AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Sabtu, 28 September 2013

Contoh lagu makruh

Soalan:

Apa contoh lagu yang makruh kita nyanyi?

Jawapan: [1]

Lagu yang liriknya tidak membina keyakinan diri, khayal dan lain-lain.

Rujukan:

[1] Ustaz Nizam Abdul Kadir

Solat sunat sebelum maghrib

Soalan:

Solat sunat sebelum maghrib wujud ke?

Jawapan:

Wujud.

"Dia antara kedua azan (azan dan iqamat) terdapat solat bagi orang yang mengkehendakinya."

(Hadith Riwayat Ahmad dan Abu Bakar Bin Abi Syaibah) [1]


Solat sunat sebelum solat fardhu yang lima semuanya wujud cumanya untuk solat sunat sebelum subuh dan zuhur adalah lebih dituntut untuk menunaikannya berbanding tiga waktu yang lain.[2]

Rujukan:

[1] Imam Hujjatul Islam; Imam al-Ghazzali. Ihya Ulumuddin
[2] Majalah al-Ustaz isu 2: Solat Sunat Rawatib m/s 17

Jumaat, 27 September 2013

Sembah Kaabah atau Allah?


 Soalan:

Umat Islam menyembah Allah atau menyembah Kaabah? Bagaimanakah kita mahu berhadapan dengan non-muslim yang bertanya soalan sebegini?

Jawapan:

Kaabah adalah kiblat dan bukannya Tuhan. Kita menyembah Allah dan bukan menyembah Kaabah. Tidak seperti berhala, kita perlu berhadapan dengan berhala jika mahu menyembahnya. Tetapi tidak Kaabah, tidak semestinya kita perlu berhadapan dengan Kaabah baru boleh melaksanakan tuntutan solat. Tanpa berhadapan dengan Kaabah pun kita masih boleh bersolat. 

Sesiapa yang menyembah Kaabah, maka menurut Professor Dr. Hamka di dalam Kristianisasi dan Sekularisasi, dia telah kafir mengikut hukum Islam.

Apakah hujah bagi mematahkan kenyataan bahawa umat Islam menyembah Kaabah:


1.      Menghadapkan diri ke arah Masjid al-Haram merupakan satu perintah Allah. 

“…Palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram…” (Surah al-Baqarah ayat 144)

Kaabah berada di dalam Masjid al-Haram. Maka kita menghadapkan diri ke arah Kaabah. Seandainya Kaabah dipindahkan atau dibawa lari ke tempat yang lain selain dari Masjid al-Haram, misalnya di Malaysia. Umat Islam tetap menghadapkan diri mereka ke Masjid al-Haram bukan tempat terletaknya Kaabah.


2.      Umar melihat Nabi S.A.W mencium Hajar Aswad.

Umar al-Khattab berkata: 

“Saya tahu bahawa kamu itu batu dan tidak akan membawa kebaikan mahupun kedurjanaan. Jika saya tidak pernah melihat Nabi Muhammad S.A.W menyentuh dan mencium kamu, maka saya juga tidak akan menyentuh dan mencium kamu.” Boleh lihat riwayat ini di dalam Sahih Bukhari di dalam bab Haji. 

Apa yang hendak disampaikan ialah, jika Nabi tidak menyuruh umat Islam berkiblatkan Kaabah, maka umat Islam tidak akan berkiblatkan Kaabah.


3.      Tawaf Kaabah sebagai simbolik Tuhan itu Esa.

Menurut Dr.Zakir Naik, perlakuan tawaf merupakan simbol kepercayaan dan menyembah Tuhan yang Esa. Setiap bulatan mengelilingi Kaabah mempunyai satu pusat. Oleh itu umat Islam hanya mensatukan Tuhan, iaitu Allah yang Maha Esa.


4.      Kita tengok televisyen atau menonton rancangan di dalam televisyen?

Hakikatnya kita menonton rancangan di dalam televisyen tersebut. Walaupun kita mengatakan kita menonton televisyen. Apa yang ada di sebalik televisyen? Cuma wayar. Kita mengatakan kita menonton rancangan wrestling, namun kita tidak akan mendapat The Rock jika kita melihat di dalam televisyen. Namun kita akan mendapati The Rock di dalam rancangan Televisyen tersebut.

Maka begitulah Kaabah. Kita sembah Allah namun simbolik kita sembah Allah ialah dengan kita menghadapkan diri kita kepada Kaabah.


5.      Kaabah sebagai simbolik kesatuan umat.

Jika arah kiblat solat tidak ditentukan, maka akan terjadi kacau bilau. Nanti seorang akan menghadap timur, seorang akan menghadap barat, selatan dan sebagainya. Maka bagi mengelakkan keadaan sedemikan, maka diwajibkan untuk menghadap satu kiblat yang sama iaitu Kaabah. Sedangkan Kaabah itu “مَثَابَةً۬” iaitu tempat tumpuan bagi umat manusia, seperti yang diterangkan di dalam surah al-Baqarah ayat 125.

Tidak seperti gereja besar. Tak semua Kristian berkumpul di situ. Berbeza sungguh dengan Kaabah yang senantiasa dikunjungi oleh semua jenis orang Islam dari seluruh negara.


6.      Keadaan kiblat jika berada di suatu tempat yang tidak diketahui arah kiblat.

Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 115, “Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui.”
Di sini menjadi dalil bahawa sekiranya umat Islam berada dalam suatu tempat yang tidak diketahui arah kiblat, mereka diizinkan melakukan solat dengan menghadap ke arah mana sahaja mengikut keyakinannya.


7.      Robohnya Kaabah.

Kaabah pernah beberapa kali dirobohkan. Misalnya, dizaman Bani Umayyah, dalam usaha untuk menawan semula Kota Makkah dari pemerintahan Abdullah Bin Zubair, Hajjaj Ibn Yusuf al-Thaqafi telah melontar peluru batu terhadap Kaabah sehingga keadaan Kaabah rosak teruk. Kaabah terpaksa diperbaiki semula mengambil masa berbulan-bulan lamanya (Bahkan, runtuh bina runtuh Kaabah dijadikan permainan para Khalifah terkemudian. Imam Malik mengeluarkan fatwa bahawa jangan jadikan runtuh dan membina Kaabah ini sebagai permainan para Khalifah.[3]) Namun tidak pernah umat Islam berhenti bersolat kerana tidak ada “sembahan” untuk disembah. Ini adalah kerana umat Islam menyembah Allah yang tidak pernah runtuh atau rosak!

Dalam hadis riwayat Ahmad sendiri disebutkan bahawa satu hari nanti umat Islam akan kehilangan Kaabah kerana Kaabah akan diruntuhkan oleh kaum Euthophia.[4] Maka kepada siapa yang akan umat Islam sembah selepas kehilangan Kaabah? Allah!


8.      Sejadah gambar Kaabah.

Cuba tanyakan kepada mereka yang bertanya, beranikah mereka memijak gambar berhala mereka? Lihat sahaja sejadah yang umat Islam gunakan untuk menunaikan solat terpampang gambar Kaabah namun mereka tidak ada masalah untuk memijak gambar Kaabah tersebut. Bahkan dipijaknya setiap hari malah 5 kali sehari. Ini bertentangan sekali dengan golongan penyembah berhala yang sama sekali tidak berani untuk memijak gambar berhala mereka kerana itu merupakan bahan sembahan mereka.


9.      Melaungkan azan , Mendirikan solat dan Menggantikan kiswah di atas Kaabah.

Bilal Bin Rabbah pada zaman Rasulullah akan berdiri di atas Kaabah untuk melaungkan azan. Begitu juga ada hukum bersolat di dalam Kaabah bahkan ada ulama yang menyatakan bahawa sah solat seseorang di atas Kaabah[5] bersandarkan kepada hadis yang membenarkan solat di dalam Kaabah. Walaupun ada larangan untuk bersolat di atas Kaabah namun hukumnya menurut ulama bukan haram tetapi makruh.[6]

Kalau benar orang Islam menyembah Kaabah, kenapa pula penyembah berhala yang berdiri di atas berhala yang disembah? Kalau pijak gambar berhala pun sudah mendatangkan penghinaan terhadap berhala apatah lagi memijak berhala itu?

Bilal Bin Rabbah berdiri di atas Kaabah namun tidak ada teguran ataupun larangan daripada Rasulullah pun bahawa itu menghina Tuhan ‘sembahan’ Umat Islam. Tidak ada! Sekiranya Kaabah merupakan Tuhan yang disembah umat Islam, sudah pasti sahabat tidak sanggup menaiki dan berdiri di atas Kaabah.

Kalau kita lihat sehingga hari ini, proses menggantikan kiswah (kelambu) Kaabah masih diteruskan. Kalau diperhatikan, proses tersebut turut perlu diuruskan dengan cara menaiki serta berdiri di atas Kaabah ketika menggantikan kelambu tersebut.


10.  Keadaan berdiri bila berada di atas kapal terbang yang lalu di atas Kaabah.
Jika kita menyembah Kaabah, bermakna apabila kita berada di atas kapal terbang yang lalu di atas Kaabah, adakah kita perlu meniarap? Muka kita menghadap lantai kerana kita mahu menghadap sembahan! Ataupun kita berdiri ala-ala Micheal Jackson, condong ke hadapan jika kita berada di atas awan untuk menghadap Kaabah yang berada dibawah. Begitu juga keadaannya jika kita berada didasar laut dan (jika) kebetulan kita berada di betul-betul di bawah Kaabah, kita tidak akan menelentang kerana kita mahu menghadap sembahan![7]


11.  Kita meminta kepada siapa?

Kalau betul kita menyembah Kaabah, mengapa kita tidak meminta kepada Kaabah didalam doa kita? tetapi kita meminta kepada Allah bukan Kaabah.[8]


Rujukan:

[1] Dr.Zakir Abdul Karim Naik. Jawapan Kepada Pertanyaan Bukan Islam Tentang Islam (Answer to Non-Muslim Common Question About Islam). 2013. Perniagaan Jahabersa. Johor Darul Ta’zim.
[2] Lim Jooi Soon. Majalah Iman Isu 5; Da’i: Umat Islam Sembah Kaabah? 2012. Utusan Karya Sdn.Bhd. Selangor Darul Ehsan.
[3] Suntingan daripada kuliah Ustaz AbuNaufal Bashasunnahar Bin Puasa. http://abuqawliy18.blogspot.com/2011/11/sedikit-mengenai-kaabah.html 
[4] Sheikh Ahmad Fahmi Zam-Zam. Kiamat Hampir Tiba. m/s 118
[5] Ustaz Hasnil Abu Bakar. Majalah Q&A jilid 20; Sahkah Solat di Atas Kaabah? 2013. Galeri Ilmu Sdn.Bhd. Selangor Darul Ehsan.
[6] Dr.Zaharuddin Abdul Rahman. Formula Solat Sempurna Edisi Kemas Kini. 2012. Telaga Biru Sdn Bhd. Selangor Darul Ehsan.
[7] Suntingan daripada kuliah Ustaz Farid Ravi
[8] Faisal Abdul Rahman. Tuhan Untuk Semua. PTS Publication

Isnin, 16 September 2013

Ayat pelindung dari makhluk halus

Soalan:

Boleh bagitahu tak ayat untuk melindungi diri daripada makhluk yang agak halus ini?

Jawapan: [1]

Amalkan:

1. Membaca ayat kursi selepas setiap sembahyang fardhu.
2. Membaca ayat kursi ketika hendak tidur.
3. Membaca 3 Qul.
4. Membaca doa ayat dari akhir surah al-Baqarah pada awal malam.
5. Surah al-Baqarah ayat 285 hingga 286.


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus (dengan sedikit suntingan)

Tumbuhkan janggut

Soalan:

Macam mana nak tumbuhkan janggut? Janggut saya ada 3 helai je.

Jawapan: [1]

Ada orang kata letak minyak zaiton.


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus

Hukum berCosplay

Soalan:

Apa hukumnya bercosplay? seperti pakai baju power rangers dan ultraman?

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam.

Jawapan: [1]

(Ti)dak haram selagi tutup aurat tetapi orang dewasa pakai baju kanak-kanak jadi gugur maruahnya.


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus

Nak masuk Imam Muda

Soalan:

Apa hukum merebut gelaran Imam Muda? Nak tahu je. Sebab minat. Ingat, nak join juga satu hari nanti. Maaf tanya soalan bukan-bukan.

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam.

Jawapan: [1]

Jangan rebut tak baik..niat masuk kerana nak tambah ilmu pengetahuan je. Kalau menang Alhamdulillah...kalau kalah dapat ilmu.


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus

Ahad, 15 September 2013

Download lagu

Soalan:

Download lagu al-Haq-Mawi...lagu baik dapat pahala....tetapi download secara 'free'.....macam mana ek?

Jawapan:

Setakat digunakan untuk mendengar tidak ada masalah malah dibolehkan. Namun yang menjadi permasalahannya ialah memuat turun lagu tersebut kemudian menggunakannya bagi tujuan perniagaan.[1]

[1] Ustaz Azhar Idrus. Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat m/s 89

Doa iftitah

Soalan:

Kalau kita solat sunat, kita kena baca doa iftitah ke tak?

Jawapan:

Sekiranya kita berpegang kepada pendapat yang mengatakan doa iftitah adalah wajib maka wajiblah dibaca ketika solat.  Menurut Dr.Aidh Al-Qarni, "Ada ulama yang berpendapat (membaca doa iftitah) ialah wajib. Akan tetapi yang benar ianya adalah sunnah." [1]

Adalah disunatkan membaca doa iftitah hanya pada rakaat pertama (tidak boleh membaca doa iftitah pada rakaat yang lain)[2] didalam solat fardhu ataupun solat sunat.[3]

[1]Dr.Aidh al-Qarni.   صلوا  كما رايتوموني أصلي
[2]Rohidzir Rais, Fuad Ismail,  Mohd Wahid Abdul Hanif. Ensiklopedia Solat m/s 115
[3]Dr.Aidh al-Qarni.   صلوا  كما رايتوموني أصلي

Jumaat, 13 September 2013

Gelaran Ustaz dan Sahabat untuk Sahabat Nabi

Soalan:

1. Kenapa para sohabat kita tak panggil dengan gelaran Ustaz? Soalan serius ni tak main-main. Mohon penjelasan?

2. Contoh ayat:

"Kalau kita tengok Umar al-Khattab..."

Tak apa ke panggil Umar tanpa perkataan sahabat?

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

1. Boleh panggil sahabat dengan gelaran Ustaz tetapi oleh kerana gelaran sahabat lebih mulia so kita tak panggil mereka ustaz..

2. Sunat panggil dengan Sahabat...Kalau Umar sahaja harus cuma jangan diniatkan merendah-rendakan sahabat sudah.


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus

Jersi bola bersalib

Soalan:

Jika jersi bola yang ada lambang salib. Kemudian saya hitamkan tanda salib tu atau jahitkan tanda salib. Apakah hukum memakai memakai jersi bola tu?

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

Kalau ada lambang salib, hendaklah dibuang...

Kalau dah tak ada lambang salib tersebut maka ianya boleh digunakan tak ada masalah.


Rujukan:

[1] Ustaz Bashasunnahar Bin Puasa

Ejaan Amirul

Soalan:

Nak tanya...ejaan "Amirul", 'amirul atau Amirul?

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

Amir  أمير

ul hujung perkataan ada sambungan dengan perkataan lain.


