SOALAN:
Esok saya ada check gigi
Nanti dia akan masuk air dalam mulut
Kalau tertelan batal puasa tak?
JAWABAN:
Terima kasih bertanya.
Jika tidak dapat dielakkan rawatan dibuat pada siang hari maka hukumnya adalah harus membuat rawatan dan wajib menggantikan puasanya nanti jika jelas ada ubat, air, darah atau bahan yang masuk kedalam rongga (halkum) ketika proses rawatan gigi dijalankan.
Ini selaras dengan apa yang disebut oleh pengarang kitab Al-Fiqh al-Manhaji mengenai perkara yang membatalkan puasa: sesuatu benda masuk ke dalam rongga melalui ruang yang sedia terbuka:
“Benda bermaksud sesuatu yang dapat dilihat manakala rongga bermaksud ruang selepas halkum hingga usus dan perut.”
Memetik pandangan Keputusan yang sudah diputuskan dan disepakati antara fuqaha dalam Majma’ al-Fiqhi al-Islami dibawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada daurah yang ke-10 [pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] bertempat di Jeddah, Arab Saudi yang menjelaskan bahawa perkara berikut tidak membatalkan puasa:
“Tooth drilling, extraction, cleaning or the use of miswak and toothbrush, provided nothing is swallowed into the stomatch, do not nullify fasting.
Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.”
Begitu juga tidak membatalkan puasa kerana membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tidak ada yang ditelan masuk kedalam (Mouth wash, gargle or oral spray, provided nothing is swallowed into the stomach.)
Pendapat ini dimuatkan didalam www.fiqhacademy.org.sa
Satu garis panduan telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit:
“Perkara-perkara yang berkaitan rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah:
...
iii. Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut...”
Kami mencadangkan agar satu usul dibuat agar doktor gigi melanjutkan operasi rawatan gigi pada waktu malam selepas waktu berbuka. Ini seperti mana yang di amalkan di Hague, salah satu bandar utama di Belanda. Hal ini adalah kerana membantu umat Islam agar puasanya dapat dilaksanakan tanpa wujud elemen yang boleh membatalkan puasa.
KESIMPULAN:
Secara asas, rawatan gigi adalah tidak membatalkan puasa. Semata-mata memasukkan peralatan rawatan ke dalam mulut tidaklah membatalkan puasa. Namun menelan sesuatu sewaktu tempoh rawatan gigi membatalkan puasa. Rawatan gigi melibatkan elemen yang boleh membatalkan puasa seperti menelan darah dan sebagainya.
Justeru itu, kami mencadangkan untuk membuat rawatan gigi pada malam hari (jika ada) atau mengambil tarikh temu janji rawatan pada tarikh sebelum atau selepas bulan Ramadan.
Jika puasa telah terbatal, maka wajib menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa (imsak) dan menggantikan puasa tersebut.
Allahu’alam.
RUJUKAN:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140623/re_05/Rawatan-pergigian-semasa-Ramadan
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/804-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-92-rawatan-memutihkan-gigi-di-siang-hari-ramadhan
(2012) Al-Ustaz, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. 4/36
(2009), Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. hal. 6
Ahmad Adnan Fadzil (2013), A-Z Soal Jawab Puasa, Solat Tarawih, Zakat Fitrah & Hari Raya, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal 67
Muhadir Haji Joll (2016), Nawaitu Sauma Ghadin, Selangor: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. hal 98-101
Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syarbaji, Manhaj Fiqh al-Syafi’i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. 2/151
Tiada ulasan:
Catat Ulasan