AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Khamis, 24 April 2014

Pegang Najis Membatalkan Wuduk?

Soalan:

Adakah memegang najis membatalkan wuduk?

Jawaban:

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman didalam bukunya[1], 'Mutiara Akidah dan Ibadah' pada halaman 176 berkata:

"Jika secara langsung (memegang najis), solat akan terbatal tetapi tidak wuduknya. Manakala, najis itu perlu dibasuh dan tidak perlu memperbaharui wuduk."

Kemudian, dijelaskan juga oleh ulama[2],

"Tidak ada sebarang keterangan yang menunjukkan batal wuduk apabila menyentuh ataupun memegang benda najis walaupun najis berat. Cuma kita diwajibkan membasuh ataupun membersihkannya sahaja ataupun menyamakannya (menyertu) sekiranya ia najis berat."

Allahu'alam

RUJUKAN:


[1] Zaharuddin Abdul Rahman (Dr). Mutiara Akidah Dan Ibadah. Selangor Darul Ehsan: Karya Bestari Sdn Bhd.
[2] Harun Din (Dr), Ishak Din, Abu Hassan Din al-Hafiz (2011), Menjawab Persoalan Fikah Harian (Edisi Kemas Kini) m/s 22. Kuala Lumpur: PTS Millenia Sdn Bhd.

Tidur Lepas Isyak, Boleh Tahajjud?

Soalan:

Saya tidur lepas isyak. Bangun pukul 10 (malam). Boleh tahajjud tak?
Bukan senang ada peluang ni.

Jawaban:

Solat tahajjud disyaratkan dengan dua perkara[1]:

1. Selepas menunaikan solat isyak.

2. Selepas tidur sama ada tidur selepas solat maghrib atau selepas solat isyak.


RUJUKAN:

[1] Ustaz Azhar Idrus (2014), Majalah Q&A Isu 25: Celak Mata m/s 35. Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Jumaat, 18 April 2014

Bahasa Arab bahasa Syurga?



Soalan:

Bahasa arab ni bahasa syurga ke?

Jawapan:

Hadis Pertama:

Daripada Ibn Abbas R.anhuma:

أحبوا العرب لثلاث:لأني عربي، والقرآن عربي،  وكلام أهل الجنة عربي           

“Cintailah bangsa arab kerana tiga perkara;
Iaitu kerana aku berbangsa Arab, al-Quran itu berbahasa arab dan percakapan ahli syurga adalah bahasa Arab.”

Hadis ini dikeluarkan oleh at-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Awsat, al-Hakim di dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, dan lain-lain.

Pada silsilah sanadnya terdapat al-‘Ala’ bin ‘Amru al-Hanafi, Yahya bin Yazid, dan gurunya Ibn Juraij yang riwayat yang mereka semua menerima krtikan ramai ahli hadis. Sanad hadith daripada Yahya bin Yazid (atau Buraid) al-Ash'ari statusnya lemah. al-'Ala pula matruk (perawi yang dituduh berdusta, memalsukan hadis dan banyak melakukan kesilapan dalam periwayatan atau meriwayatkan hadis lemah daripada perawi thiqah.)

Ada tiga hukum ulama terhadap hadis tersebut iaitu:

1.      Ulama yang menyatakan ia hadis sahih atau hasan:
Antara mereka; al-Hakim dalam al-Mustadrak, diikuti oleh al-‘Iraqi di dalam Takhrij Ihya’ ‘Ulumuddin, as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghir, dan Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah. As-Silafi dan Az-Zurqani dalam Mukhtasar al-Maqasid mengatakan ia hasan (hasan li-ghairih[1])


2.      Ulama yang menyatakan ia hadis daif atau seumpamanya:

Antara mereka; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, al-Haithami dalam Majma’ az-Zawa’id, as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, as-Suyuti dalam an-Nukat ‘ala al-Mawdu’at, Ibn ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih as-Syari’ah, al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ dan lain-lain.


3.      Ulama yang menyatakan ia hadis yang sangat daif atau palsu:

Antara mereka; Al-‘Uqaili dalam ad-Dhu’afa’, as-Syawkani dalam al-Fawa’id al-Majumu’ah dan lain-lain. Sheikh Nasiruddin Albani juga menghukumkannya sebagai hadis palsu di dalam al-Silsilah al-Dhaifah (bil. 160)

Pernah ditanya kepada Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

“Dengan bahasa apakah manusia bertutur pada hari kiamat? Apakah ALLAH SWT berbicara dengan manusia dalam bahasa Arab? Apakah benar bahasa ahli neraka adalah bahasa Parsi dan bahasa ahli syurga ialah bahasa Arab?

