AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 2 April 2017

KESUKARAN 'ILLAH KEPADA JAMAK QASAR?

SOALAN:

"Kalau jamak mesti lebih 90 km kan?
Kalau naik flight macam mana pula?
Flight kan laju, tak sama dengan kereta?"

Assalamu'alaikum. Mohon penjelasan soalan diatas.

JAWABAN:

Wa'alaikumussalam. Terima kasih bertanya.

1.  Jarak yang dibenarkan untuk mengqasarkan solat ialah 2 marhalah. Namun, berlaku perbezaan jarak kiraan kilometer untuk melakukan solat secara qasar. Umumnya, jarak 2 marhalah jika mengikut ukuran zaman moden adalah antara 85-90 kilometer.[1]

2. Tentang permasalahan saudara, menaiki kapal terbang atau kereta, susah atau senang, cepat atau laju bukan menjadi kayu ukurnya. 'Illah tentang permasalahan ini adalah disebabkan jarak. Illah adalah sifat atau keadaan zahir nyata serta tepat yang dapat mengetahui sesuatu hukum syarak. Sesetengah ulama berpandangan illah ialah suatu sifat yang lahir atas dasar untuk menetapkan hukum serta sesuai dengan sesuatu hukum.[2]

3. Sesuai dengan takrifan inilah maka 'illah dalam masalah ini dapat difahami bahawa jarak perjalanan merupakan satu dasar untuk menetapkan hukum dalam solat secara qasar. 

KESIMPULAN

Majoriti ulama bersetuju bahawa ''jarak'' perjalanan tertentu atau kadar 2 marhalah paling sesuai dianggap sebagai 'illah bagi menentukan perjalanan itu musafir ataupun tidak. [3]

Kesukaran ketika bermusafir umpamanya ketika membawa kereta, sehingga menyebabkan penat, mengantuk dan lambat sampai berbanding menaiki kapal terbang di udara yang laju dan cepat sampai ke destinasi BUKAN suatu illah bagi menentukan masalah musafir atau tidak.

ALLAHU'ALAM.



RUJUKAN:

[1] Muhadir Haji Joll (2015), Syarah Safinatun Naja, Selangor: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. hal. 246

[2] Abdul Latif bin Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin (2001), Perbahasan Usul al-Ahkam, Selangor: Pustaka Salam Sdn. Bhd. hal 81

[3] Zaharuddin Abdul Rahman (Dr) (2010), Riba Dan Isu Kewangan Islam, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 42

Tiada ulasan:

Catat Ulasan