AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Rabu, 18 Januari 2017

Rujuk Semula Dalam Iddah, Bilangan Talak Menjadi Satu Semula?

Soalan:

Jumlah talak isteri yang telah habis iddah, kemudian suami kahwin semula dengan isteri tersebut. Berapakah jumlah talak dia, kembali menjadi tiga ataupun kekal menjadi dua?


Jawaban:

Talak ni yang boleh kita baik semula kalau boleh rujuk dua talak sahaja.

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ
dua talak sahaja

فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ
kamu sudah dua kali talak, dua kali cerai lagi maka jadi tiga talak, bila tiga talak habis dah tak boleh lagi berkahwin melainkan isteri kamu berkahwin dengan suami yang lain.

Dan suami yang lain itu bukan berpakat cerai. Dia tidak ada jodoh panjang pula dengan suami yang kedua. Bercerai, habis iddah baru boleh balik dengan suami yang lama dengan pernikahan...

Persoalannya, balik kepada suami lama, ada tak hutang 3 (talak) itu? Yang tu persoalan dia.
3 talak tu habis dah atau kosong-kosong balik?

Jawabnya, tengok liga perdana... dulu Selangor lawan Perak Selangor dapat satu, bila dia gi di Perak pula dia bawa tak gol satu tu? dia bawa.

Tapi kalau tahun depan piala baru pula bawa dok? Dok

Maka bila dia kahwin dengan laki baru maka piala baru, bila piala baru kosong kosong balik. Nampak? Dapat 3 balik.

***

Allahu'alam

Soalan dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus, Karangkraf

Perkahwinan Sebelum Islam Selepas Menganut Islam

SOALAN:

Ada sebuah pasangan non muslim. Mereka berkahwin semasa mereka belum memeluk Islam

Ditakdirkan Allah , mereka memeluk agama Islam. Jadi, bagaimanakah status perkahwinannya? Perlukah menikah semula atau tidak perlu?


JAWABAN

1. Perkahwinan lelaki muslim dengan perempuan yang tidak Islam adalah tidak dibenarkan.

2. Perkahwinan orang bukan Islam sesama orang bukan Islam adalah sah. Perkara ini adalah bersandarkan kepada beberapa hadith antaranya Ghaylan bin Salamah at-Thaqafi yang mempunyai sepuluh orang isteri sewaktu beliau belum lagi menganut agama Islam, namun selepas pengislaman mereka Rasulullah Sallahu 'alaihi Wasalam memerintahkan supaya mengekalkan empat sahaja isteri dan menceraikan isteri yang lain.[1]

3. Ada sahabat Nabi yang memiliki lima, lapan, bahkan sehingga sepuluh orang isteri. Kesemua sahabat itu tadi diperintahkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasalam untuk memilih empat orang sahaja untuk diteruskan hubungan suami isteri. [2] Naufal bin Muawiyah misalnya, memiliki lima orang isteri dan apabila memeluk Islam, Nabi Sallahu 'alaihi wasalam memerintahkan  supaya menceraikan seorang dari lima orang isterinya.[3]

4. Kembali kepada permasalahan, jika mereka (bukan Islam) kembali kepada Islam, bagaimana dengan status perkahwinan mereka? Ini bergantung kepada beberapa keadaan[4]:

i. Sah jika suami isteri yang bukan Islam bersama memeluk Islam.
ii. Sah jika suami memeluk Islam sedangkan isteri yang ahli kitab tidak memeluk Islam.
iii. Sah jika suami memeluk Islam sedangkan isteri bukan beragama Islam memeluk Islam dalam tempoh iddah. Tempoh iddah bermula apabila pengislaman suaminya.
iv. Sah jika isteri bukan Islam sedangkan suami bukan beragama Islam memeluk Islam dalam tempoh iddah isterinya.
v. Pernikahan semula (mas kahwin dan akad yang baru) dengan bekas isteri jika suami memeluk Islam selepas habis iddah isteri.


KESIMPULAN:

Pernikahan seorang suami isteri yang bukan Islam adalah sah dan boleh diteruskan jika mereka telah masuk ke dalam Islam bersama. Namun, jika salah seorang sahaja yang memeluk Islam, maka perkahwinan yang lama boleh diteruskan jika mereka memeluk Islam dalam tempoh iddah isterinya. Apabila tamat tempoh iddah dan ingin kembali kepada pasangannya maka perlu kepada pernikahan dengan mas kahwin dan akad yang baru. Inilah yang diterangkan didalam mazhab kami mazhab Syafi'i.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] Muhammad Idris al-Marbawi (2012), Bahru al-Maadzi, Selangor: al-Hidayah Publications, 8/193-195

[2] Al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (Dr)(2014), Halal dan Haram Dalam Islam, Negeri Sembilan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. hal. 348-349

[3] Muhammad Irfan bin Abdul Rani (2014), Konsep Poligami Di Malaysia Melalui Prosedur Mahkamah Dan Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah, Melaka: Kolej Universiti Islam Melaka, hal. 6

[4] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syarbaji (2007), Manhaj Fiqh al-Syafi'i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, 4/152-155

Rabu, 10 Ogos 2016

Keluar mani ketika buang air besar


Soalan:

Bila saya nak buang air besar.. kadang-kadang saya terkeluar air mani tanpa sengaja... saya ni lelaki.. normal ke tu? Lagi satu, saya kena mandi wajib ke?

Jawaban:

DEFINISI:

Air wadi ialah air yang berwarna putih, keruh, kental dan tidak berbau yang keluar (dari kemaluan) setelah buang air kecil atau membawa barang yang berat.[1]. Perkara yang membezakan air mani dengan air wadi adalah dari sudut bau dan keluarnya air wadi dalam bentuk satu atau dua titis sahaja.[2]

Selain itu, air mani keluar dalam keadaan memancut disebabkan syahwat, merasa lega setelah keluar dan menyebabkan anggota menjadi lemah.


KETERANGAN:

Adat jika keluar air selepas air kencing atau buang air besar maka itu adalah air wadi.

Hukumnya adalah najis (mutawassitah) kerana ia keluar selepas daripada kencing.[3]

Wuduk menjadi terbatal dengan sebab keluar sesuatu daripada dua jalan qubul dan dubur melainkan mani. [4].

Dalam hal ini keluarnya air wadi menyebabkan seseorang yang berwuduk kembali berhadas kecil kerana wuduk telah terbatal dengan sebab keluar air wadi.


TAMBAHAN:

1. Jika seseorang yang beronani sambil membuang air besar lantas keluar air mani maka dirinya perlu melaksanakan mandi wajib.

2. Jika seseorang keluar lebihan air mani setelah mandi wajib, maka ia hanya membatalkan wuduk.[5]

3. Jika seseorang yang mengalami masalah sentiasa keluar air mani, maka dia wajib untuk mandi wajib setiap kali hendak mengerjakan solat fardhu.[6]


KESIMPULAN:

Air wadi keluar ketika kencing atau mengangkat benda yang berat. Air wadi bersifat keruh, kental dan tidak berbau. Keluar air wadi membatalkan wuduk dan tidak perlu mandi wajib kerana ia bukan air mani.

Allahu'alam

[1] Muhadir Haji Joll (2015), Syarah Safinah an-Naja, Selangor: Galeri Ilmu Sdn. Bhd hal. 39
[2] Zulkifli Mohamad al-Bakri (Dr)(2014), Tanyalah Islam Menjawab, Negeri Sembilan: Pusataka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. 2/113
[3] Said Ibrahim (1999), Fiqh Mazhab Syafi'i, Kuala Lumpur:Darul Ma'rifah, 1/142
[4] Salim bin Sumair (2014), Safinah Naja, Kelantan: Jabal Maraqy Sdn. Bhd.hal. 4
[6] Fuad Ismail, Rohidzir Rais, Mohd. Wahid Abdul Hanif (2011), Ensiklopedia Solat, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd hal. 458

Pukau

Soalan:

Apa pendapat kau tentang geng jubah hitam yang main pukau-pukau ni?


Jawaban:

Definisi:

Pukau boleh diterjemahkan sebagaikan hypnotism atau hypnotic. Menurut kamus Dewan, hypnotism membawa maksud memukau atau terpukau.


Manakala hypnotic disebut sebagai renungan yang memukau.[1]




KAEDAH PUKAU:

Kaedah ilmu pukau dilakukan antaranya:


1. Minyak pengasih

2. Minyak dagu

3. Sentuhan

4. Pergerakan tangan

5. Jampi mentera dan lain-lain.



Menurut Pak Engku; pengacara Perangi Sihir Astro Oasis, pukau ini turut menggunakan bantuan dari pihak jin yang kafir.[2]


JUBAH HITAM:

Semenjak bila pakaian bewarna hitam menjadi lambang kepada sebuah kejahatan? Sedangkan pakaian bewarna hitam adalah pakaian yang gah, menjadi lambang kepada sesebuah institusi kehakiman.

Berkata Imam al-Mawardi:

"...dan hendaklah dia (hakim) memakai pakaian yang telah menjadi adat kepada para hakim seperti kopiah, serban hitam dan baju panjang yang bewarna hitam." [3]

Melakukan kejahatan dengan bertemakan pakaian bewarna hitam apatah lagi dalam keadaan berjubah telah mendatangkan fitnah kepada agama.


KESIMPULAN:

Bertaubatlah bagi mereka yang menggunakan ilmu tersebut kerana kalian telah pun meminta kepada sesuatu selain dari Allah.




Sebagai orang awam, berhati-hatilah dalam kehidupan kita. Kerana pandangan boleh jatuh ke hati, boleh juga meyebabkan kita disakiti. Mintalah perlindungan Allah terhadap masalah ini dengan melazimi membaca ayat kursi, surah al-Ikhlas, al-falaq dan an-nas serta membaca doa perlindungan yang mathur dari nabi Sallahu 'alaihi Wasallam.


Allahu'alam.



RUJUKAN:


[1] Harun Din (Dato) (Dr) (2009), Menjawab Persoalan Makhluk Halus, Bangi: Darussyifa', hal.141- 147.

[2] Ansaruddin Agus (Prof) (Dato) (Dr), Zuryati Isa (2014), Soal Jawab Pak Engku Membongkar Misteri Alam Jin, Selangor: Hijjaz Records Publishing, hal. 83-88


[3] Abdul Karim Zaidan (Prof) (Dr) (2010), Sistem Kehakiman Islam, Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid, hal. 158

Khamis, 30 Julai 2015

Inhaler Membatalkan Puasa?

Soalan:

ape hukum ambik inhaler time puase??

Jawaban:

INHALER:

Alat yang digunakan oleh pesakit asma. Ia terdiri daripada cecair yang dimampatkan dalam tekanan gas yang tinggi. Pesakit asma ini akan meletakkan corongnya di kawasan mulut dan menolak punat yang terdapat diatasnya bagi memudahkan ubat berbentuk gas masuk ke dalam rongga pernafasan. Pada masa yang sama, dia tetap menarik nafas seperti biasa ketika menggunakan alat ini.[1]


HUKUM

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, ada yang berpendapat membatalkan puasa dan ada pula yng mengatakan sebaliknya iaitu tidak membatalkan puasa.

Antara ulama yang berpendapat membatalkan puasa ialah Dr. Fadl Hasan Abbas, Syaikh Muhammad al-Mukhtar Salami, Dr. Muhammad Alfai, Syaikh Muhammad Taqiuddin al-Uthmani dan Dr. Wahbah az-Zuhaili. Mereka menggunakan alasan bahawa bahan-bahan yang terdapat di dalam Inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut.[2] Keadaan ini dikecualikan pada waktu terdesak dan sangat diperlukan oleh pesakit sahaja.

Bagaimanapun, ada pendapat ulama yang menyatakan tidak batal penggunaan inhaler. Antara hujah mereka ialah[3]:

1. Perbuatan menggunakan inhaler itu tidak mempunyai sebarang unsur makan atau minum iaitu tidak membekalkan sebarang zat tenaga baru kepada badan.

2. Kias kepada hukum berkumur-kumur dan bersersugi. Harus berkumur-kumur walhal ada kuantiti kecil air tetap melepasi kerongkong. Begitu juga selepas bersugi akan ada kuantiti kecil unsurnya kekal melepasi kerongkong. 

Para doktor mengesahkan siwak [sugi] mengandungi lapan jenis bahan kimia yang berfungsi untuk membersihkan gigi dan kotoran yang menyebabkan sakit. Walhal, unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan masuk ke tekak. Dan Amir bin Rabiah pernah melihat Rasulullah Sallahu'alaihi Wasalam bersiwak secara kerap pada ketika baginda berpuasa.[4]


3. Ada kajian menyatakan serbuk inhaler ini sampai ke perut, ada juga kajian mengesahkan akan terserap habis pada bahagian pernafasan (setakat dada) sahaja. Jadi, sama ada ia sampai ke perut atau setakat di pernafasan masih menjadi perkara yang tidak pasti dan diragui. Dan perkara yang tidak pasti atau diragui tidak memberi kesan kepada perkara yang wujud secara yakin berdasarkan kaedah Fiqh:


اليقين لا يزال بالشك

Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.