Rujukan:

[1] Ustaz BashaSunnahar Bin Puasa

Cara Nabi tidur

Soalan:

One question. bagaimana cara nabi tidur?

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

Mengiring ke kanan. Dada menghadap kiblat.

#Nabi tidur tutup mata. (Bergurau)


Rujukan:

[1] Ustaz Nurzamir Bin Zakaria

Mewarnakan rambut

Soalan:

Apa hukum para remaja meng-kaler-kan rambut? makruh ke sunat?

Muhammad Irfan Bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

Boleh tetapi bersyarat:

1. Pewarna tersebut bukanlah jenis yang kekal. Jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah S.W.T yang diharamkan.
2. Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
3. Tidak mengakibatkan mudharat terhadap kesihatan individu. Seperti kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, ataupun allergi, ataupun mudharat terhadap janin dan lain-lain akibat bahan kimia pewarna rambut tadi,
4. Memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan untuk menghasilkan warna rambut baru yang lebih cantik adalah makruh.


Rujukan:

[1] Ustaz Nurzamir Bin Zakaria (dengan sedikit suntingan)

Maksud sertu atau samak

Soalan:

Saya terbaca satu artikel daripada seorang ustaz berkenaan dengan cara penyucian najis mughallazah iaitu dengan cara sertu. Apa itu sertu? Berbezakah dengan samak?

Jawapan:

Berbeza.

Cara membersihkan najis mughallazah (anjing dan babi) adalah dengan dibasuh tempat yang terkena najis mughallazah dengan tujuh kali basuhan air mutlak. Satu daripada basuhan tersebut mesti menggunakan air mutlak yang dicampur dengan tanah.[1] Menurut Mufti Kerajaan Brunei; Pehin Datu Seri Maharaja Dato' Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, istilah sertu lebih khusus kepada maksud membersihkan sesuatu najis mughallazah.[2] Bermakna, penyucian najis mughallazah ialah dengan cara menyertu dan bukan menyamak.

Istilah samak menuruk Kamus Dewan ialah tumbuhan (pokok yang kulitnya digunakan untuk menyamak kulit) dan mewarnai kulit binatang (untuk dibuat kasut dan lain-lain). Kamus Dewan Edisi Keempat juga mendefiniskan menyamak dengan istilah yang sama dengan menyertu.[3]

Namun dalam konteks yang mudah untuk difahami, samak dan sertu adalah perkara yang berbeza.


Pihak autoriti seperti JAKIM telah menerima sertu sebagai istilah yang bermaksud menyucikan sesuatu daripada najis mughallazah. Manakala samak pula merujuk kepada menyucikan kulit daripada kekotoran untuk kegunaan tertentu.[4]

[1] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji.Manhaj Fiqh Al-Syafie
[2] Pehin Datu Seri Maharaja Dato' Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned. Soal Jawab Mufti: Q&A Isu 20 m/s9
[3] Pehin Datu Seri Maharaja Dato' Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned. Soal Jawab Mufti: Q&A Isu 20 m/s9
[4] Ustaz Fahrul Irfan Ishak.  Majalah al-Ustaz Isu 17; Halal Haram: Antara Sertu & Samak ms 63

Mencuri didalam solat

Soalan:

Nak tanya satu soalan boleh tak? Ada ke curi dalam solat? Kalau ada macam mana tu?

Jawapan:

Ada. Nabi menggambarkan pencuri didalam solat lebih buruk daripada pencuri harta.

