AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Isnin, 28 Mei 2018

Solat Jumaat Jamak Taakhir

SOALAN:

kalau saya dekat Tapah ni nak balik Shah Alam.
Masa dekat Tapah ni, dah boleh jamak terus ke solat Jumaat nanti dengan Asar? or kene start perjalanan dulu baru boleh jamak?


JAWABAN:

Terima kasih bertanya. Soalan ini bersifat umum dan perlu kepada penjelasan.

Namun in sya Allah atas keterbatasan ruang ini saya akan perjelaskan secara ringkas tentang masalah ini.

1. Permulaan musafir

Permulaan safar yang diharuskan qasar dan jamak ialah bila melepasi kawasan sempadan.

Mengikut konteks kawasan kediaman hari ini, sempadan boleh diukur berdasarkan adat kebiasaan setempat seperti sempadan kampung atau mukim, sempadan bandar, seksyen, presint, sempadan taman perumahan dan sebagainya yang boleh dianggap sebagai pemisah antara satu kawasan kediaman dengan kawasan kediaman yang lain.

2. Syarat Qasar: Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. 

Jika seseorang berniat menetap selama empat hari di suatu tempat maka dia tidak harus mengqasarkan solat lagi serta merta kecuali dalam perjalanan (pergi dan balik) sahaja.

Jika seseorang berniat hendak menetap kurang dari empat hari maka boleh mengqasarkan solatnya selama berada di situ.

Sebagai contoh, saudara bertolak Shah Alam ke Ipoh pada hari Jumaat. Saudara bercadang hendak duduk di Ipoh selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Saudara pula bercadang akan pulang pada hari Isnin. Maka walaupun kelihatan seperti empat hari menetap disana. Kiraan pergi dan balik adalah tidak dikira. Kiraan dua hari (Sabtu dan Ahad) adalah termasuk dalam tiga hari yang dikira yang dibenarkan menjamakkan dan memendekkan solat sepanjang berada disana. Jika saudara berniat untuk duduk selama empat hari setelah bertolak pada hari Jumaat, (Sabtu, Ahad, Isnin dan Selasa) dan pulang pada hari Rabu, maka sampai sahaja disana tidak dibenarkan menjamak dan mengqasarkan solat kerana dikira bermukim.

Syarat Solat Jamak adalah sama dengan solat qasar. 

3. Hukum Jamak Taqdim Antara Solat Jumaat Dengan Solat Asar

Hukum menggabungkan solat jumaat dengan asar adalah dibolehkan seperti yang disebutkan didalam kitab Mughni al-Muhtaj, hukum ini adalah sama seperti menggabungkan solat zuhur dengan asar. Namun begitu, jamak takhir (solat jumaat didalam waktu asar) adalah tidak dibenarkan kerana solat Jumaat tidak boleh ditangguhkan daripada waktunya.

Sesuai dengan syarat sah solat jumaat yang disebut oleh pengarang kitab Safinatun Naja pada fasal 45:

أَنْ تَكُونَ كُلُّهَا فِي وَقْتِ الظّهْر
“Hendaklah dikerjakan semuanya (termasuk khutbah) dalam waktu zuhur.”


KESIMPULAN:

1. Jika saudara telah berniat untuk duduk di destinasi selama 4 hari dan lebih  (tidak campur hari pergi dan pulang) maka adalah tidak dibenarkan mengqasarkan solat dan menjamakkan solat (sebab musafir) ketika sepanjang berada disana (kecuali dalam perjalanan pergi dan balik) kerana tidak lagi diiktiraf sebagai musafir. 

Jika terjadi situasi berniat duduk selama 4 hari dan lebih, maka perlu dilihat kepada dua keadaan:

i) Jika telah memulakan perjalanan setelah keluar dari sempadan kampung atau mukim, saudara boleh melaksanakan solat Jumaat dan menjamakkannya dengan solat asar. 
ii) Jika belum memulakan perjalanan, saudara hanya boleh melakukan solat jumaat dalam waktu zuhur dan melakukan solat fardu asar secara qasar didalam waktu asar ketika dalam musafir nanti.

2. Jika saudara berniat untuk menetap di satu tempat selama 3 hari atau kurang 3 hari saudara boleh melaksanakan solat jumaat dan menjamakkan solat asar dengan jamak taqdim walaupun tidak memulakan perjalanan musafir. Solat secara rukhsah (qasar dan jamak) boleh dilakukan selama berada disana termasuk hari pergi dan hari balik.

Allahu’alam.



RUJUKAN:

Mohd Haidzir Hussin (2014), Indahnya Solat Berjemaah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 350

Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafi’i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. 1/430-431

Salim bin Sumair (2014), Safinatun Naja, Kelantan: Jabal Maraqy Sdn. Bhd. hal. 19

Zaharuddin Abdul Rahman (Dr)(2012), Mutiara Akidah & Ibadah, Selangor: Grup Buku Karangkraf. hal. 167

Zulkarnain Dollah, Azhar bin Yahya (2016), Panduan Solat Jamak Dan Qasar Untuk Para Musafir, Selangor: Darul Syakir Enterprise hal. 3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan