Soalan:
Betul tak, azan dan iqamat dekat telinga bayi yang baru lahir tu adalah hadis lemah?
Jawapan: [1]
Hadis yang dimaksudkan ialah:
'Asim Bin 'Ubaidillah meriwayatkan daripada Ubaidullah Bin Abi Rafi' daripada ayahnya:
"Aku melihat Rasulullah azan ditelinga Hasan sebaik selepas dilahirkan oleh Fatimah."
(Hadis Riwayat Abu Daud, al-Baihaiqi dan lain-lain. Sahih menurut at-Turmuzi dan al-Hakim)
Menurut ulama, 'Asim Bin 'Ubaidillah seorang ulama yang pakar dalam ilmu qiraat namun lemah dalam periwayatan hadis. Imam Malik sendiri enggan mengambil hadis daripada beliau. Kelemahan 'Asim Bin 'Ubaidillah turut disepakati oleh Ahmad Bin Hanbal, al-Bukhari, Yahya Bin Ma'in, Abu Hatim, Abu Zur'ah dan ramai lagi pakar pengkritik hadis.
Walaupun hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim dan at-Turmuzi, namun al-Hakim dan at-Turmuzi terkenal terlalu ringan mensahihkan hadis-hadis yang tidak layak disahihkan.
'Asim Bin 'Ubaidillah merupakan tokoh ulama terkenal, jika beliau TERsalah meriwayatkan hadis, maka kesalahan itu bukan disengajakan, malah tidak boleh kita mengatakan beliau memalsukan hadis.
3 SYARAT PEMAKAIAN HADIS LEMAH
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani[2] dan ramai ulama, hadis lemah boleh jadi amalan dengan tiga syarat:
1. Kelemahannya tidak terlalu parah.
2. Hukum yang terkandung termasuk dalam kaedah umum syariat.
3. Pengamalan itu didasari atas asas berjaga-jaga sahaja, bukan penegasan bahawa ia merupakan sunnah Nabi.
DALIL YANG MENYOKONG HADIS 'ASIM BIN 'UBAIDILLAH
Hadis 'Asim ini walaupun dinilai lemah, namun ada beberapa dalil yang menyokong hadis ini:
1. Rasulullah S.A.W bersabda:
"Setiap anak Adam ditusuk pada dua lambungnya oleh jari syaitan ketika dilahirkan kecuali Isa putera Maryam. Syaitan hendak menusuknya, namun ia menusuk di balik hijab."
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Hadis Sahih al-Bukhari[3] dan Muslim juga menyatakan bahawa syaitan lari apabila mendengar suara azan.
Maka dari sini, Mazhab Hanafi, Shafie dan Hanbali telah menggalakkan dibacakan azan ke telinga bayi untuk mengusir syaitan yang hadir bersamanya pada saat kelahiran. Adapun menurut pandangan Imam Malik Bin Anas, perkara ini adalah makruh. Namun, ahli fiqah mazhab Maliki kebelakangan membolehkan perkara ini.
Berkenaan iqamat pula menurut Ustaz Umar Muhammad Nor, "Adapun iqamat di telinga kiri bayi, maka saya tidak menemukan dalil yang kuat untuk menganjurkannya."
Namun menurut Ustaz Khafiz Soroni, ada ulama salaf yang mengamalkan azan dan juga IQAMAH ditelinga bayi. Antara yang mengamalkannya ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Abd ar-Razzaq dalam al-Musannaf (no. 7985) meriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz akan azan ditelinga kanan dan iqamat di telinga kiri anaknya yang baru dilairkan. Menurut Ibn al-Mulaqqin (w. 804H) dalam al-Badr al-Munir, sangat ramai ulama Syafie'iyyah yang menukilkan amalan Umar bin Abdul Aziz ini.[4]
Ustaz Azhar Idrus berkata:
"Sunat azan dan iqamah pada kedua-dua belah telinga sama ada bayi lelaki atau perempuan. Azan sahaja tanpa iqamat juga sudah memadai."[5]
Wallahu'alam.
Rujukan:
[1] Ustaz Umar Muhammad Nor. Majalah al-Ustaz Isu 09: Hukum Hakam Kehamilan Dan Kelahiran: Fiqah Hadis; Hadis Azan Di Telinga Bayi
[2] Imam as-Suyuti, kitab Tadrib al-Rawi
[3] Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila
dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga
tidak terdengar olehnya azan. Apabila Muadzin berhenti, ia pun kembali.
Begitu pula, apabila iqamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat
telah selesai, dia datang pula kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang
sedang solat, dengan berkata kepadanya, "Ingatlah apa yang belum kamu
ingat!" Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi telah berapa rakaat
dia solat."
(Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0642).
[4] Ustaz Mohd Khafiz Soroni. (2013), Q&A Isu 15: Aku dan Hadis; Hadis Azan di Telinga Bayi m/s 78-79, Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn Bhd.
[5] Ustaz Azhar Idrus (2012), Q&A Isu 3: Celak Mata m/s 82-83, Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn Bhd.