AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Ahad, 9 April 2017

HUKUM TERBUNUH PEROMPAK

SOALAN:

Di Terengganu, Zulkifli tinggal di sebuah kampung bernama Labuhan di daerah Kerteh dilaporkan telah menikam mati seorang perompak yang merompak rumahnya sendiri untuk mempertahankan diri dan melindungi keluarganya. Patutkah beliau digantung sedangkan beliau mempertahankan keluarga beliau?

JAWABAN:

1. Definisi perompak atau penyamun ni berbeza dengan pencuri. Pencuri hanya mencuri dalam sunyi manakala perompak pula menggunakan kekerasan dan senjata.

2. Tiada masalah bagi mereka mempertahankan nyawa mereka apabila diserang walaupun ketika itu akan mencederakan pihak yang menyerang atas alasan mempertahan atau membela diri. 

Berkata pengarang kitab Matan Abi Syujak:

"Orang yang dianiaya sama ada dirinya, hartanya atau maruahnya. Kemudian, dia melawan bagi mempertahankan diri, harta, dan keluarganya lalu membunuhnya, dia tidak dipersalahkan dengan pembunuhan itu."

3. Namun dalam hadis riwayat yang lain berlaku kontradik ketika memahami teks hadis, seoalah-olah menyatakan larangan mempertahankan diri. Hadis Nabi Sallahu'alaihiwasalam yang bermaksud:

"Bersembunyilah di dalam rumahmu. Jika seseorang memasukinya, maka katakanlah: ambilah dosaku. Jadilah hamba Allah yang dibunuh, bukan yang terbunuh."

(HR Al-Hakim, Mustadrak)

Hadis ini, ditujukan untuk orang yang berada pada masa fitnah (ujian), perang saudara, perebutan kekuasaan antara dua orang pemerintah yang berhak. Ketika itu, seseorang tidak dapat mengetahui pihak mana yang benar atau salah. Maka hendaklah dia tidak membunuh dan lebih rela menjadi orang terbunuh. (Lihat Takwil Hadis karangan Ustaz Umar Muhammad Noor).

KESIMPULAN:

Seseorang tidak akan digantung kerana telah menikam mati perompak yang merompak rumahnya sendiri kerana mempertahankan diri. Ini adalah kerana dia tidak dipersalahkan atas pembunuhan itu.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

Paizah Haji Ismail (2008), Undang-Undang Jenayah Islam, Selangor: Tradisi Ilmu Sdn. Bhd. hal 208.

Id. at 229.

Abu Syuja', Ahmad bin Hussain (2014), Matan Abi Syuja', Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd. hal. 212

Umar Muhammad Noor (2011), Takwil Hadis, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. Hal. 138

Khamis, 30 Julai 2015

Inhaler Membatalkan Puasa?

Soalan:

ape hukum ambik inhaler time puase??

Jawaban:

INHALER:

Alat yang digunakan oleh pesakit asma. Ia terdiri daripada cecair yang dimampatkan dalam tekanan gas yang tinggi. Pesakit asma ini akan meletakkan corongnya di kawasan mulut dan menolak punat yang terdapat diatasnya bagi memudahkan ubat berbentuk gas masuk ke dalam rongga pernafasan. Pada masa yang sama, dia tetap menarik nafas seperti biasa ketika menggunakan alat ini.[1]


HUKUM

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, ada yang berpendapat membatalkan puasa dan ada pula yng mengatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa.

Antara ulama yang berpendapat membatalkan puasa ialah Dr. Fadl Hasan Abbas, Syaikh Muhammad al-Mukhtar Salami, Dr. Muhammad Alfai, Syaikh Muhammad Taqiuddin al-Uthmani dan Dr. Wahbah az-Zuhaili. Mereka menggunakan alasan bahawa bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut.[2] Keadaan ini dikecualikan pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja.

Bagaimanapun, ada pendapat ulama yang menyatakan tidak batal penggunaan inhaler. Antara hujah mereka ialah[3]:

1. Perbuatan menggunakan inhaler itu tidak mempunyai sebarang unsur makan atau minum iaitu tidak membekalkan sebarang zat tenaga baru kepada badan.

2. Kias kepada hukum berkumur-kumur dan bersersugi. Harus berkumur-kumur walhal ada kuantiti kecil air tetap melepasi kerongkong. Begitu juga selepas bersugi akan ada kuantiti kecil unsurnya kekal melepasi kerongkong. 

Para doktor mengesahkan siwak [sugi] mengandungi lapan jenis bahan kimia yang berfungsi untuk membersihkan gigi dan kotoran yang menyebabkan sakit. Walhal, unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan masuk ke tekak. Dan Amir bin Rabiah pernah melihat Rasulullah Sallahu'alaihi Wasalam bersiwak secara kerap pada ketika baginda berpuasa.[4]


3. Ada kajian menyatakan serbuk inhaler ini sampai ke perut, ada juga kajian mengesahkan akan terserap habis pada bahagian pernafasan (setakat dada) sahaja. Jadi, sama ada ia sampai ke perut atau setakat di pernafasan masih menjadi perkara yang tidak pasti dan diragui. Dan perkara yang tidak pasti atau diragui tidak memberi kesan kepada perkara yang wujud secara yakin berdasarkan kaedah Fiqh:


اليقين لا يزال بالشك

Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.


DEFINISI BENDA

Pengarang Fiqh Manhaji berkata:

"Benda bermaksud sesuatu yang dapat dilihat..."[5]

Bersandarkan definisi benda diatas, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Hafizahullah telah berkata:

"...dapat difahami bahawa unsur yang dimasukkan ke dalam mulut adalah gas yang bersifat halus dan tidak jelas. Oleh itu, ia (penggunaan inhaler) tidak dihukum seperti benda yang membatalkan puasa.[6]

Dari sudut penggunaan inhaler, setiap inhaler mengandungi 10 ml cecair berubat. Kuantiti sebanyak ini akan mengeluarkan 200 semburan. Bermakna, setiap semburan akan keluar kurang dari 1 ml.[7]

Pendapat yang dipilih oleh ialah Shaikh Ahmad bin Muhammad al-Khalil ialah penggunaan inhaler TIDAK membatalkan puasa. Pendapat ini juga pendapat yang dipilih oleh Shaikh Abdul Aziz Bin Baz, Syaikh Muhammad bin Salih al-Uthaimeen, Syaikh Abdullah bin Jabrin, Dr. Siddiq ad-Darir dan TG Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Al-Ustaz Isu 04 hlm. 83

[2] Ahmad bin Muhammad al-Khalil (2007), Isu-Isu Perubatan Dan Hubungannya Dengan Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication. hlm. 10- 14

[3] Al-Ustaz Isu 04 hlm. 37

[4] Mohamad Abdul Kadir (2013), Biar Tahu Jangan Keliru, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hlm. 222-224

[5] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid II, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 151

[6] Zulkifli Mohamad al-Bakri (Dr) (2012), Q&A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Selangor: PSN Publication Sdn. Bhd. hlm. 132-133

[7] Mohamad Abdul Kadir (2013), Biar Tahu Jangan Keliru, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hlm. 222-224

Jumaat, 10 Oktober 2014

Gelang untuk pakaian lelaki

Soalan:

Nak tanya. Gelang ni haram ke untuk lelaki?

Jawaban:

Memakai gelang adalah perhiasan orang perempuan. Ini dijelaskan oleh pengarang kitab Fiqh Manhaji.

Menurut pengarang lagi:

"Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah HARAM."[1]

Bagaimana pula jika ia merupakan gelang kesihatan?

Boleh jika:

i) Bertujuan perubatan
ii) Tidak niat berhias
ii) Tidak menyerupai gelang perhiasan

"Jika gelang yang kebiasaan dipakai orang ramai, hukumnya adalah HARAM kerana bentuknya adalah jelas sebagai satu perhiasan."[2]

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Mustafa al-Khin (Dr.), Mustafa al-Bugha (Dr.), 'Ali al-Syarbaji (2011),  Manhaj Fiqh 'ala Mazhab Imam al-Syafi'i Jilid III, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Negeri Sembilan hlm. 355 dan 356
[2] Ustaz Azhar Idrus (2011), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd hlm. 145

Khamis, 2 Oktober 2014

Hudud

Soalan:

Tiap kali bincang hukum Allah.. Orang kata kita ni PAS.. Ni bukan hukum PAS yang reka.. Rasa Akh pun jelas tentang isu ini.

Jawaban:

New York merupakan kota sebesar 305 batu persegi.[1] Namun, tahukah anda, 24 jam jenayah di New York adalah bersamaan 10 tahun jenayah yang berlaku di  Arab Saudi?[2] Mengapa ini boleh terjadi?

Amerika adalah negara yang termaju. Tetapi adakah anda tahu bahawa laporan FBI telah dibuat berkaitan kes jenayah rogol. Menurut laporan FBI pada tahun 1990, terdapat 102 555 kes rogol yang telah dilaporkan. Hanya 16% daripada kes rogol yang telah dilaporkan.[3] Mungkin ada yang mengatakan, "oh itu negara barat, Malaysia lain!" Menjawab soalan baik ini, saya ambil statistik kes rogol yang didaftarkan yang mempunyai kedudukan yang tertinggi berbanding negeri-negeri yang lain iaitu di negeri Selangor[4]:

Tahun 2000- 216 kes
Tahun 2001- 269 kes
Tahun 2002- 253 kes
Tahun 2003- 280 kes
Tahun 2004- 294 kes
Tahun 2005- 368 kes
Tahun 2006- 421 kes
Tahun 2007- 302 kes


Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan? Ya, ini hanya statistik kes yang telah dilaporkan. Saya tanya semula, bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan? Ini semua contoh jenayah yang berlaku. Persoalannya, apa penyelesaiannya?


HUDUD

Apabila ada orang Islam yang hendak memperjuangkan  hukum Allah, maka ada juga yang menentang. Itulah sunnatullah perjuangan. Boleh lihat didalam surah al-Anfal pada ayat yang ke 30. Namun yang lebih menyedihkan, perjuangan hendak melaksanakan hukum tersebut ditentang oleh orang Islam sendiri. Umpama  kapak yang mengapak pokok kayu untuk dibuat hulu kapak. Sadis.


Baik, kita pergi kepada tafsiran hudud. Hudud (حدود)atau kata mufrad (kata nama yang menunjukkan tunggal) nya 'Had' (حد) bererti pencegahan. Para fuqaha mendefinisikan hudud sebagai keseksaan yang bentuknya telah ditetapkan oleh syarak dan dilaksanakan bagi tujuan mencapai hak Allah. Dato Ismail Kamus menjelaskan takrifan hudud sebagai hukuman syarak yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak Allah seperti memotong tangan si pencuri, rejam ke atas penzina dengan syarat-syarat yang tertentu menurut al-Quran dan al-Sunah.[5]

Daripada istilah hudud ini, dapat difahami bahawa hudud memiliki dua ciri penting[6]:

i) Keseksaan yang berbentuk rigid, tidak berubah dan tidak boleh diubah oleh Hakim atau pemerintah.

ii) Tujuan menjamin hak-hak Allah.

Sesuai dengan tafsiran  undang-undang syariah itu sendiri, undang-undang syariah adalah undang-undang yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang tidak berubah mengikut masa dan keadaan. Ia lengkap dan menjadi panduan kepada manusia.[7]

Saya teringat di dalam kuliah pertama guru saya: Ustaz Zulqarnain Zainuddin -Semoga Allah merahmatinya-. Beliau mengajar subjek Undang-Undang Pentadbiran Orang Islam. Didalam kuliah tersebut, beliau berpesan supaya talifon bimbit kami TIDAK dimatikan dan TIDAK perlu dibuat didalam 'mode' senyap. Saya dan rakan berpandangan sesama sendiri, keliru.

Alasan beliau supaya jikalau ada panggilan kecemasan, kami dapat menjawab panggilan tersebut berbanding jika talifon bimbit dibuat secara 'mode' senyap. Pertemuan akhir ketika didalam kuliah pertama bersama beliau, beliau telah menyatakan rasional disebalik larangan membuat talifon bimbit BUKAN didalam 'mode' senyap. Perbuatan kami sebenarnya bertujuan memudahkan dirinya sendiri. Apabila talifon bimbit dibuat TIDAK secara 'mode' senyap tahulah bahawa kami sedang bermain talifon didalam kelasnya. Ya. Peraturan manusia yang dibuat manusia nampak macam memudahkan orang lain tetapi sebenarnya memudahkan dirinya sendiri.

Hudud adalah hak Allah. Kalian boleh rujuk sendiri didalam al-Quran, apabila Allah berfirman mengenai hudud, Allah akan idhafat (dua kata nama yang digabungkan) kalimah hudud kepada Allah. Menurut enjin carian Quran.com, ada beberapa ayat yang menyebut perkataan hudud.[8] Kesemua kalimah hudud tersebut Allah idhafatkan kepada Allah. Misalnya surah al-Baqarah 2:187, surah al-Baqarah 2:229, surah al-Baqarah 2:230, surah an-Nisa' 4:13, surah al-Mujadilah 58:4 dan surah al-Talaq 65:1.


KESALAHAN HUDUD

Ada tujuh kesalahan hudud[9]:

1) Zina
2) Qazaf
3) Meminum arak
4) Mencuri
5) Menyamun
6) Memberontak
7) Murtad


Kesimpulannya, laksanakanlah hudud kerana hudud adalah milik Allah bukannya milik seorang insan. Berusahalah untuk membantu agar hudud dapat dilaksanakan. Hudud bukan milik satu-satu parti, bukan milik mana-mana individiu tetapi hudud adalah milik Allah. Tidak usah bertelingkah sama ada hudud dapat dan sesuai dilaksanakan di Negara ini atau tidak, namun berbincanglah agar bagaimana cara hudud dapat diaplikasikan didalam perundangan Negara. Kadangkala kita terlalu asyik hendak memperjuangkan hukum syariah namun kita terlupa menerangkan aplikasi hukum syariah itu sendiri dalam kehidupan seharian. Kalian ingat mudah kah untuk hukuman hudud dijatuhkan? Perlu dilihat nilai curian misalinya, sangkaan, dan lain-lain. Banyak perkara yang perlu dilihat sebelum hukuman hudud dijatuhkan. Tetapi manusia tak faham, manusia bermusuh kepada apa yang dia tidak tahu.

Soalan yang perlu kepada penelitian:

1) Adakah cukup sebagai seorang Islam hanya memperjuangkan hukum hudud?
2) Adakah hukuman hudud dikenakan keatas orang Islam sahaja? Bagaimana dengan bukan Islam?
3) Jika pelaku kesalahan hudud bertaubat adakah gugur hukuman hudud ke atas dirinya?
4) Tanggungjawab siapakah hukuman ini? rakyat atau pemerintah?
5) Bolehkah hukuman hudud ini ditangguhkan jika telah sabit kesalahan yang dilakukan?
6) Apakah dia hukuman hudud yang dikenakan ke atas kesalahan hudud?
7) Benarkah hukuman hudud ini adalah hukuman yang keras? Ataupun ia hanya sekadar dakwaan semata-mata?

Jadi soalan-soalan seperti ini yang perlu kita bincangkan. Persoalan sama ada hudud ini sesuai  atau tidak tidak perlu dibincangkan. Hudud datang dari Allah. Tidak perlu lagi dipertikai.

Jawaban yang dapat diberi secara ringkas:

1) Adakah cukup sebagai seorang Islam hanya memperjuangkan hukum hudud?

Bagi yang memperjuangkan hukum Islam, ingatlah bahawa Islam tidak semata-mata memperjuangkan hukum hudud. Pesan Dr. Sano Kautoub Moustapha:

"Memang benar bahawa masyarkat Islam harus menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang salah. Tanggungjawab itu tidak hanya berkaitan dengan hudud melainkan dikaitkan juga dengan kejahatan yang lain seperti rasuah, melawan ibu bapa, melemahkan ajaran Islam, kemalasan, kemunafikan, mengumpat dan sebagainya."[10]

2) Adakah hukuman hudud dikenakan keatas orang Islam sahaja? Bagaimana dengan bukan Islam?

Soalan seperti ini, al-Faqir telah bertanya sendiri kepada Ustaz Azhar Idrus melalui laman Facebook milik beliau:

"hudud tu dikenakan juga atas orang kafir kah?"

Maka jawab Ustaz Azhar Idrus:

"Terpulang kepada pemerintah."

3) Jika pelaku kesalahan hudud bertaubat adakah gugur hukuman hudud ke atas dirinya?

Kita mengambil contoh situasi jika seorang lelaki dan seorang perempuan telah berzina, kemudian mereka benar-benar bertaubat dan berusaha untuk melangsungkan perkahwinan, maka hukumnya gugur asal sahaja perkara itu tidak sampai kepada pihak yang berkuasa atau raja negeri Islam, sebab rajalah yang seharusnya melaksanakan hukuman itu. Perkara ini dijelaskan oleh Dr. Sabri Abdul Raouf.[11]

  
4) Tanggungjawab siapakah hukuman ini? rakyat atau pemerintah?

Ibn Taimiyyah berkata didalam السياسة الشريعة al-Siyasah al-Syar'iah:

ان ولاية امر الناس اعظم واجبات الدين بل لا قيام للدين إلا بها ولأن الله تعالى اوجب الا مر بالمعروف والنّهى عن منكر ونصرة المظلوم وكذلك سائرما اوجبه من الجهد والعدل واقامة الحدود لا تتمّ إلا بالقوّة والإمارة

"Memimpin dan menguasai adalah antara kewajiban agama yang terbesar. Tidak akan tertegak agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) menyuruh kepa yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, berjihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teraju kepimpinan."

Abdul Karim Zaidan didalam نِظَامُ القَضَاءِ فِي الشَّرِيعَةِ الإِسْلَامِيَّةِ berkata:

"Undang-undang Islam ialah syari'at Islam, maka ialah undang-undang yang wajib dilaksanakan. Para hakim mesti mendasarkan keputusan-keputusannya kepada undang-undang tersebut dalam semua dakwaan yang didengarinya tanpa kecuali, sama ada yang berkaitan dengan jenayah mahupun sivil, sama ada pihak yang terlibat dalam dakwaan itu terdiri dari warganegara Islam atau orang asing, sama  ada mereka itu kesemuanya orang Islam atau bukan Islam. Maka kedaulatan undang-undang Islam mencakupi ke atas sekalian mereka itu dan ke atas semua jenis dakwaan tanpa kecuali seperti mana yang saya katakan. Dan tidak harus sama sekali bagi seorang hakim menjatuhkan hukuman dengan selain dari syariat Islam, kerana ia adalah merupakan undang-undang yang mesti dilaksanakan."[12]

Bermakna, seorang rakyat tidak boleh menjalankan hudud tanpa kebenaran pemerintah. Ini disokong oleh kenyataan Ustaz Azhar Idrus:

"Kewajiban melaksanakan hukum hudud menjadi tanggungjawab pemerintah bukannya atas rakyat jelata. Rakyat WAJIB menegur pemerintah yang tidak melaksanakan hudud. Sekiranya ada golongan yang mahu melaksanakan hukum hudud, semua rakyat wajib menyokongnya. Rakyat yang redha atas pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud adalah berdosa."[13]


Wahai pemimpin, kami mengajak anda merenungi hadith Nabi:

"وَماَ لَم تَحْكُمْ أَئِمَتُهُمْ بِكِتاَبِ اللهِ وَيَتَخيَّرُوْا مِمَّا أَنْزَلَ اللهُ اِلاَّ جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ..."

-رواه ابن ماجه في كتاب الفتان-
   
"...Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (disaat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri."

(HR Ibn Majah)

Menurut as-Syaikh Ahmad Fahmi Zam-Zam, perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum Allah S.W.T dan tidak mahu menjadikan al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.[14] Jadi, tidak hairan kita lihat pada mutakhir ini dalam kalangan manusia itu bertengkar sesama sendiri.


5) Bolehkah hukuman hudud ini ditangguhkan jika telah sabit kesalahan yang dilakukan?

 "Perlaksaan syariah merangkumi penangguhan. Apabila sesuatu undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan atas sebab syari'e, sebenarnya itu juga adalah pelaksanaan syariah.

Saya mengatakan demikian berdasarkan contoh daripada Nabi yang menangguhkan pemotongan tangan ke atas pencuri yang mencuri sewaktu berperang kerana bimbang dia akan masuk ke dalam kumpulan kafir. Penangguhan sebegini adalah perlaksanaan syariah dalam bentuk yang lain iaitu menolak fitnah dan kesusahan yang lebih berat."[15]

6) Apakah dia hukuman hudud yang dikenakan ke atas kesalahan hudud?

Ruangan adalah terbatas, saya nyatakan secara ringkas sahaja.[16] Syarah untuk perkara ini, kalian boleh menuntut ilmu daripada para asatizah, masyaikh dan 'alim ulama.

a) Zina
i) Penzina yang belum berkahwin: sebat 100 kali
ii) Penzina yang sudah berkahwin: Rejam sampai mati

b) Qazaf (tuduhan zina tanpa bukti)
80 kali sebatan

c) Minum arak
40 kali sebatan

d) Mencuri
Potong tangan

e) Merompak
i) Merompak dengan membunuh: balas bunuh
ii) Merompak sahaja: potong tangan kanan dan kaki kiri dan jika masih merompak, tangan kiri dan kaki kanan.
Merompak dengan menganggu ketenteraman awam: penjara

f) Murtad
Bunuh selepas diberi tempoh bertaubat selama tiga hari ataupun tiga kali


7) Benarkah hukuman hudud ini adalah hukuman yang keras? Ataupun ia hanya sekadar dakwaan semata-mata?


