AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)
Memaparkan catatan dengan label Rasulullah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasulullah. Papar semua catatan

Ahad, 9 April 2017

SUNNAH MAKAN AISKRIM?

Soalan:

Makan aiskrim adalah sunnah Nabi Muhammad SAW
Betul ke?

JAWABAN:

Sebuah hadith yang menceritakan perihal minuman yang disukai oleh Nabi Sallahu'alaihiwasalam
َ
كان أحب الشراب إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الحلو البارد

"Minuman yang paling disukai oleh Rasulullah Sallahu' alaihiwasalam adalah minuman yang manis dan sejuk."

Hadis ini boleh dirujuk di dalam Syamail Muhammadiyyah pada nombor 198, disusun sebagai hadis pertama dalam bab 31; Bab Sifat Minuman Rasulullah (Abu Isa at-Tirmidzi, Muhammad bin Isa (2012), Syamail Muhammadiyyah, Beirut: Syarikat Abna Syarif al-Ansori, hal. 84)

Didalam hadis tersebut, digunakan kalimah الْبَارِد al-Baarid bagi membawa maksud sejuk, namun sejuk tersebut berada pada tahap biasa tanpa ais. Justeru, aiskrim bukanlah makanan sunnah seperti yang didakwa didalam soalan. Demikian apa yang telah kami belajar bersama guru kami Ustaz Adlan Abdul Aziz hafizahullah. 

Guru kami Dr Abdul Basith Abdul Rahman juga menolak dakwaan bahawa aiskrim merupakan sunnah Nabi sallahu 'alaihi wasalam. (lihat hal. 100 al-Ustaz Isu 22).

Allahu'alam

Rabu, 13 November 2013

Nabi Muhammad Buta Huruf?

Soalan:

Betulke Nabi S.AW. buta huruf?

Jawapan:

Allah SWT berfirman didalam al-Quran[1]

 (وَمَا كُنتَ تَتۡلُواْ مِن قَبۡلِهِۦ مِن كِتَـٰبٍ۬ وَلَا تَخُطُّهُ ۥ بِيَمِينِكَ‌ۖ إِذً۬ا لَّٱرۡتَابَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ (٤٨

"Dan kamu tidak pernah membaca sebelum al-Quran sesuatu kitab pun dan kamu tidak pernah menulis suatu kitab dengan tangan kananmu, andai kata kamu pernah membaca dan menulisnya, benar-benar ragulah orang yang mengingkarimu."

Ayat ini menjadi dalil bahawa, Nabi Muhammad tidak dapat menulis al-Quran  sebab beliau adalah ummi (tidak dapat membaca dan menulis).[2] Kalaulah Nabi Muhammad pandai menulis nescaya orang kafir akan meragui kesucian al-Quran. Bagaimana orang yang tidak tahu menulis dan membaca boleh mencipta "syair" yang begitu indah?



Rujukan:

[1] Surah al-Ankabut ayat 48
[2] Faisal Abdur Rahman, Tuhan Untuk Semua

Khamis, 24 Oktober 2013

Sunnah Berkahwin dengan 11 orang?

Soalan:

Ulama kata Nabi Muhammad ada 11 orang isteri. Tetapi kenapa sunnah lelaki kahwin 4? Means, Rasulullah kahwin 4 jelah kan? Kalau kahwin 11, means lelaki semua boleh kahwin 11 sebab sunnah? Tak gitu?

Jawapan:

Tentang jumlah isteri Nabi Muhammad, Ulama berbeza pendapat. Ada yang mengatakan Nabi berkahwin seramai 9 orang[1] dan ada pula yang mengatakan seramai 11 orang.[2].

11 orang isteri Nabi yang dimaksudkan ialah [3]:

1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam'ah
3. A'isyah Binti Abu Bakar as-Siddiq
4. Hafsah Binti Umar al-Khattab
5. Zainab Binti Khuzaimah
6. Ummu Salamah
7. Ummu Habibah
8. Juwairiyah Binti Harith
9. Maimunah Binti Harith
10. Sofiyah Binti Huyai
11. Zainab Binti Jahsy

Menurut guru saya Ustaz Suhaimi bin Abu Hassan -Semoga Allah merahmatinya-, isteri semasa Nabi ialah 9 orang. Bermakna, keseluruhan isteri Nabi ada 11 orang dan 9 orang adalah isteri semasa Nabi.

Menjawab permasalahan ini. Baik, benar orang Islam amat dituntut untuk mengikut sunnah Rasulullah S.A.W kerana Rasulullah merupakan ikutan terbaik untuk umatnya. Namun ada perkara yang hanya dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W seperti puasa dan poligami.

Menurut ulama[4] ini adalah satu hukum yang khusus dan tidak boleh dikongsikan dengan yang lain dan mengandungi pembahagian. Bermakna hukum ini khusus kepada Rasulullah S.A.W dan tidak boleh dijadikan contoh. Adapun bagi lelaki terdapat galakan dalam al-Quran[5] untuk lelaki berkahwin hanya sekadar 4 orang.

Wallahu'alam


Rujukan:


[1] Majalah al-Ustaz isu nombor 3. Fatwa Semasa: Dr.Yusuf al-Qaradawi, Hikmah Rasulullah berpoligami. m/s 28 dan 29. Petikan daripada kitab Hady al-Islam Fatawa Mu'asirah
[2] Majalah Q&A isu 21. Mufti: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Stia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Berapakah jumlah Isteri Nabi? m/s 9.
[3] Ustaz Azhar Idrus. Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa.
[4] Muhammad Bin Soleh al-Munajjid, Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin, Abdul Aziz Bin Baz. Fatwa Adab. Selenggara oleh Syahrul Noor Saidin
[5] Surah an-Nisa' ayat 3

Ahad, 13 Oktober 2013

Hikmah Rasulullah berpoligami

Soalan:

Saya nak tahu, mengapa Rasulullah berpoligami? Saya faham ianya perintah Tuhan tetapi mesti ada sebab Rasulullah berkahwin ramai. Boleh jelaskan kepada saya, dan secara kebetulannya menjawab juga persoalan kepada orang bukan Islam bahawa Rasulullah bukan gila seks.