Jawapan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

“Segala pujian bagi ALLAH, TUHAN sekalian alam. Tidak diketahui bahasa yang akan dituturkan oleh manusia pada hari akhirat. Tidak diketahui juga manusia akan dengar daripada percakapan ALLAH SWT (pada hari tersebut). Ini kerana, ALLAH SWT dan Rasul-NYA tidak mengkhabarkan kepada kita sesuatu pun tentang perkara ini.

Tidak sahih juga kononnya bahasa Parsi itu bahasa ahli neraka. Tidak sahih juga bahasa Arab itu bahasa ahli syurga. Tidak juga kami ketahuinya adanya perbahasan dalam kalangan sahabat tentang perkara ini. Bahkan, semua mereka menahan diri daripada membicarakannya kerana ia termasuk perkara yang tidak perlu…
Semua pendapat ini tiada hujah sama ada dari sudut akal ataupun naqal. Bahkan ia semata-mata dakwaan yang tiada dalil. Wallahu’alam wa ahkam.” (Majmu’ al-Fatwa 4/299)

Saya cenderung kepada pendapat yang dikemukakan oleh Ustaz Khafidz Soroni, seorang pensyarah di Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Selangor dan merupakan Co-Editor di Institut Kajian Hadis Selangor, beliau mengatakan: 

“Setelah meneliti jalan-jalan riwayat hadis berkenaan, saya melihat pendapat kedua adalah lebih sederhana yang menyatakan ia hadis dhaif, bukan sahih dan bukan juga palsu.”


HADIS KEDUA:

Daripada Abu Hurairah r.anhu:

“Aku ini berbangsa Arab, al-Quran itu berbahasa Arab, dan percakapan ahli syurga adalah berbahasa arab.”
Pada sanadnya terdapat Abdul Aziz bin Imran dan Syibl bin al-‘Ala’ yang kedua-duanya turut menerima krtikan ahli hadis.


HADIS KETIGA:

Daripada Anas Bin Malik r.anhu:

“Ahli Syurga akan masuk ke syurga dengan ketinggian Adam 60 hasta ukuran hasta malaikat, dengan kecantikan Yusuf, dengan usia Isa 33 tahun dan dengan lisan Muhammad Sollahu ‘Alaihi Wassalam (iaitu berbahasa Arab). Wajah mereka muda kacak, licin dan bercelak.”

(Hadis Riwayat Ibn Abi Dunya dalam Kitab Sifat al-Jannah. Sanad yang dhaif)

Banyak hadis yang menunjukkan bahasa ahli syurga adalah bahasa arab, namun ia bukan riwayat yang kuat untuk digunakan sebagai hujah.

Saya pernah bertanya soalan ini kepada seorang panel di dalam Facebook Tanyalah Ustaz, maka jawab mereka:

“TIADA hadis dan dalil yang sohih mengatakan bahasa Arab adalah bahasa syurga. Kita belajar dan cuba bertutur dalam bahasa Arab kerana itulah bahasa wahyu diturunkan, dan bahasa Nabi yang kita cintai bertutur. Bahasa Arab yang betul inilah syiar Islam.

(Offtopic tapi berkaitan: Lelaki yang jatuh cinta dengan gadis bangsa lain akan berusaha untuk belajar bahasa gadis tersebut. Maka kenapa tidak kita belajar bahasa orang yang paling kita cinta, iaitu Muhammad Sollahu ‘Alaihi Wassallam.)”

Suka saya menceritakan kisah yang dimuatkan oleh Imam Zarnuji di dalam kitabnya Taalim Muallim pada bab “Menghormati guru, bagaimana diceritakan bahawa Khalifah Harun ar-Rashid telah menghantar anaknya untuk belajar ilmu adab daripada seorang ulama.

Apabila khalifah mengintai anaknya, anaknya sedang menjirus air ke kaki ulama dan ulama tersebut menggosok kakinya. Khalifah marah dan segera bertanya, “Mengapa kamu menyuruh anakku menjirus air untuk wuduk? Sepatutnya kamu menyuruh dia menjirus air dengan sebelah tangan lagi dia gunakan untuk menggosok kakimu!”

Ya. Ulama tersebut ialah Imam Asma’i, seorang pakar bahasa Arab yang terkenal. Maka pasti ada hikmahnya peranan ilmu bahasa arab dalam mempengaruhi akhlak seseorang.

Sulaiman al’Amash merupakan guru kepada  Waqi Bin al-Jarrah (guru kepada Imam as-Shafie) ketika Waqi ini masih muda. Namun sebelum Sulaiman al’Amash mengajar Waqi ilmu hadis, beliau terlebih dahulu mengajar ilmu nahu kepda Waqi. Kisah ini dimuatkan di dalam Al-Jami’ Li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’.

Menarik tentang bahasa arab ini, kajian internetworldstats.com menunjukkan bahawa  bahasa arab merupakan bahasa kelima yang paling ramai dituturkan iaitu seramai 232 juta manusia dan direkodkan sebagai 10 bahasa paling popular di dunia! 

Wallahu’alam.

RUJUKAN:

[1] Ustaz Mohamad Abdul Kader Bin Sahak (2013), Biar Tahu Jangan Keliru: Benarkah Bahasa Arab Bahasa Syurga?  m/s 65-67, Karya Bestari Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan.

[2] Ustaz Khafidz Soroni (2014), Majalah Q&A Isu 25; Halaqah Hadis: Benarkah Bahasa Arab Bahasa Syurga? m/s 66-67, Galeri Ilmu Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan

[3] Ustaz Umar Muhammad Nor (2013), Majalah Gen Q Isu 23; Strategi Belajar: Kunci Segala Ilmu. m/s 54-55, Telaga Biru Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan.

[4] Mohd Mutawwali Sya’rawi Mohamad al-Bakri (2014), Majalah Q&A Isu 25; Sudut Pandang: Bahasa Arab Mempengaruhi Adab m/s 53-55, Galeri Ilmu Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan

[5] Muhammad Mustaqim Mohd Zarid (2011), Hadis-Hadis Palsu Dalam Mustadrak al-Hakim, Card Information Sdn Bhd: Universiti Sains Islam Malaysia


[1] Hadis yang dhaif secara ringan yang disokong oleh satu atau beberapa riwayat lain yang juga bertaraf daif sepertinya ataupun bertaraf lebih kuat darinya.

Jumaat, 4 April 2014

Apa itu Tunang?



Soalan:

Betulke kalau kita melamar seorang perempuan tu walaupun family dia tak tahu, maka kita dah dikira bertunang dengan dia?

Jawapan:

1.      Ustaz Subhi Sidon

Soalan ini ditujukan kepada seorang Qadhi Batu Pahat yang popular, al-Fadhil Ustaz Subhi Sidon, beliau menjawab:

“Bila mana kita melamar pasangan tersebut tanpa diketahui oleh walinya. Maknanya, “Saya nak dengan awak, dan saya nak bertunang dengan awak. Ok?” Adakah itu dikira bertunang? TIDAK, sebab dia ada walinya. Walinya ialah wilayah kepada perempuan tersebut. Siapa wilayah kuasanya?  (perempuan) di bawah walinya. Sebab itu kena ambil izin dipersetujui oleh walinya dan dipersetujui oleh pihak perempuan barulah dinamakan bertunang.
Kalaulah hukum mengatakan itu sahaja dah boleh diterima sebagai pertunangan, oh huru-hara jadinya.
Bapa terima pinangan. Ok, bapa boleh menikahkah mauliyahnya atau mauliyahnya yang bikir. Apa itu bikir? dara. Bikrun, Anak dara. Tanpa izin, menikah mauliyahnya yang dara tanpa izin daripada anak perempuannya[1], dia boleh tetapi lebih baik dan sunat lebih afdhal jika mengambil izin. Tetapi dalam hukum syarak boleh menikahkan mauliyahnya tanpa izin daripada bikrun ataupun mauliyahnya yang dara.
Berbanding dengan janda, janda dia kena ambil izin (daripada janda). Sebab itu Janda bila mana kita nak minta izin, “kamu setuju tak untuk dinikahkan dengan Fulan bin Fulan?” dia mengangguk tak dikira izin. “Kamu setuju tak bernikah dengan fulan?” dia senyum. Itu tidak dinamakan izin. Dia kena lafaz,“Kamu setuju,” “Setuju.” Tetapi perempuan yang bikrun atau perempuan yang dara dia tak perlu izin daripada walinya, boleh dinikahkan.
Dalam hal pertunangan (kalau perempuan bersetuju tanpa walinya), itu tidak dinamakan pertunangan.”