Dr. Ahmad Syauqi al-Fanjari (دكتور أحمد شوقي الفنجري) dalam bukunya كَيْفَ نَحُكمْ بِالإِسْلاَم فِي دَوْلَة عَصْرِيَّة Kaifa Nahkum Bil-Islam Fi Daulah 'Asyriyyah (Bagaimana Kita Hendak Memerintah Dengan Islam Dalam Negara Moden) berkata:

"Hukuman-hukuman fizikal yang dibawa oleh Islam dianggap oleh dunia moden hari ini sebagai keras. Untuk menjawab tuduhan ini kita menyatakan; Ya, sememangnya ia keras jika dilaksanakan dalam masyarkaat seperti Barat/Eropah hari ini. Namun ia tidak keras jika dilaksanakan di dalam masyarakat Islam. Kenapa? Kerana di dalam masyarakat Barat/ Eropah, mereka memberi kebenaran kepada segala unsur yang merosakkan dan menyeleweng. Arak, pelacuran, penzinaan dan perkara-perkara yang mendorong seks dibenarkan dengan sokongan undang-undang sendiri. Apabila ada dari mereka yang mabuk dan hilang akal dan bertindak liar membunuh atau mencuri, tiba-tiba mereka ditangkap dan dipenjara. Tidakkah itu memperlihatkan pertentangan yang pelik.

Masuk akalkah, kamu menjual kepada orang arak dan menggalakkan mereka meminumnya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka mabuk disebabkan arak itu. Atau kamu membuka kepada orang ramai pintu-pintu kepada kerosakan, dan perkara-perkara yang mendorong kepada seks, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka keluar merogol/ memperkosa anak-anak gadis di jalanan. Atau kamu mengemukakan kepada orang ramai filem-filem ganas yang memuja menonjolkan aksi mencuri, rompakan bank dan sebagainya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka meniru aksi-aksi dalam filem tersebut.

Segala faktor penyelewengan di atas tidak akan ditemui dalam masyarakat Islam (yang sebenar) yang hidup dalam naungan sebuah negara Islam. Oleh itu, tidak ada alasan untuk sesiapapun melakukan penyelewengan selepas itu..."[17]

Soalan-soalan perihal hudud yang perlu juga di renungi:

1) Bagaimana jika pemimpin yang melaksanakan kesalahan tersebut, adakah mendapat pelepasan?
2) Jika satu kumpulan melakukan kesalahan hudud terhadap seorang mangsa, adakah satu kumpulan tersebut akan dijatuhkan hukuman hudud?
3) Kalau tertuduh yang melakukan kesalahan hudud menarik balik kesalahan?
4) Bagaima jika tidak ada saksi? atau tidak ada bukti yang kukuh?
5) Bolehkah hudud dijatuhkan atas dasar sangkaan semata-mata?

Banyak lagi persoalan yang perlu di perjelaskan kepada masyarakat bahawa hudud ini adalah sistem undang-undang yang menjamin hak-hak manusia.

*******************************************************************************************************************

Wahai pejuang agama Islam! Apa yang hendak ditekankan disini, al-Quran bukan semata-mata bahan bacaan. Namun ia adalah sumber hukum yang boleh diambil dan wajib diambil. Perbincangan yang perlu HANYA perlaksanaan undang-undang.

Meminjam kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

"...Allah tidak menurunkan undang-undang dalam kitab suci dan lisan Rasul-Nya hanya untuk di ambil berkatnya sahaja atau hanya untuk dibacakan ke atas orang mati dan digantung menjadi perhiasan di dinding rumah. Tetapi Allah S.W.T telah menurunkannya untuk ditaati, dilaksanakan dan untuk menjadi dasar hukum bagi hubungan antara sesama manusia. Juga untuk memberikan panduang kepada jalan kehidupan agar sesuai dengan perintah, hukum dan syariat Allah."[18]

Mengakhiri tulisan, teringat pesan Tok Ayah Abul Khair Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Mahmud al-Kedahi:

"Kamu jangan jadi seperti kerengga, dia duduk di pokok buah-buahan tetapi tidak makan buah, bila ada manusia nak ambil buah dia pun kacau (marah)."[19]

Kita marah orang kacau kita punya agama, tetapi kita sendiri tidak mahu melaksanakan kandungan agama kita. Fikir-fikirkanlah.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] Wikipedia.org/Bandar_Raya_New_York


[3] Zakir Abdul Karim Naik (Dr)(2013), Jawapan Kepada Pertanyaan Bukan Islam Tentang Islam, Johor Bharu: Jahabersa hlm. 133

[4] ACP (B) Mohd. Reduan Aslie (2009), Jenayah, Selangor: Alaf 21 Sdn. Bhd hlm. 262

[5]  Dato Ismail Kamus (2009) Indahnya Hidup Bersyariat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 252

[6] Paizah Haji Ismail (2008), Undang-Undang Jenayah Islam, Selangor: Tradisis Ilmu Sdn. Bhd hlm. 3

[7] Noor Aziah Mohd Awal (2010), Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Malaysia, Selangor: International Law Book Service hlm. 11


[9] Paizah Haji Ismail (2008), Undang-Undang Jenayah Islam, Selangor: Tradisi Ilmu Sdn Bhd hlm. 173

[10] Daud Baharom (2006), Fatwa, Selangor: Gading Kreatif hlm.48 dan 49

[11] Daud Baharom (2006), Fatwa, Selangor: Gading Kreatif hlm.55

[12] Abdul Karim Zaidan (Prof)(Dr)(2010), Sistem Kehakiman Islam (نِظَامُ القَضَاءِ فِي الشَّرِيعَةِ الإِسْلَامِيَّةِ), Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid hlm. 323

[13] Ustaz Azhar Idrus (2012), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat, Selangor: PTS Islamika Sdn Bhd. hlm. 54

[14] Shaikh Ahmad Fahmi Zam-Zam (2008), 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Kedah: Khazanah Banjariah Maahad Tarbiah Islamiah hlm. 85

[15] Al-Ustaz Isu 23: Wasatiyyah; Karakter Poliktif Islam hlm. 8 dan 87

[16] Ustaz Azhar Idrus (2012), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat, Selangor: PTS Islamika Sdn Bhd. hlm. 52 dan 53

[17] Ahmad Adnan Fadzil (2007), 60 Soalan Bagi Soalan Anda, Kedah: Wawasan Ummah hlm.166

[18] Yusuf al-Qaradhawi (Prof)(Dr)(2011), Fiqh Kenegaraan (فقه الدولة), Selangor: Blue-T Publication Sdn. Bhd hlm. 147

[19] Tok Ayah Abul Khair Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Mahmud al-Kedahi (2011), Ruhul Zikri, Thailand: Kota Tauhid Ltd.


Ahad, 23 Februari 2014

Minum Air Yang Tiada Logo Halal

Soalan:

Soalan ini datangnya daripada, saudara Muhammad Irfan Abdul Rani. Soalannya agak panjang jadi saya ringkaskan begini ye Mursyid.

"Sekiranya kita mendapati suatu minuman ataupun makanan yang tidak mempunyai tanda halal. Apakah ia confirm haram memandangkan kita ada pilihan (makanan) yang ada tanda halal?"
 
Apa komen Mursyid? silakan.


Jawapan:

Mursyid Dr Zulkifli Muhammad al-Bakri:

Ok, terima kasih kepada yang bertanya dan juga sahabat-sahabat di ruangan ini. Yang pertama masalah tentang tanda halal dan haram ini.

Saya melihat dalam isu ini kepada dua. Semua (makanan) sudah dipetakan dan ditanda.

Maka, pada masa itu memang kita boleh bergantung.
Tapi kadang-kadang, zaman kita atau masa kini masih ada lagi (makanan) tidak pakai lagi (tanda halal), yang belum menyeluruh keseluruhannya.

Contohnya, kalau nasi lemak mana ada Mak Minah buat tu, buat roti canai, apa-apa (letak) tanda-tanda macam tu.

Yang kedua, kita jangan terikut-ikut sangat ditempat kita ni. Dengan erti kata, kita nak bawak keseluruh dunia logo halal JAKIM.

Maksud saya, kalau kita pergi ke Saudi pergi buat haji tengok tak ada tanda halal. Jadi tak boleh nak makan, kita ni. Orang lain kita tengok lepas makan, makan, lepas makan, makan kita tak boleh. Nak tunggu halal juga. Jadi yang tu pun kena rai jugak. 
Jadi dalam isu-isu seperti ini kita perlu tengok, kita bahagi kepada 2;

Kalau benda yang tidak membabitkan sembelihan atau proses yang tertentu.
Maka kita mengambil hukum ''asal kepada sesuatu perkara ialah harus ".

Air umpamanya. Jadi,apa -apa benda pun, benda yang haram seperti arak maka hukumnya adalah haram .
Soal dia ada tulis halal atau tidak itu soal lain. Saya ingat macam zaman dahulu, Saidina Umar dia cukup mudah dalam perlaksanaan.

Macam mana, Saidina Umar pernah suatu ketika dia lalu, tepi pintu atau kita kata tepi bangunan rumah orang.

Jadi, adalah orang curah air terkena pada Saidina Umar. Lalu orang yang duduk tepi tu pun bertanya, "eh, ni air apa ni "Saidina Umar kata ''jangan tanya". Jadi, disitu prinsipnya amat mudah. Tak payah tanya.

Tapi, kita pun fahamlah. Janganlah bau hancing ke ataupun benda tu sekadar semata-mata air.

Jadi itu digambarkan, Islam diajar supaya jangan kita ni terlalu sampai untuk nak tekun ni nak check satu- satu sampai kepada kecik-kecik (perkara).

Kalau itu berlaku, maka kita menyebabkan memberatkan diri kita sendiri. Yang paling bahaya sekali, akan datang satu penyakit yang namanya was-was.

Jadi, bila was-was ni, Ya Allah, susah sangat. Jadi, jawaban yang tadi, kita tengoklah. Kalau air tu maksudnya, masih lagi macam biasa, tak jadi masalah-lah. Melainkan kalau diragukan dan dibimbangi kot kot kepada isu mabuk sebagainya. Maka, itu baru tak boleh.

Wallahu'alam .


NOTA:

1. Pada 4 haribulan Mac yang 2011, saya kebetulan teronline Facebook dan terbaca satu status dari DJ (Ustaz) Zamri radio IKIM (Kini sudah bersara daripada menjadi DJ Radio @IKIM.fm). Ustaz buka soalan di status Facebook, jadi saya pun mengambil kesempatan untuk bertanya dalam segmen Daurah di IKIM.fm bersama Tuan Guru Dr. Zulkifli al-Bakri.

2. Gaya bahasa juga dikekalkan didalam tulisan ini untuk pemahaman. Mohon tidak digunakan didalam subjek pembelajaran.

Apa itu Cinta?

Soalan:

Macam mana rasa cinta?

Jawaban:

Sebelum saya berkongsi bagaimana rasanya cinta, atau apakah tanda-tanda kita sudah jatuh cinta, suka saya berkongsikan ada beberapa tanda jika berlaku pada diri kita maka kita sudah perlu untuk berkahwin.
Menurut Ustaz Emran Ahmad, orang itu sudah perlu untuk berkahwin jika ada ciri-ciri yang demikian[1]:

1. Hati berasa sunyi walaupun ada ramai orang disekelilingnya.
2. Kehidupan tidak terurus.
3. Jantung berdegup laju bila wujud lawan jantina.
4. Hilang fokus bila wujud lawan jantina.
5. Cemburu terhadap kebahagiaan orang lain.
6. Sayang terhadap kanak-kanak.
7. Jatuh cinta
8. Cepat tergoda dan teruja.
9. Onani.
10. Ingin terhadap hubungan intim.

Baiklah, terus kepada jawapan, berikut diberikan beberapa tanda seseorang itu sudah jatuh cinta terhadap seseorang[2];

1. Memanahkan dan menghalakan pandangan mata (nampak dia di mana sahaja)
2. Malu jika orang yang dicintai memandangnya.
3. Selalu mengingati dan menyebut tentang orang yang dicintai.
4. Tunduk kepada arahan orang yang dicintainya.
5. Bersabar menghadapi gangguan (perangai) orang yang dicintainya.
6. Memperhatikan dan mendengar ucapan orang yang dicintainya.
7. Mencintai tempat dan rumah orang yang dicintainya.
8. Segera menghampiri orang yang dicintainya.
9. Mencintai apa-apa yang dicintai orang yang dicintainya.
10. Jalan yang ditempuh terasa pendek sekalipun panjang saat mengunjungi orang yang dicintainya.
11. Perasaan serba salah mengunjungi orang yang dicintainya atau orang yang dicintainya mengunjungi dirinya.
12. Gementar bila berhadapan serta bila disebut nama orang yang dicintainya.
13. Tidak menyukai sesuatu yang tidak disukai orang yang dicintainya.
14. Berkorban untuk mendapat keredaan orang yang dicintainya.
15. Menyukai apa-apapun yang menyenangkan orang yang dicintainya.
16. Suka menjauhi orang lain.
17. Tunduk patuh kepada orang yang dicintainya.
18. Bernafas panjang dan lebih kerap.
19. Mengelakkan perkara yang meretakkan hubungan dengan orang yang dicintainya.
20. Adanya kesesuaian dan keserasian dengan orang yang dicintainya.


RUJUKAN:

[1] Ustaz Emran Ahmad (2011), Mencari Pasangan Hidup. Shah Alam: Karya Bestari Sdn Bhd
[2] Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Raudhah Muhibb wa Nuzhah al-Musytaqin
روضه المحبين و نزهه المشتاقين

Sabtu, 11 Januari 2014

Hukum lukisan

Soalan:

Melukis benda hidup (manusia, haiwan) berdosa kan?

Jawapan:

Suka saya memetik soalan yang diutarakan kepada Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Nor[1],

"Seorang jiran saya bekerja sebagai seorang kartunis. Ia melukis kartun untuk buku-buku pendidikan dan dakwah. Adakah wang yang ia dapatkan daripada pekerjaan itu halal?"

Maka Ustaz menjawab,

"Hukum asal bagi lukisan di atas papan atau kertas adalah MAKRUH seperti yang dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Namun sekiranya lukisan ini untuk pembelajaran atau dakwah, maka saya berpendapat ianya harus kerana terdapat hajat. Ini berdasarkan kaedah yang menyatakan bahawa hukum makruh gugur jika terdapat hajat padanya." 

Ustaz Azhar memberikan jawapan harus melukis, "macam untuk pelajaran,...atau kita lukis tu sebab nak jadi isyarat tepi jalan...Jangan lukis benda hidup untuk jadikan perhiasan."[2]


RUJUKAN

[1] Al-Ustaz Isu 13; Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor Wasatiyyah: Hukum Patung, Lukisan dan Foto

Sabtu, 21 Disember 2013

Lafaz Nazar

Soalan:

Kalau (nazar) tak lafaz, tak perlu buat lah eh?

Jawapan: [1]

Ya. Nazar mesti dilafazkan.

Imam Yahya Bin Sharaf an-Nawawi didalam al-Majmu' menyebut:

"Tidak sah nazar melainkan dengan ucapan." 

Lafaz itu mestilah menunjukkan maksud mewajibkan diri melakukan amalan kebajikan tertentu.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Ustaz Muhammad Luqman Makhtar. 2012. al-Ustaz Isu 12: Harga Nama Allah, Merungkai Hukum Sumpah & Nazar. Fokus Isu 12; Kemelut Nazar, Sekadar Niat Bukannya Nazar. Telaga Biru Sdn Bhd. Kuala Lumpur m/s 25

Hukum Memakai Inai

Soalan:

Boleh ke buat ukiran inai pada tangan?


Jawapan:

HUKUM BERINAI[1]

Jumhur ulama berpendapat bahawa HARAM bagi lelaki memakai inai ataupun mewarnakan jari atau tangan kerana inai adalah khusus bagi para wanita.
Menurut Imam Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman as-Shafie, beliau tidak membenarkan lelaki memakai inai pada tangan dan kaki kerana pemakaian inai akan menyerupai perempuan KECUALI jika atas tujuan untuk perubatan ataupun darurat.

Menurut pandangan Imam Nawawi pula dalam Fatwa al-Majmu', lelaki diHARAMkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut. Dr.Yusuf al-Qaradawi didalam kitabnya,[2] memetik riwayat daripada Anas Bin Malik yang menyatakan bahawa Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab juga menggunakan inai di rambut. Bahkan menjadi sunnah untuk mewarnakan rambut dan janggut selain dengan warna hitam[3] (ketika sudah beruban). Cuma, inai adalah alat mengubah warna rambut dan janggut yang terkenal yang terdapat pada zaman baginda.[4]

UKIRAN INAI DITANGAN PEREMPUAN

Berkenaan ukiran inai yang telah dihias di tangan atau kaki, maka orang perempuan WAJIB menyembunyikan tangan atau kaki yang telah dihias dengan inai daripada mata orang yang haram melihatnya. [5]


INAI DAN PERUBATAN

Menurut guru kami, Ustaz Muhammad Kazim Elias al-Hafiz[6], kajian menunjukkan bahawa inai atau nama saintifknya Lawsonia Inermis boleh menjadi agen untuk anti bakteria dan anti fungus (kulat). Inai juga sangat berkesan dalam rawatan kaki berkulat, kulit berkulat dan bengkak-bengkak kerana sifatnya yang menyejuk.

