AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Jumaat, 22 November 2013

Mati Malam Jumaat

Soalan:

Apa kelebihan meninggal dunia pada hari Jumaat? Datuk ana baru meninggal dunia tadi.

Jawapan:

Saya ucapkan takziah atas kematian datuk anta. Semoga diampuni Allah dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Respons terhadap soalan,

Ada pendapat menyatakan kelebihan mati pada malam Jumaat [1]:

Hamid dalam Targhibnya, merekodkan daripada Sa'ad Bin Tharif al-Iskaf, daripada Abu Jaafar, dia berkata:

"Malam Jumaat adalah malam yang terbaik sedang hari Jumaatnya adalah hari yang bercahaya. Sesiapa yang meninggal dunia pada malam Jumaat, Allah menuliskan untuknya pembebesan daripada seksa kubur dan barangsiapa meninggal dunia pada hari Jumaat, dia dibebaskan daripada seksaan api Neraka."

Begitu juga ada hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah menceritakan kelebihan mati pada malam Jumaat.

Daripada Hisham Bin Saad, daripada Said Bin Abi Hilal, daripada Rabiah Bin Said, daripada Abdullah Bin 'Amr, Nabi S.A.W bersabda:

"Tidaklah ada seorang muslim yang mati pada hari jumaat atau malamnya melainkan Allah akan selamatkannya dari fitnah kubur."[2]

(Hadith Riwayat Imam Ahmad, at-Turmuzi dan at-Thabrani.)[3]


MAKSUD HADITH:

1. Ustaz Ahmad Adnan Fadzil [4]:

Maksud fitnah kubur didalam hadis diatas ialah azab kubur dan soalan malaikat di dalamnya. Sebab keselamatan tersebut menurut yang dijelaskan oleh ulama' ialah kerana kemulian hari Jumaat. 


2. Ustaz Azhar Idrus [5]:

"Maksudnya dia ni aman daripada fitnah kubur. Dan ada pendapat ulama yang mentakwilkan maksudnya iaitulah ringan siksa kubur. Kalau takdirkan kata dia tu dia kena seksa didalam kubur dia diringankan seksa tetapi pada dalam alam barzakh sahaja kerana dengan sebab berkat hari Jumaat. Adapun bangkit di padang Mahsyar dalam neraka tak ada ringan hak tu dengan sebab dia mati hari Jumaat.

Sekalipun orang tu orang fasik. Imam Nawawi kata sekalipun orang ni orang fasiklah; orang tak tutup aurat, orang minum arak. Ada juga kelebihan (orang fasik) syarat dia orang beriman mati pada hari Jumaat

Tetapi bukan masuk syurga terus macam yang kita dok faham. Bukan, (tetapi diringankan) masa alam barzakh, diringankan soal jawabnya ataupun diringankan azab kuburnya."

Allahu'alam


RUJUKAN:

[1] Al-Hafiz Jalaluddin AbdurRahman as-Suyuti. Rahsia Alam Kematian Dan Alam Barzakh (Terjemahan daripada Pustaka Azhar)
[2] Menurut Sheikh Albani, hadis ini jika dihimpunkan keseluruhan jalan periwayatannya, maka darjatnya adalah hasan. (Lihat kitab beliau; Ahkam al-Janaiz, di bawah tajuk; 'Alamati Husnul Khatimah)
[3] Boleh juga lihat hadith ini didalam Jenazah dalam bab Menuju Husnul Khatimah (Selenggara oleh Ustaz Yusuf Arbain, Sakinah Arif Yusuf) karangan Sheikh Soleh al-Munajjid, Sheikh Soleh al-Uthaimin, dan Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz. Terbitan Karya Bestari
[4] Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. 60 Jawapan Bagi Soalan Anda m/s 12
[5] Ustaz Azhar Idrus: Soalan Kelebihan Mati Hari Jumaat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan