AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Sabtu, 25 Mac 2017

IMAM BACA KUAT WAKTU ZUHUR

SOALAN:

Adakah dibenarkan mufarakah jika Imam solat fardhu yang perlu bacaan yang perlahan (contohnya solat zuhur) namun Imam membaca dengan bacaan yang kuat? Adakah sah solat Imam tersebut?

JAWABAN:

1. Solat fardhu dengan bacaan yang kuat adalah disunatkan ketika kita menjadi Imam atau ketika solat  fardhu sendirian.

Solat yang memerlukan kepada bacaan yang kuat ialah 2 rakaat solat subuh, dua rakaat awal dari solat maghrib dan dua rakaat awal dari solat isyak.

Manakala solat yang selain dari itu (solat fardhu zuhur, solat fardhu asar, rakaat ketiga fardhu maghrib dan dua rakaat terakhir isyak) adalah diSUNATkan dengan sunat haiat memperlahankan suara bacaan, sama ada menjadi Imam atau orang yang bersolat sendirian.[1]

2. Menurut Syaikh Mutawwali sya'rawi (w. 1431H), pada permulaan tersebarnya Islam, umat Islam bersolat secara bersembunyi-sembunyi kerana keadaan kaum muslimin yang lemah. 

Ketika subuh, kaum kafir berada dalam keadaan nyenyak tidur dengan sebab itu solat subuh dilakukan dengan cara yang kuat. 

Bacaan solat secara kuat pada waktu maghrib dan isyak pula adalah disebabkan kaum Quraisy sibuk dengan hiburan. Manakala solat zuhur dan asar dibaca perlahan adalah disebabkan pada waktu tersebut kaum Quraisy berkeliaran ketika itu. 

Namun begitu, setelah Islam menjadi kuat di Madinah, cara seperti itu tidak di ubah dan ia menjadi amalan kita sehingga kini.[2]

3. Adalah tidak tepat bagi seorang makmum jika bermufaraqah dari ikutan imam disebabkan Imam meninggalkan perkara sunat haiat kerana ia bukan keuzuran yang dibenarkan untuk mufaraqah.


KESIMPULAN:

1. Membaca perlahan ketika solat fardhu zuhur atau fardhu asar atau rakaat ketiga solat fardhu maghrib atau dua rakaat akhir solat fardhu isyak adalah sunat haiat.

Sunat haiat ialah sunat yang jika ditinggalkan tidak dituntut baginya melaksanakan sujud sahwi.

Hukum membaca perlahan ketika solat fardhu zuhur atau fardhu asar atau rakaat ketiga fardhu maghrib atau dua rakaat terakhir fardhu isyak adalah TIDAK WAJIB. 

Namun, atas perintah Nabi Sallahu'alaihi wasallam supaya solat mengikuti baginda maka kita pun solat mencontohi dari baginda iaitu dengan cara tidak membaca kuat ketika solat dengan bacaan perlahan.

2. HARUS bagi makmum mufaraqah dari Imam jika Imam sengaja meninggalkan sunat ab'adh (contohnya qunut) atas tujuan kita ingin melakukan perbuatan sunat ab'adh itu.

Manakala MAKRUH jika tidak ada keuzuran. Meninggalkan Imam kerana Imam membaca kuat ketika solat fardhu adalah BUKAN keuzuran yang dibenarkan syarak.[3]

3. Hukum seorang Imam atau orang yang solat sendirian membaca kuat pada waktu perlahan adalah khilaf al-aula tidak haram dan tidak makruh.[4]

Khilaf al-aula adalah perkara yang menyalahi yang lebih utama, contohnya berbuka puasa bagi orang yang bermusafir yang tiada mudarat baginya untuk meneruskan puasa.[5]

Maka, tiada mudharat baginya jika membaca bacaan secara perlahan pada waktu perlahan namun perintah sunat itu tidak diikuti, maka hukumnya adalah khilaf al-aula kerana dia telah menyalahi yang utama. 

4. Lebih utama bagi seorang yang bersolat perlahan membaca secara perlahan. Namun ikutan makmum terhadap Imam yang membaca kuat pada solat yang perlahan adalah sah.

5. Renungi nasihat Syaikh Daud Abdullah al-Fatani (w. 1265H) yang dinukilkan didalam Munyatul Musolli:

"Segala sunat itu adalah perkara-perkara untuk menyempurnakan sembahyang, ia merupakan adab yang mesti dipelihara supaya dinamakan orang yang memeliharakan sembahyang dan mengerjakan haknya."[6]

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafi', Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri 1/347

[2] Mutawwali as-Sya'rawi (Dr) (2012), Anda Bertanya Islam Menjawab, Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd hal. 220

[3] Hazri Hashim al-Bindany (2010), Bekalan Imam Idaman Makmum,Selangor: S@N Vision (M) Sdn. Bhd. hal. 15-16


[5] Abdul Adzib Hussain (2012), Manhaj Ilmu Fiqah & Usul Fiqah, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 110

[6] Daud Abdullah al-Fatani (2016), Munyatul Musolli, Kelantan: Jabal Maraqy Sdn. Bhd. hal. 51

3 ulasan:

  1. Jawapan masih tak sampai tak memuaskan. soalan
    Nak tahu Sah atau tidak Imam baca dgn kuat pd rakaat petama dn ke2 pada waktu zohor dn asar itu saja. Jawapan tidak memuaskan. tidak salah cerita kn sejarah yg membawa kpd bacaan kuat atau pelahan itu mmang perlu utk Mengetahui sebab musabab nya.. Tapi yg kite nk tahu Sah atau tidak bila imam baca dgn kuat.itu saja.
    Kuat yg d maksud kn pulak Bukan la kata kuat yg kuat Sgt. Tapi kuat yg bole d dengar makmum saja seperti solat subuh mghrib isyak
    Jadi nk tahu Sah ke tak Sah. Kemudian baru la cerita kn sejarah sebab musabab nye.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya meminta maaf diatas kelemahan yang telah saya zahirkan. Sebenarnya saya telah sebutkan hukumnya pada bab kesimpulan. Allahu'alam

      27 September 2020 11:29 PTG

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam