terjemahan Al-Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum Wal Imam, Kedah: Pustaka Darussalam Sdn Bhd. Hal. 31-32

Zulkifli Mohamad al-Bakri (Dr) (2013), Hebatnya Kuasa Hafazan, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd. Hal. 88

Zulkifli Mohammad al-Bakri (Dr) (2018), al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. Hal. 165






Tiada ulasan:

Catat Ulasan