Jawapan: [1]

Kita sedia maklum bahawa Nabi banyak menghabiskan masa mudanya sehingga berusia 50 tahun bersama seorang isteri SAHAJA yang berumur 15 tahun lebih tua. Siapakah dia? Tentulah Khadijah Binti Khuwailid r.ha. Baginda tidak berkahwin lain sehinggalah Khadijah r.ha wafat.

Tahukah anda bahawa, kaum lelaki mulai menurun berahinya pada setelah usia empat puluh tahun?[2] Bagaimana ada yang tergamak mengatakan Nabi berkahwin ramai kerana gila seks? Astaghfirullah.

Ulama menyatakan Nabi berkahwin sebanyak 11 orang dan kesemua mereka yang Nabi kahwini itu sudahpun berkahwin kecuali Aisyah r.ha. [3]

1. Memberi Penghormatan:

Rasulullah berkahwin dengan Aisyah walaupun Aisyah ketika itu masih belum layak untuk berkahwin. Bagaimanapun Rasulullah hanya menggaulinya kecuali selepas beberapa tahun. Tujuan Rasulullah berkahwin dengan Aisyah kerana ingin memberi keistimewaan kepada Abu Bakar, seorang sahabat yang paling dekat dengannya. Budaya di tanah Arab ketika itu, mengahwinkan anak dengan pembesar kaum adalah merupakan suatu penghormatan.

Begitu juga dengan perkahwinan Nabi dengan Hafsah bertujuan untuk memuliakan Umar al-Khattab. Umar r.a asalnya menawarkan Hafsah kepada Abu Bakar dan Uthman, namun mereka tidak memberikan jawaban. Akhirnya, Rasulullah menikahi Hafsah sebagai penghormatan memuliakan Umar al-Khattab.

Berkata Muhammad Rashid Reda dalam bukunya, 'Muhammad Rasulullah S.A.W', [4]

"Sebenarnya ramai dan banyaknya isteri Rasulullah S.A.W itu  bukanlah untuk memuaskan nafsu seks, tetapi tujuan utama Baginda berbuat demikian adalah untuk mencipta suasana silaturahim yang erat dan ikatan yang kuat antara Baginda dengan para sahabat dan pemuka-pemuka Arab lain melalui jalan semenda. Kerana dengan adanya silaturahim yang erat dan ikatan yang kuat melalui jalan persemendaan ini akan membantu dan menyokong Baginda khasnya dalam penyebaran Islam."

2. Menghapuskan kesedihan:

Kita mungkin sudah maklum bahawa selepas kematian Abu Salamah dalam perang uhud, Rasulullah melamar Ummu Salamah. Bukan bertujuan untuk sesuatu tetapi untuk meringankan perit jerih Ummu Salamah.

Ummu Habibah memiliki suami, namun suaminya tidak tahan dengan penderitaan yang terpaksa dihadapi ketika memasuki Islam. Lantas beliau kembali dan meninggalkan isterinya. Maka Nabi melamar beliau kerana ingin menghapuskan bebanan perasaan dan penderitaan jiwa yang ditanggungnya akibat tindakan suaminya.


3. Memecah tradisi:

Ada sebuah tradisi yang wujud pada zaman jahiliah iaitu haram berkahwin dengan bekas isteri kepada anak angkat. Sebab itu baginda berkahwin dengan isteri Zaid Bin Harithah iaitu Zainab Binti Jahsy. Kalau kita lihat sirah, Nabi pernah ditegur kerana memanggil Zaid Bin Harithah, anak angkat Nabi sebagai Zaid Bin Muhammad. Allah kemudian tegur didalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 5;

"Panggilah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (menggunakan) nama bapa-bapa mereka. Itulah yang lebih adil disisi Allah..."


4. Bukan atas tujuan kecantikan:

Adakah orang yang gila seks akan berkahwin dengan orang yang tua?

"Saya juga sudah tua seperti dirimu." kata Nabi Muhammad S.A.W. Ini disebabkan Ummu Salamah asyik berdalih ketika Nabi melamarnya dengan menyatakan alasannya bahawa dirinya (Ummu Salamah) sudah tua.

Begitu juga wanita seterusnya yang baginda berkahwin setelah Khadijah r.ha meninggal dunia, Zainab Binti Zam'ah. Beliau seorang wanita yang sudah tua, tiada apa-apa kelebihan pun berbanding wanita muda dan sudah tidak secantik mana.

Allahu'alam.

Rujukan:

[1] Majalah al-Ustaz isu nombor 3. Fatwa Semasa: Dr.Yusuf al-Qaradawi, Hikmah Rasulullah berpoligami. m/s 28 dan 29. Petikan daripada kitab Hady al-Islam Fatawa Mu'asirah.

[2] Muhammad Sofwan, Shihabuddin A.M.P, Mohd Najib (2013), Gerbang Perkahwinan, Selangor Darul Ehsan: Jasmin Publications  m/s 5266

[3] Majalah Q&A isu 21. Mufti: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Stia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Berapakah jumlah Isteri Nabi? m/s 9 dan 10.

[4] Majalah Q&A isu 21. Mufti: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Stia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Berapakah jumlah Isteri Nabi? m/s 10.