AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Sabtu, 2 September 2017

HUKUM GUNA DUIT JUMPA

SOALAN:

Kalau duit yang kita jumpa dan kita ambil.... tetapi kita tidak tahu siapa punya...

'Standard' orang cakap jumpa letak dalam tabung masjid... Niatkan untuk si empunya duit...

Tetapi bila orang tu jumpa duit, dia ambil tetapi dia guna... Yang ni haram ke?


JAWABAN:

1. Dalam permasalahan ini, ia dipanggil dengan luqatah (لقطة). Luqatah membawa maksud, harta yang hilang dari yang empunyanya dengan sebab tercicir atau terlupa dan yang seumpamanya, dan terdapat di tempat yang tidak dimilikinya.

2. Menurut Abdul Ghani Yahya didalam Idaman Penuntut, Luqatah ini terdapat lima hukum[1]:

i. Sunat jika orang yang mengutip itu percayakan dirinya amanah.
ii. Harus jika orang yang mengutip itu percayakan dirinya amanah ketika itu, namun ragu-ragu keadaan dirinya pada masa mendatang jika dia bukan orang yang fasiq.
iii. Makruh jika orang fasiq yang mengutip itu percaya dirinya amanah ketika itu namun ragu-ragu keadaan dirinya pada masa mendatang.
iv. Haram jika dia tidak percayakan dirinya amanah.
v. Wajib jika dia percayakan dirinya pada masa itu amanah dan pada masa akan datang tidak ada orang amanah di tempat dia menjumpai duit tersebut.

3. Bagi individu yang ingin memiliki duit yang dijumpai, maka dia perlu mengumumkannya selama setahun di pintu-pintu masjid dan di tempat dia menemui duit itu. 

Berkata pengarang kitab Matan Abi Syuja', Imam Abu Syuja' Ahmad bin al-Husain (w.593H):

"Sekiranya dia ingin memilikinya, dia perlu mengumumkannya selama setahun di pintu-pintu masjid dan di tempat dia menemui barang itu. Sekiranya dia tidak menemui pemilik asalnya, dia boleh memilikinya dengan syarat bertanggung jawab keatasnya."[2]

Jika pemilik asal tidak datang dalam tempoh setahun, orang yang menjumpai duit tersebut boleh memilih sama ada mahu menyimpan duit tersebut atau menggunakan duit tersebut dengan niat mengganti semula duit tersebut jika pemilik asal datang menuntut duit tersebut.[3]

4. Namun jika nilaian duit tersebut tidak berapa berharga (anggaran nilai satu dirham) maka bolehlah dia memperkenalkan selama kira-kira si pemilik asal tidak memperdulikannya menurut anggapannya.[4] Ada ulama menyatakan jika nilaianya tidak besar, maka boleh mengiklankannya sehingga tiga hari.[5]

5. Jika menggunakan duit yang dijumpai tanpa keadaaan terdesak maka dia dikira memakan harta secara Haram. Menjadi kebimbangan amalan kita tidak diterima oleh Allah. Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya, dari Rasulullah Sallahu'alaihiwasalam,

"Sesiapa yang membeli baju seharga 10 dirham, dan dia dalam harga (10 dirham ini) ada satu dirham dari hasil haram, Allah tidak menerima solatnya selama pakaiannya itu ia kenakan."[6]

Maka benarlah kata pengarang kitab Muhimmah, Syaikh Abdullah bin Abdur Rahim Fathani dalam kitab Muhimmah bahawa Allah tidak menerima ibadah solat dari manusia yang mencuri.[7]

KESIMPULAN:

Duit yang dijumpai tidak boleh digunakan jika keadaan tidak mendesak. Jika kita seorang yang tidak amanah, maka hukumnya HARAM kita mengutip duit tersebut. Jika kita hendak menggunakan duit tersebut contohnya ingin letak di dalam tabung masjid, membayar tol, membeli barang keperluan dan sebagainya maka perlu di iklankan selama setahun. Cara mengiklankan boleh menyuruh AJK Masjid tolong mengumumkan sebelum melaksanakan solat Jumaat contohnya. Jika selepas menggunakan duit tersebut tuan duit datang menuntut duit tersebut maka kita perlu menggantikan semula nilaianya duit tersebut untuk diberikan semula kepada tuannya yang asal. 

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Abdul Ghani bin Yahya (2014), Idaman Penuntut, Kuala Lumpur: Syarikat Bajrai. 2/62
[2]Abu Syuja', Ahmad bin al-Husain (2014), Matan Abi Syuja', Selangor; PTS Islamika Sdn. Bhd. hal. 149
[3] Abdul Ghani bin Yahya (2014), Idaman Penuntut, Kuala Lumpur: Syarikat Bajrai. 2/62
[4] Abdul Hamid Hakim (2013), Al-Mu'in al-Mubin, Selangor: Al-Hidayah Publication. 3 &4/535
[5] Mohammad Nidzam Abdul Kadir (2007), Remeh Temeh Tentang Muamalat, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 152
[6] Adz-Dzahabi, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad (2014), Al-Kabaair, Kuala Lumpur; Erfan Hj M. A Ghani. hal. 223
[7] Abdullah bin Abdur Rahim (2012), Muhimmah, Selangor; Hijjaz Records Publishing. hal. 30

6 ulasan:

  1. Contoh kalau kita terjumpa duit 1 sen dan kita tidak tahu siapa punya boleh ke ambil?

    BalasPadam
  2. Contoh jika kita terjumpa duit 1 sen boleh ke nak ambil?

    BalasPadam
  3. 1 sen je kot,boleh lah rasenya tpi nk buat ape ngan 1 sen

    BalasPadam
  4. kalau naik moto duit nya tercicir dan mencarik tuan nya tak dapt mcm mne ye

    BalasPadam
  5. Kalau waktu kecik ii dulu terpakai duit yang terjumpa mcm mn pulak

    BalasPadam