Dari Abu Qatadah, dia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

"Pencuri yang paling buruk adalah orang yang mencuri didalam solatnya, (yakni) tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya, dan tidak menyempurnakan khusyuknya." Atau dianggap baginda mengatakan: "...Tidak meluruskan tulang punggungnya ketika rukuk dan sujud."
(Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnad. Hadith ini dianggap sahih oleh al-Hakim dan disepakati oleh az-Zahabi) [1]

"Dia wajib mengulangi solat fardhu yang telah dikerjakan jika tidak maka perbuatan maksiat yang dilakukannya akan semakin bertambah."[2]

Ulama menyatakan bahawa solat orang yang tidak disempurnakan dengan toma'ninah adalah tidak sempurna dan tidak sah. Ini dapat difahami dari kata-kata mereka: "Rukuk yang dilakukan seseorang tidak dianggap sah ketika dia belum melakukannya dengan toma'ninah dengan sempurna. Begitu juga dengan i'tidal, sujud, duduk di antara dua sujud juga tidak dianggap sah sebelum dilakukan secara toma'ninah dengan sempurna."[3]

Mazhab Hanafi juga berpendapat bahawa toma'ninah merupakan rukun. Rukun di sisi jumhur dalam rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud.[4]

[1] Ustaz Muhammad Bin Abdullah al-Amin.Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab Shafie m/s56
[2] Ustaz Muhammad Bin Abdullah al-Amin.Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab Shafie m/s58
[3] Ustaz Muhammad Bin Abdullah al-Amin.Sifat Solat Nabi Mengikut Mazhab Shafie m/s55
[4] Dr.Zaharuddin Abdul Rahman. Formula Solat Sempurna Edisi Ekspres m/s4

Masuk tandas berbaju kalimah Allah dan Muhammad

Soalan:

Apa hukum pakai baju yang ada tulisan Muhammad Rasulullah didalam bahasa Melayu?
  
Muhammad Irfan bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

Baju tu tak sepatutnya dipakai sebab akan masuk tandas dan makruh masuk tandas dengan nama Allah dan Rasul.

[1] Ustaz Muhammad Asri Sobri

Nazar lembu jika dapat 5A

Soalan:

A bernazar seekor lembu jika dapat 5A tetapi dia dapat 10A. Adakah dia perlu tunai 2 ekor lembu?

Muhammad Irfan bin Abdul Rani, Shah Alam

Jawapan: [1]

1 sahaja cukup


Rujukan:

[1] Ustaz Mohd Izhar Arif Bin Khasim

Tidak lafaz Allahu Akhbar

Soalan:

Saya nak tanya, kalau solat tak sebut الله أكبر sah tak solat kita?

Jawapan:

Takbiratul Ihram (ucapan الله أكبر) ketika permulaan solat adalah rukun mengikut 4 mazhab: Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali.[1] Jika tidak melaksanakan rukun maka tidak sah solat tersebut.

Ucapan الله أكبر selain daripada permulaan solat iaitu bertakbir pada perpindahan rukun solat ialah sunat haiat. Sunat haiat tidak memerlukan sunat sujud sahwi. [2]

[1] Dr.Zaharuddin Abdul Rahman. Formula Solat Sempurna Edisi Ekspres m/s 3
[2] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh al-Syafie

Jika Imam terbatal solat

Soalan:

Jika Imam sudah terbatal solatnya, Imam nak kena pergi mana? Contoh dekat depan tidak ada pintu nak jalan belakang. Ada makmum kata tidak boleh lintas orang sedang bersolat. Macam mana tu. Dari dulu lagi saya terfikir.

Jawapan:

Kalau Imam terbatal solat, misalnya terkentut, Imam kena tutup hidung. Kononnya darah keluar.

Makmum belakang Imam terus kehadapan gantikan Imam. Sambung di mana Imam berhenti.

#Tetapi sekarang tidak, Imam terkentut sahaja semua makmum gelak. Batal terus solat nya.

Tugas makmum kena sengetkan badan kekiri atau kekanan untuk beri ruang Imam jalan jika tidak ada pintu untuk Imam lalu dihadapan.

Perlu diketahui. Sutrah makmum ialah Imam. Kata ulama: "Ini berdasarkan dalil Ibn Abbas yang melintasi jemaah makmum yang sedang menunaikan solat berjemaah tanpa diingkari dan ditegah oleh mereka."[1]

[1] Dr.Zaharuddin Abdul Rahman Formula Solat Sempurna Edisi Ekspres. m/s 16