2.      Ustaz Adnin Roslan

Begitu juga sahabat saya, al-Fadhil Ustaz Adnin Roslan, pemilik blog AdninRoslan.blogspot.com menyatakan ia tidak dikira sebagai tunang.


3.      Ustaz Azhar Idrus

Namun jawapan yang berbeza diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus ketika ditanya soalan sama ada adakah dikira tunang melalui sms, maka Ustaz Azhar mengatakan sah [Video: (Baru) Hukum tunang dalam handphone - Ustaz Azhar Idrus]:

Jadilah isteri saya,” Buka dalam bab-bab khitbah, dia panggil lafaz meminang dah…
(Perempuan jawab,) “Kita ok je”, ok tak jadi sarih. Ok banyak bahasa. Ok maknanya Ok kira semula, Ok mari mak bapak. Jadi tu kinayah. Jadi kalau ok tu dalam hati perempuan mengatakan maknanya suka maka sah menjadi tunang orang. Faham? Walaupun bergurau.
Sebab yang berat iaitu kahwin, bergurau pun sah maka ringan pada kahwin, (iaitu) tunang, lebih-lebih daripada sah. Faham?
Jadi kalau dijawab perempuan itu dengan jawab, Qabul yang sarih, seperti:
Saya reda.”
Saya suka.”
Saya nak.”
Saya tidak membangkang sedikit pun.”
Saya terima.”
Jadi sah (bertunang).”

Didalam al-Ustaz[3], Ustaz Azhar Idrus menjelaskan:

"Seorang lelaki apabila menyatakan hasrat untuk meminang dan perempuan tersebut setuju maka dikira sebagai tunang dari sudut Islam. Dengan syarat perempuan tersebut sudah baligh, cerdik dan pandai bawa diri. Tetapi sekiranya perempuan tersebut belum baligh atau gila, maka persetujuannya tidak sah. Perlu kepada persetujuan ibu bapa. Adapun kebiasaan masyarakat datang dengan rombongan itu hanyalah adat."


4.      Ustazah Fatimah Syarha

Ustazah Fatimah Syarha di dalam Forum “Aku Terima Nikahnya 2.0” menyatakan:

“Apa itu bertunang? Khitbah?
Ada perbezaan perbezaan pendapat di kalangan para ulama. Kalau boleh merujuk kitab-kitab seperti (karangan) Abdul Karim Zaidan, Wahbah az-Zuhaily. Mereka ni ada definisi-definisi tersendiri tentang bertunang.
Ada yang kata bertunang itu adalah persetujuan antara lelaki dan perempuan.
Bila Ahmad mesej dekat Aminah, “Aminah, saya rasa nak cop awak.” Aminah kata, “Yeay yeay, yeay yeay.”
Lepas (Aminah bersetuju) tu, adakah mereka bertunang? Ikut salah satu pendapat antara pendapat yang banyak. Ya, dah bertunang. Sebab persetujuan antara dua pihak.
Ada juga yang kata bertunang itu adalah persetujuan, keluarga antara lelaki dan juga perempuan.
Kalau ikut hukum adat dekat Malaysia, boleh rujuk pendapat ilmuan antaranya Ustaz Nidzam. Beliau memang cenderung kepada kalau dekat Malaysia ni al-‘Adatu Muhakkamah[2]. Adat itu boleh menjadi hukum. Pertunangan dekat Malaysia ini, ada persetujuan antara dua keluarga, antara (pihak) lelaki dan juga perempuan.
Takpe, Perbezaan pendapat itu biasa.”

Wallahu'alam


[1] Hanya wali  mujbir sahaja yang boleh menikahkan anak dara. Sila rujuk Fiqh Manhaji
[2] Salah satu kaedah fiqh paling utama. al-‘adah muhakkamah iaitu adat dijadikan sumber perundangan.-Majalah al-Ustaz Isu 19:Usul dan Kaedah, Antara Kaedah dan Usul. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
[3] Ustaz Azhar Idrus(2012), Al-Ustaz Isu Perdana; Macam-Macam Musykil: Bilakah Disebut Bertunang? m/s 101. Telaga Biru Sdn Bhd: Selangor Darul Ehsan