AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 6 Januari 2019

Keadaan Asap ad-Dukhan

Soalan:

Nak tanya sikit, boleh tak explain sikit pasal dukhan; asap yang menutupi bumi 40 hari?

Jawaban:

Para ulama sepakat mengatakan bahawa asap ini sebagai sebahagian dari petanda kiamat, namun begitu, mereka berbeza pendapat tentang maksud asap ad-dukhan itu:

1. Asap kemarau

Ada pandangan ulama yang berpendapat bahawa asap kemarau telah pun berlaku dan ianya telah menimpa kaum Quraisy Makkah ketika di doakan Nabi Muhammad sallahu'alaihi wasallam. Asap tersebut membawa kesusahan dan kelaparan kepada kaum Quraisy. Nabi Muhammad sallahu'alaihi wasallam mendoakan mereka kerana tidak menyahut seruan baginda. Mereka memandang ke langit tetapi mereka tidak melihat apa-apa pandangan melainkan sesuatu seperti asap.

إِنَّ قُرَيْشًا أَبْطَئُوا عَنِ الإِسْلاَمِ فَدَعَا عَلَيْهِمِ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – فَقَالَ « اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَيْهِمْ بِسَبْعٍ كَسَبْعِ يُوسُفَ ، فَأَخَذَتْهُمْ سَنَةٌ حَتَّى هَلَكُوا فِيهَا ، وَأَكَلُوا الْمَيْتَةَ وَالْعِظَامَ وَيَرَى الرَّجُلُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ كَهَيْئَةِ الدُّخَانِ
"Ketika kaum Quraisy tidak mahu masuk islam, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan keburukan untuk mereka. Baginda berdoa, “Ya Allah, timpakanlah kekeringan kepada mereka, seperti kekeringan di zaman Yusuf.” Lalu mereka mengalami kekeringan, sampai banyak yang meninggal, lalu mereka makan bangkai, tulang. Sementara orang melihat di antara langit dan bumi (udara) seperti asap."
 (HR. Ahmad 4186 dan Bukhari 4774)
Pandangan ini adalah merupakan pandangan Abdullah bin Mas'ud dan pendapat beliau diterima pakai oleh generasi terdahulu seperti Mujahid, Abul 'Aliyah dan an-Nakhaei dan pendapat ini dipilih oleh Imam Ibn Jarir at-Tobari rahimahullah.

Namun begitu, ulama menyatakan bahawa asap yang menimpa kaum Quraisy itu bukanlah salah satu tanda daripada Hari Kiamat tetapi asap tersebut hanyalah sesuatu ilusi yang mereka nampak disebabkan oleh lapar dan letih.

2. Asap Tebal yang menyelubungi seluruh permukaan bumi yang akan terjadi di akhir zaman

Ramai ulama berpendapat bahawa asap ad-dukhan ini sebagai sebahagian dari petanda kiamat yang belum berlaku, dan ia akan berlaku apabila hampir pada saat kiamat. Inilah pendapat 'Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Abu Said al-Khudri radiyallahu'anhum. Al-Hafiz Ibn Katheer berpendapat bahawa pendapat ini adalah pandangan yang lebih tepat. Pandangan ini juga merupakan pendapat jumhur ulama. Hal ini dapat difahami menerusi firman Allah yang Mulia:

فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِى ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٍ۬ مُّبِينٍ۬ (١٠)
"Maka tunggulah pada hari ketika langit membawa kabut yang tampak jelas."
(al-Dukhan 44:10)

Ad-Dukhan merupakan sebahagian dari tanda besar kiamat. Asap tebal ini akan menjadikan orang yang beriman seperti diserang penyakit selsema. Adapun orang yang kafir maka asap itu akan menyebabkan orang kafir seperti orang yang mabuk kerana asap tebal itu masuk kedalam semua rongga badan lalu akan keluar semula dari mulut, hidung, telinga dan duburnya. Ada riwayat menyebutkan asap tebal tersebut berasal dari Neraka Jahannam.

Boleh jadi juga bahawa asap itu akan berlaku dua kali, pertama telah pun berlaku pada zaman Nabi Sallahu'alaihiwasallam manakala asap yang kedua pula akan berlaku sebagai sebahagian dari tanda-tanda besar Kiamat.

Setelah asap tersebut berlaku memenuhi tanda besar Kiamat maka akan bertiuplah  angin lembut yang datang dari arah selatan (negeri Yaman) yang akan mematikan keseluruhan orang-orang beriman walaupun imannya hanya sebesar zarrah sahaja.  Apabila orang beriman kesemuanya telah meninggal dunia, maka yang tinggal hanyalah orang kafir yang tidak mengenali Allah dan tidak tahu mengenari agama. Ketika itu, sudah tidak ada lagi mereka yang akan menyebut nama Allah di atas muka bumi. Allahu'alam.


RUJUKAN:

Ahmad Fahmi Zamzam (2005), Kiamat Hampir Tiba, Kedah: Khazanah Banjariah. hal. 119-121

al-Qurtubi; Muhammad bin Ahmad (2014), Rahsia Kematian Alam Akhirat Dan Kiamat (Terjemahan At-Tadzkirah bi Ahwal al-Mauta Wa Umur al-Akhirah), Selangor: Al-Hidayah House Of Publishers Sdn. Bhd. hal. 1038-1039

Al-'Areefi'; Muhammad bin Abdul Rahman (Dr) (2011), Berakhirnya Dunia Ini (Terjemahan Nihaayat al-'Aalam) hal. 403-407

Tiada ulasan:

Catat Ulasan