Allahu'alam. Jom tanya asatizah yang lain.



RUJUKAN:

[1] Afiqme Mohamad (2013), Barakah Kahwin Muda, Kuala Lumpur: Pustaka Azhar. hlm. 112

[2] al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (Dr) (2014), Halal dan Haram Dalam Islam, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. hlm. 166

[3]Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid III, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 347

[4] Ustaz Azhar Idrus

[5]  al-Ustaz Isu 15, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd. hlm. 23

[6] Ustaz Mohamad Kazim Bin Elias al-Hafiz (2011), Doa & Penawar [Menurut Al-Quran & Al-Sunnah] Terpilih, Kuala Lumpur: InteamPublishing. hlm. 18

Khamis, 14 November 2013

Jawab Salam Berlainan Jantina

Soalan:

Ada budak kata ustazah dia cakap kalau orang berlainan jantina bagi salam, tak wajib jawab salam. Sedangkan jawab salam tu wajib, kan akhi?

Jawapan:

Tak salah beri salam kepada kepada perempuan tanpa berjabat tangan dan tida timbul fitnah. Dalam hadis sahih riwayat Abu Daud (5204), Nabi Muhammad S.A.W sendiri memberi salam kepada kumpulan perempuan.[1]

Kefahaman disebalik hadith ini ialah boleh beri salam, boleh jawab salam lelaki dan wanita yang ajnabi dengan syarat tak jabat tangan dan tak timbul fitnah. Nabi tak akan buat sesuatu yang ada impak negatif kepada kita.[2]

Ulama'[3] menyatakan dilarang memberi salam kepada wanita yang muda dan harus bagi wanita tua demikian juga wanita tidak menjawab salam lelaki kepadanya dan wanita tidak memberi salam kepada lelaki kecuali dalam situasi yang aman daripada fitnah iaitu adanya mahram [al-Adab al-Syar'iyyah, Ibn Muflih al-Hanbali]

Allahu'alam


RUJUKAN:

[1] Sheikh Muhammad Bin Soleh al-Munajjid, Sheikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin, Sheikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz. Fatwa Adab.
[2] Saudara Ammar Irfan
[3] Ustaz Muhammad Asrie Sobri

Gambar Anjing Dalam Talifon Bimbit

Soalan:

Kalau dalam sistem handphone kita ada gambar anjing dan tak dapat dibuang gambar tu. Boleh ke bawa dalam masjid, phone tu?

Jawapan:

Adakah handphone yang ada gambar anjing tu najis kalau dipegang? Adakah kena samak (sertu)? Paling selamat offkan handphone tu..[1]

Anjing bukan binatang hina... Enta hafaz surah al-Fatihah boleh masuk toilet tak?[2]


Rujukan:

[1] Ustaz Mohd Yusuf Arbain
[2] Saudara Ammar Irfan

Selasa, 12 November 2013

Hukum Menonton Wayang

Soalan:

Apa hukum kalau saya seorang lelaki dan kawan perempuan keluar berdua untuk pergi menonton wayang?

Jawapan:

Hukum menonton wayang itu bergantung kepada apa yang ditonton. Jika sekiranya yang ditonton perkara yang menyalahi syarak dan diharamkan oleh Islam maka haram menontonnya tetapi jika yang ditonton tidak menyalahi hukum syarak maka harus menontonnya dengan syarat tidak lalai dari mengerjakan ibadah dan perintah Allah yang lain.[1]

Dr.Yusuf al-Qaradawi ada menggariskan beberapa panduan jika kita ingin menonton wayang[2]:

1. Filem tersebut bersih dari kefasikan, dan semua hal yang dapat melenyapkan aqidah, syariat dan kesopanan Islam.

2. Tidak melupakan kewajiban dunia atau akhirat.

3. Jangan sampai terjadi persentuhan dan percampuran antara lelaki dan perempuan lain, demi menjaga fitnah dan menolak syubhat. Lebih-lebih lagi, filem ditayangkan ditempat yang gelap.

Adapun tentang perkara yang kedua, iaitu hukum lelaki keluar berdua dengan perempuan tanpa ada yang ketiga maka hukumnya adalah haram. Begitu juga haram sekiranya mereka keluar bertiga tetapi orang yang ketiga itu daripada kalangan yang tidak disegani seperti kanak-kanak berusia dua tahun kerana kewujudannya sama seperti tidak wujud.[3]

Nabi Muhammad memberi guideline, "Janganlah seorang perempuan perempuan bermusafir kecuali bersama mahramnya. Dan janganlah seorang lelaki masuk ke dalam rumah seorang masuk ke dalam rumah seorang perempuan kecuali bersamanya ada mahram." (Hadith Riwayat Bukhari)



Allahu'alam

Rujukan:

[1] Dato Ismail Kamus. Majalah al-Ustaz Isu Perdana: Fiqah Harian; Menonton Wayang, Apa Hukumnya?
[2] Dr. Yusuf al-Qaradawi. Halal dalam Haram dalam Islam.
[3] Ustazah Maznah Daud. Majalah Q&A Isu 20: Fiqh an-Nisa; Berdua Tanpa Mahram.

Ahad, 15 September 2013

Download lagu

Soalan:

Download lagu al-Haq-Mawi...lagu baik dapat pahala....tetapi download secara 'free'.....macam mana ek?

Jawapan:

Setakat digunakan untuk mendengar tidak ada masalah malah dibolehkan. Namun yang menjadi permasalahannya ialah memuat turun lagu tersebut kemudian menggunakannya bagi tujuan perniagaan.[1]

[1] Ustaz Azhar Idrus. Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat m/s 89