AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Jumaat, 13 September 2013

Maksud sertu atau samak

Soalan:

Saya terbaca satu artikel daripada seorang ustaz berkenaan dengan cara penyucian najis mughallazah iaitu dengan cara sertu. Apa itu sertu? Berbezakah dengan samak?

Jawapan:

Berbeza.

Cara membersihkan najis mughallazah (anjing dan babi) adalah dengan dibasuh tempat yang terkena najis mughallazah dengan tujuh kali basuhan air mutlak. Satu daripada basuhan tersebut mesti menggunakan air mutlak yang dicampur dengan tanah.[1] Menurut Mufti Kerajaan Brunei; Pehin Datu Seri Maharaja Dato' Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, istilah sertu lebih khusus kepada maksud membersihkan sesuatu najis mughallazah.[2] Bermakna, penyucian najis mughallazah ialah dengan cara menyertu dan bukan menyamak.

Istilah samak menuruk Kamus Dewan ialah tumbuhan (pokok yang kulitnya digunakan untuk menyamak kulit) dan mewarnai kulit binatang (untuk dibuat kasut dan lain-lain). Kamus Dewan Edisi Keempat juga mendefiniskan menyamak dengan istilah yang sama dengan menyertu.[3]

Namun dalam konteks yang mudah untuk difahami, samak dan sertu adalah perkara yang berbeza.


Pihak autoriti seperti JAKIM telah menerima sertu sebagai istilah yang bermaksud menyucikan sesuatu daripada najis mughallazah. Manakala samak pula merujuk kepada menyucikan kulit daripada kekotoran untuk kegunaan tertentu.[4]

[1] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji.Manhaj Fiqh Al-Syafie
[2] Pehin Datu Seri Maharaja Dato' Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned. Soal Jawab Mufti: Q&A Isu 20 m/s9
[3] Pehin Datu Seri Maharaja Dato' Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned. Soal Jawab Mufti: Q&A Isu 20 m/s9
[4] Ustaz Fahrul Irfan Ishak.  Majalah al-Ustaz Isu 17; Halal Haram: Antara Sertu & Samak ms 63

Tiada ulasan:

Catat Ulasan