AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Khamis, 28 November 2013

Bunuh Cicak Malam Jumaat

Soalan:

Kenapa ya kita kena bunuh cicak malam Jumaat?

Jawapan: [1]

Sunat membunuh cicak menurut pandangan para ulama. Ini bersandarkan kisah Nabi memerintah Ummu Syarik untuk membunuh cicak[2]. Baginda bersabda: "Ia pernah meniup api (untuk menyalakannya) pembakaran Nabi Ibrahim.

Menurut al-Baidawi, cerita Nabi Muhammad ini menunjukkan betapa kotor dan buruknya cicak sehinggakan syaitan boleh memperalatnya untuk meniup dan menambah besar api yang membakar Nabi Ibrahim. Demikianlah yang dinukil oleh al-Munawi dalam Faid al-Qadir.

Dalam hadis riwayat Muslim pula, Nabi memerintahkan supaya membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak.[3]

"Berkata Imam al-Nawawi dalam syarah Sahih Muslim: "Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu'ziyat (haiwan-haiwan yang dapat menganggu kesihatan manusia."

Faktor ini merujuk kepada sifat perosak dan kotor haiwan kecil ini,bukan kerana motif balas dendam disebabkan peristiwa cicak berusaha membongkar persembunyian Nabi di gua Thur. Tiada hadis yang sahih tentang perkara ini.

Menurut Ustaz Azhar Idrus ketika mensyarahkan hadis membunuh cicak ini, beliau menyatakan[4]:

"...perbuatan membunuh cicak adalah sunat hukumnya. Tetapi ia tidak dikaitkan dengan hari Jumaat atau mana-mana hari."


RUJUKAN:


[1] Ustaz Umar Muhammad Noor. al-Ustaz Isu 11; Fiqh Hadis: Kenapa Nabi Suruh Bunuh Cicak m/s 76-77
[2] Hadith Riwayat al-Bukhari daripada Abdul Hamid Bin Jubeir bin Syaibah daripada Said Bin al-Musayyab.
[3] Direkodkan oleh Amir Bin Saad dari Ayahnya.
[4] Ustaz Azhar Idrus.2011. Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa: Hukum Bunuh Cicak m/s 120. PTS Publication. Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan