AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Sabtu, 2 September 2017

HUKUM GUNA DUIT JUMPA

SOALAN:

Kalau duit yang kita jumpa dan kita ambil.... tetapi kita tidak tahu siapa punya...

'Standard' orang cakap jumpa letak dalam tabung masjid... Niatkan untuk si empunya duit...

Tetapi bila orang tu jumpa duit, dia ambil tetapi dia guna... Yang ni haram ke?


JAWABAN:

1. Dalam permasalahan ini, ia dipanggil dengan luqatah (لقطة). Luqatah membawa maksud, harta yang hilang dari yang empunyanya dengan sebab tercicir atau terlupa dan yang seumpamanya, dan terdapat di tempat yang tidak dimilikinya.

2. Menurut Abdul Ghani Yahya didalam Idaman Penuntut, Luqatah ini terdapat lima hukum[1]:

i. Sunat jika orang yang mengutip itu percayakan dirinya amanah.
ii. Harus jika orang yang mengutip itu percayakan dirinya amanah ketika itu, namun ragu-ragu keadaan dirinya pada masa mendatang jika dia bukan orang yang fasiq.
iii. Makruh jika orang fasiq yang mengutip itu percaya dirinya amanah ketika itu namun ragu-ragu keadaan dirinya pada masa mendatang.
iv. Haram jika dia tidak percayakan dirinya amanah.
v. Wajib jika dia percayakan dirinya pada masa itu amanah dan pada masa akan datang tidak ada orang amanah di tempat dia menjumpai duit tersebut.

3. Bagi individu yang ingin memiliki duit yang dijumpai, maka dia perlu mengumumkannya selama setahun di pintu-pintu masjid dan di tempat dia menemui duit itu. 

Berkata pengarang kitab Matan Abi Syuja', Imam Abu Syuja' Ahmad bin al-Husain (w.593H):

"Sekiranya dia ingin memilikinya, dia perlu mengumumkannya selama setahun di pintu-pintu masjid dan di tempat dia menemui barang itu. Sekiranya dia tidak menemui pemilik asalnya, dia boleh memilikinya dengan syarat bertanggung jawab keatasnya."[2]

Jika pemilik asal tidak datang dalam tempoh setahun, orang yang menjumpai duit tersebut boleh memilih sama ada mahu menyimpan duit tersebut atau menggunakan duit tersebut dengan niat mengganti semula duit tersebut jika pemilik asal datang menuntut duit tersebut.[3]

4. Namun jika nilaian duit tersebut tidak berapa berharga (anggaran nilai satu dirham) maka bolehlah dia memperkenalkan selama kira-kira si pemilik asal tidak memperdulikannya menurut anggapannya.[4] Ada ulama menyatakan jika nilaianya tidak besar, maka boleh mengiklankannya sehingga tiga hari.[5]

5. Jika menggunakan duit yang dijumpai tanpa keadaaan terdesak maka dia dikira memakan harta secara Haram. Menjadi kebimbangan amalan kita tidak diterima oleh Allah. Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya, dari Rasulullah Sallahu'alaihiwasalam,

"Sesiapa yang membeli baju seharga 10 dirham, dan dia dalam harga (10 dirham ini) ada satu dirham dari hasil haram, Allah tidak menerima solatnya selama pakaiannya itu ia kenakan."[6]

Maka benarlah kata pengarang kitab Muhimmah, Syaikh Abdullah bin Abdur Rahim Fathani dalam kitab Muhimmah bahawa Allah tidak menerima ibadah solat dari manusia yang mencuri.[7]

KESIMPULAN:

Duit yang dijumpai tidak boleh digunakan jika keadaan tidak mendesak. Jika kita seorang yang tidak amanah, maka hukumnya HARAM kita mengutip duit tersebut. Jika kita hendak menggunakan duit tersebut contohnya ingin letak di dalam tabung masjid, membayar tol, membeli barang keperluan dan sebagainya maka perlu di iklankan selama setahun. Cara mengiklankan boleh menyuruh AJK Masjid tolong mengumumkan sebelum melaksanakan solat Jumaat contohnya. Jika selepas menggunakan duit tersebut tuan duit datang menuntut duit tersebut maka kita perlu menggantikan semula nilaianya duit tersebut untuk diberikan semula kepada tuannya yang asal. 

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Abdul Ghani bin Yahya (2014), Idaman Penuntut, Kuala Lumpur: Syarikat Bajrai. 2/62
[2]Abu Syuja', Ahmad bin al-Husain (2014), Matan Abi Syuja', Selangor; PTS Islamika Sdn. Bhd. hal. 149
[3] Abdul Ghani bin Yahya (2014), Idaman Penuntut, Kuala Lumpur: Syarikat Bajrai. 2/62
[4] Abdul Hamid Hakim (2013), Al-Mu'in al-Mubin, Selangor: Al-Hidayah Publication. 3 &4/535
[5] Mohammad Nidzam Abdul Kadir (2007), Remeh Temeh Tentang Muamalat, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 152
[6] Adz-Dzahabi, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad (2014), Al-Kabaair, Kuala Lumpur; Erfan Hj M. A Ghani. hal. 223
[7] Abdullah bin Abdur Rahim (2012), Muhimmah, Selangor; Hijjaz Records Publishing. hal. 30

BERNIKAH DENGAN LELAKI YANG SEDANG BERTUNANG

SOALAN:

boleh tak perempuan menikah dengan seorang lelaki yang sedang bertunang dengan perempuan lain ?

JAWABAN:

Pertama, adalah dibenarkan perempuan meminang lelaki.
Tiada nas yang melarang demikian. Namun, pembayaran mahar adalah tetap wajib atas lelaki bukan pada perempuan. Begitu juga kalau diadakan majlis, pihak lelaki yang perlu masuk meminang perempuan.[1]

Maksudnya, perempuan boleh menyatakan hasrat hatinya terus kepada lelaki idamannya. Bahkan al-Imam al-Bukhari rhm. meletakkan hadis yang berkaitan pada "Bab wanita menawarkan dirinya sendiri kepada lelaki yang soleh."[2]

Kedua, 
Walaupun lelaki sudah bertunang, dia tetap boleh meminang perempuan lain. Ulama banyak menyamakan pembelian dengan pernikahan.

Kalau kita tempah kereta? Boleh tidak kita menempah kereta lain?
Pasti boleh bukan? Begitulah dalam hal ini yang diterangkan oleh guru kami Ustaz Abu Naufal Bashasunnahar bin Puasa.

Pinangan atas pinangan yang diharamkan adalah lelaki meminang perempuan yang sah telah dipinang. Adapun jika pinangan itu belum diterima atau telah ditolak maka tidak haram meminangnya.[3]

BAGAIMANA PULA JIKA SUAMI BERPOLIGAMI KEMUDIAN BERTUNANG PULA DENGAN PEREMPUAN YANG LAIN?

Saya sempat bertanya kepada guru kami, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Hafizahullah berkaitan berkahwin empat tetapi tambah lagi bertunang seorang, maka jawab guru kami:

"Bertunang tu masih lagi belum macam kahwin, cuma perbuatan tu salah-lah sebab dia macam ada niat nak cerai isteri dia salah seorang tu, jadi tak sayugialah, janganlah.

Dia tak lagi menyalahi sebab tunang ni dia tidak diiktiraf lagi sebagai isteri, yang tak (bo)leh nya nas kata kahwin, tetapi cara tu tak betul-lah." 

Allahu'alam.


RUJUKAN:


[2] Al-Jarumi, Mohammad Nidzam Abdul Kadir (2012), Bolehkah Bercouple, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm.24

[3] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2007), Manhaj Fiqh al-Shafi'i, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. 4/99


Ahad, 27 Ogos 2017

Memotong Kuku Ketika Haid

Soalan:

Boleh ke potong kuku dalam keadaan haid?

Jawaban:

Ulama seperti Imam Khatib al-Syarbini (w. 977H) dalam Mughni Muhtaj, Imam Ghazzali (w. 505H) dalam Ihya' Ulumiddin dan lain-lain menyebut tentang larangan ini.[1] Namun larangan ini dihukumkan dengan hukum makruh.[2]

Mereka melarang orang yang sedang berjunub memotong kuku, rambut atau bulu-bulu yang terdapat di tubuh mereka disebabkan khuatir anggota-anggota tersebut akan dibangkitkan diakhirat kelak dalam keadaan berjunub. Ada juga pendapat mengatakan kerana setiap bulu tadi akan menuntut daripada tuannya kerana ia masih belum suci.

Namun pandangan ini boleh ditolak kerana, kaedah fiqh menyebutkan:

"Setiap perkara adalah HARUS selagi tiada dalil yang melarang atau menegahnya."

Nabi dalam Hadith juga pernah berpesan kepada wanita yang uzur agar menyikat atau meramas-ramas rambut mereka ketika mandi wajib. Sedangkan kita tahu perbuatan tersebut boleh menyebabkan rambut-rambut berguguran sebelum mandi wajib selesai.

Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Khasim berpesan:

"Sesiapa sahaja yang berbuat demikian sama ada lelaki atau wanita tidak perlu menyimpan bahagian anggota yang dipotong itu untuk dimandikan bersama mereka ketika mandi wajib.


Menurut Syaikh 'Athiyyah Saqr rahimahullah (w. 1427H) didalam Ahsanul Kalam, Nabi Sallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:


أَلْقِ عَنْكَ شِعْرَ الكُفْرِ وَاخْتَتِن

"Buanglah daripadamu rambut kekufuran (penampilan orang kafir) dan berkhatanlah."

Jelas disebutkan di dalam hadith Riwayat Abu Daud ini, Nabi berpesan pada sahabat yang baru memeluk agama Islam agar membuang segala bulu yang tumbuh di tubuh mereka sebelum Islam. Kalau benar terdapat larangan memotong kuku, rambut dan sebagainya mesti baginda Nabi SAW akan melarang para sahabat dari membuang bulu-bulu di tubuh mereka sebelum Islam.[3]

Ulama menolak pandangan yang mengatakan terdapat larangan memotong kuku, rambut dan sebagainya bagi orang yang haid, namun terdapat larangan makruh bagi mereka memotong kuku, rambut dan sebagainya apabila masuk 1 zulhijjah sehingga selesai membuat korbannya.[4]

Adapun, perkara yang diharamkan oleh kerana haidh ialah[5]:

1. Solat
2. Membaca, menyentuh dan menanggung al-Quran.
3. Berhenti didalam masjid
4. Lalu didalam masjid jika dikhuatiri mencemarkan masjid.
5. Tawaf
6. Puasa
7. Persetubuhan, bercumbuan dan menggauli isteri diantara pusat hingga ke lututnya.

Allahu'alam.




RUJUKAN

[1] al-Ustaz Isu 06, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sd. Bhd. hlm. 33

[2] ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/memotong-rambut-dan-kuku-ketika.html?m=1

[3] al-Ustaz Isu Perdana, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm. 8

[4] https://www.youtube.com/watch?v=SKg9sVYtHYY&feature=youtube_gdata_player

[5] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), Ali al-Syurbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Shafi'i Jilid 1, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri. hlm. 180- 186

Isnin, 17 April 2017

TIPU SUNAT

SOALAN:


Wujud ka istilah 'tipu sunat'?


JAWABAN:

Terima kasih. Soalan yang sangat baik.

Ummu Kulthum r.anha [dalam lafaz Melayu menyebutkan Ummi Kalsum] berkata; “Aku tidak mendengar Nabi s.a.w. memberi sebarang kelonggaran (untuk berbohong/berdusta) dalam percakapan manusia kecuali dalam tiga keadaan;

1) Ketika peperangan
2) Untuk mendamaikan di antara manusia
3) Percakapan seorang lelaki dengan isterinya dan percakapan seorang perempuan dengan suaminya

(HR Imam Muslim; lihat al-Azkar pada Kitab Hifzul Lisan)

TIDAK ada hukum tipu sunat. Yang ada tipu harus. Tipu adalah harus digunakan ketika dalam keadaan berhajat sahaja. Hajat yang baik.

Contoh hajat yang tidak baik ialah "butang baju aku mana pah. Aku nak gi kenduri Pak Jamal."
Padahal dia yang nak nikah.

Contoh 'tipu' yang harus: "Sedap kan ayang masuk Mee Tiaw ni?"
"Ah ah Isteri abang Intan Payung Berlian Emas Habib Jewel ni memang pandai masak", padahal rasanya macam sky juice. Nak menjaga hati, perhubungan maka silakan.

Allahu'alam.

RUJUKAN

1. Imam Yahya bin Syaraf an-Nawawi (1999), Al-Azkar, Kaherah: Darul Manar hlm. 293

2. ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/bohong-sunat.html?m=1 

Ahad, 9 April 2017

SUNNAH MAKAN AISKRIM?

Soalan:

Makan aiskrim adalah sunnah Nabi Muhammad SAW
Betul ke?

JAWABAN:

Sebuah hadith yang menceritakan perihal minuman yang disukai oleh Nabi Sallahu'alaihiwasalam
َ
كان أحب الشراب إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الحلو البارد

"Minuman yang paling disukai oleh Rasulullah Sallahu' alaihiwasalam adalah minuman yang manis dan sejuk."

Hadis ini boleh dirujuk di dalam Syamail Muhammadiyyah pada nombor 198, disusun sebagai hadis pertama dalam bab 31; Bab Sifat Minuman Rasulullah (Abu Isa at-Tirmidzi, Muhammad bin Isa (2012), Syamail Muhammadiyyah, Beirut: Syarikat Abna Syarif al-Ansori, hal. 84)

Didalam hadis tersebut, digunakan kalimah الْبَارِد al-Baarid bagi membawa maksud sejuk, namun sejuk tersebut berada pada tahap biasa tanpa ais. Justeru, aiskrim bukanlah makanan sunnah seperti yang didakwa didalam soalan. Demikian apa yang telah kami belajar bersama guru kami Ustaz Adlan Abdul Aziz hafizahullah. 

Guru kami Dr Abdul Basith Abdul Rahman juga menolak dakwaan bahawa aiskrim merupakan sunnah Nabi sallahu 'alaihi wasalam. (lihat hal. 100 al-Ustaz Isu 22).

Allahu'alam

HUKUM TERBUNUH PEROMPAK

SOALAN:

Di Terengganu, Zulkifli tinggal di sebuah kampung bernama Labuhan di daerah Kerteh dilaporkan telah menikam mati seorang perompak yang merompak rumahnya sendiri untuk mempertahankan diri dan melindungi keluarganya. Patutkah beliau digantung sedangkan beliau mempertahankan keluarga beliau?

JAWABAN:

1. Definisi perompak atau penyamun ni berbeza dengan pencuri. Pencuri hanya mencuri dalam sunyi manakala perompak pula menggunakan kekerasan dan senjata.

2. Tiada masalah bagi mereka mempertahankan nyawa mereka apabila diserang walaupun ketika itu akan mencederakan pihak yang menyerang atas alasan mempertahan atau membela diri. 

Berkata pengarang kitab Matan Abi Syujak:

"Orang yang dianiaya sama ada dirinya, hartanya atau maruahnya. Kemudian, dia melawan bagi mempertahankan diri, harta, dan keluarganya lalu membunuhnya, dia tidak dipersalahkan dengan pembunuhan itu."

3. Namun dalam hadis riwayat yang lain berlaku kontradik ketika memahami teks hadis, seoalah-olah menyatakan larangan mempertahankan diri. Hadis Nabi Sallahu'alaihiwasalam yang bermaksud:

"Bersembunyilah di dalam rumahmu. Jika seseorang memasukinya, maka katakanlah: ambilah dosaku. Jadilah hamba Allah yang dibunuh, bukan yang terbunuh."

(HR Al-Hakim, Mustadrak)

Hadis ini, ditujukan untuk orang yang berada pada masa fitnah (ujian), perang saudara, perebutan kekuasaan antara dua orang pemerintah yang berhak. Ketika itu, seseorang tidak dapat mengetahui pihak mana yang benar atau salah. Maka hendaklah dia tidak membunuh dan lebih rela menjadi orang terbunuh. (Lihat Takwil Hadis karangan Ustaz Umar Muhammad Noor).

KESIMPULAN:

Seseorang tidak akan digantung kerana telah menikam mati perompak yang merompak rumahnya sendiri kerana mempertahankan diri. Ini adalah kerana dia tidak dipersalahkan atas pembunuhan itu.

Allahu'alam.


RUJUKAN:

Paizah Haji Ismail (2008), Undang-Undang Jenayah Islam, Selangor: Tradisi Ilmu Sdn. Bhd. hal 208.

Id. at 229.

Abu Syuja', Ahmad bin Hussain (2014), Matan Abi Syuja', Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd. hal. 212

Umar Muhammad Noor (2011), Takwil Hadis, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. Hal. 138

Ahad, 2 April 2017

KESUKARAN 'ILLAH KEPADA JAMAK QASAR?

SOALAN:

"Kalau jamak mesti lebih 90 km kan?
Kalau naik flight macam mana pula?
Flight kan laju, tak sama dengan kereta?"

Assalamu'alaikum. Mohon penjelasan soalan diatas.

JAWABAN:

Wa'alaikumussalam. Terima kasih bertanya.

1.  Jarak yang dibenarkan untuk mengqasarkan solat ialah 2 marhalah. Namun, berlaku perbezaan jarak kiraan kilometer untuk melakukan solat secara qasar. Umumnya, jarak 2 marhalah jika mengikut ukuran zaman moden adalah antara 85-90 kilometer.[1]

2. Tentang permasalahan saudara, menaiki kapal terbang atau kereta, susah atau senang, cepat atau laju bukan menjadi kayu ukurnya. 'Illah tentang permasalahan ini adalah disebabkan jarak. Illah adalah sifat atau keadaan zahir nyata serta tepat yang dapat mengetahui sesuatu hukum syarak. Sesetengah ulama berpandangan illah ialah suatu sifat yang lahir atas dasar untuk menetapkan hukum serta sesuai dengan sesuatu hukum.[2]

3. Sesuai dengan takrifan inilah maka 'illah dalam masalah ini dapat difahami bahawa jarak perjalanan merupakan satu dasar untuk menetapkan hukum dalam solat secara qasar. 

KESIMPULAN

Majoriti ulama bersetuju bahawa ''jarak'' perjalanan tertentu atau kadar 2 marhalah paling sesuai dianggap sebagai 'illah bagi menentukan perjalanan itu musafir ataupun tidak. [3]

Kesukaran ketika bermusafir umpamanya ketika membawa kereta, sehingga menyebabkan penat, mengantuk dan lambat sampai berbanding menaiki kapal terbang di udara yang laju dan cepat sampai ke destinasi BUKAN suatu illah bagi menentukan masalah musafir atau tidak.

ALLAHU'ALAM.



RUJUKAN:

[1] Muhadir Haji Joll (2015), Syarah Safinatun Naja, Selangor: Galeri Ilmu Sdn. Bhd. hal. 246

[2] Abdul Latif bin Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin (2001), Perbahasan Usul al-Ahkam, Selangor: Pustaka Salam Sdn. Bhd. hal 81

[3] Zaharuddin Abdul Rahman (Dr) (2010), Riba Dan Isu Kewangan Islam, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. hal. 42