DEFINISI BENDA

Pengarang Fiqh Manhaji berkata:

"Benda bermaksud sesuatu yang dapat dilihat..."[5]

Bersandarkan definisi benda diatas, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Hafizahullah telah berkata:

"...dapat difahami bahawa unsur yang dimasukkan ke dalam mulut adalah gas yang bersifat halus dan tidak jelas. Oleh itu, ia (penggunaan inhaler) tidak dihukum seperti benda yang membatalkan puasa.[6]

Dari sudut penggunaan inhaler, setiap inhaler mengandungi 10 ml cecair berubat. Kuantiti sebanyak ini akan mengeluarkan 200 semburan. Bermakna, setiap semburan akan keluar kurang dari 1 ml.[7]

Pendapat yang dipilih oleh ialah Shaikh Ahmad bin Muhammad al-Khalil ialah penggunaan inhaler TIDAK membatalkan puasa. Pendapat ini juga pendapat yang dipilih oleh Shaikh Abdul Aziz Bin Baz, Syaikh Muhammad bin Salih al-Uthaimeen, Syaikh Abdullah bin Jabrin, Dr. Siddiq ad-Darir dan TG Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Al-Ustaz Isu 04 hlm. 83

[2] Ahmad bin Muhammad al-Khalil (2007), Isu-Isu Perubatan Dan Hubungannya Dengan Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication. hlm. 10- 14

[3] Al-Ustaz Isu 04 hlm. 37

[4] Mohamad Abdul Kadir (2013), Biar Tahu Jangan Keliru, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hlm. 222-224

[5] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid II, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 151

[6] Zulkifli Mohamad al-Bakri (Dr) (2012), Q&A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Selangor: PSN Publication Sdn. Bhd. hlm. 132-133

[7] Mohamad Abdul Kadir (2013), Biar Tahu Jangan Keliru, Selangor: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. hlm. 222-224

Maksud Nabi

Soalan:

Apa beza Nabi dan Rasul ? Boleh tak terang dgn lebih jelas (tanpa ikut buku teks masa sekolah). Adakah seorang Nabi diberi wahyu oleh Allah dan mereka menyampaikan syariat Rasul terdahulu? Sedangkan Rasul mendapat syariat yg baru?
Jawaban: 
ﺍﻟﻨﺒﻲ إنساﻥ أﻭﺣﻲ إﻟﻴﻪ ﺑﺸﺮﻉ ﻭﺇﻥ ﻟﻢ يؤﻣﺮ ﺑﺘﺒﻠﻴﻐﻪ ﻓﺈﻥ أﻣﺮ ﺑﺘﺒﻠﻴﻐﻪ ﺳﻤﻲ ﺭﺳﻮﻟﺎ ﺍﻳﻀﺎ, ﻓﻜﻞ ﺭﺳﻮﻝ ﻧﺒﻲ ﻭﻟﻴﺲ ﻛﻞ ﻧﺒﻲ رسولا

Nabi adalah manusia yang dianugerahkan ajaran agama kepada mereka dalam bentuk wahyu, walaupun ia tidak diperintahkan untuk disampaikan kepada orang ramai. Sekiranya Nabi itu diperintahkan oleh Allah bagi menyampaikan wahyu kepada orang ramai, baginda dipanggil Rasul. Setiap Rasul adalah seorang Nabi, tetapi setiap Nabi bukan seorang Rasul

Allahu'alam

.مراجع:

ﺷﻴﺦ طاهر ﺑﻦ صلاح الجزائري(1986),ﺍﻟﺠﻮﺍﻫﺮ ﺍﻟﻜﻠﺎﻣﻴﺔ,ﺑﻴﺮﻭﺕ:ﺩﺍﺭ ﺍﺑﻦ حزم

Salam Datuk Sebelah Suami

Soalan:

Boleh ke seorang perempuan bersalaman dan menampakkan auratnya kepada datuk suaminya?
Terima kasih
 
Jawaban:

Ibu mentua dan keatas seperti ibu kepada ibu mentua, nenek kepada ibu mentua, moyang kepada ibu mentua dan seterusnya adalah mahram kepada si suami. Jika berlaku akad perkahwinan antara mereka maka batal pernikahan tersebut.[1]
Jika perempuan, maka sebaliknya. Maka si datuk kandung kepada suami merupakan mahram kepada isteri.

Jika bersalaman dengan mereka TIDAK membatalkan wuduk. [2]

Seperti mana aurat lelaki terhadap perempuan mahramnya adalah diantara pusat hingga lutut. Maka aurat perempuan terhadap lelaki mahramnya juga begitu yakni diantara pusat dan lutut. Walaupun begitu, jika ada kemungkinan berlaku fitnah jika mendedahkan anggota badannya yang lain dihadapan mahram lelaki hukumnya tetap HARAM.[3]

Boleh juga melihat video ini:

https://www.youtube.com/watch?v=qWG82clt9qw

Semoga Allah mengampuni dosa saya dan dosa kita semua.

Allahu'alam.

RUJUKAN:

[1] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2007), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid IV, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 41
[2] al-Ustaz Isu 8 hlm. 19
[3] Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid I, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 290- 291