AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 16 November 2014

Usia Aisyah Ketika Berkahwin dengan Nabi

Soalan:

Ketika umur berapa ya Rasulullah menikahi Siti Aisyah?

Jawaban:

Umur Aisyah r.anha ketika menikahi Rasulullah S.A.W ialah pada usia enam tahun dan tinggal serumah dengan Nabi pada usia sembilan tahun.

Daripada Aisyah:

"Rasulullah menikahiku ketika aku berusia enam tahun. Dan Baginda tinggal bersamaku apabila aku berusia sembilan tahun."

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saya meminjam tulisan Ustaz Umar Muhammad Nor berkaitan status hadith ini[1]:

1. Hadis ini terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

2. Hadis ini direkodkan oleh Hisyam bin Urwah daripada ayahnya (Urwah bin al-Zubair) daripada Aisyah.

3. Sanad  ini sangat sahih dengan rangkaian para perawi yang thiqah (dipercayai)

4. Hadith ini diriwayatkan oleh Hisyam bin Urwah sebelum hafalan Hisyam didapati lemah apabila berkunjung ke Baghdad.

Manakala umur baginda Rasulullah S.A.W ketika mengahiwini Aisyah r.anha pada umur 51 tahun. Rasulullah S.A.W melangsungkan akad nikah dengan Aisyah r.anha pada tahun kedua sebelum Hijrah. Namun baginda menggaulinya sesudah dua tahun selepas hijrah.[2]

Tokoh terawal yang meragui status usia perkahwinan Aisyah r.anha antaranya ialah Abbas Mahmud Aqqad dari Mesir dalam bukunya al-Siddiqah bint al-Siddiq namun dibantah oleh Ahmad Syakir dalam Kalimat al-Haq. Manakala tokoh kontemporari yang meragui status usia Aisyah r.anha ialah Habibur Rahman Kandhalawi dalam pembentangan kertas kerjanya.

Pandangan beliau juga boleh dipertikaikan kerana ada riwayat yang menjelaskan sifat keanak-anakan Aisyah r.anha di antaranya sifat Aisyah r.anha yang masih bermain patung[3]:

Mafhum hadith:

"Aku biasa bermain-main dengan anak-anak perempuan (boneka perempuan) disisi Rasulullah S.A.W dan kawan-kawanku datang kepadaku kemudian mereka menyembunyikan boneka-boneka tersebut kerana takut kepada Rasulullah S.A.W, tetapi Rasulullah S.A.W sebenarnya suka dengan kedatangan kawan-kawanku itu, kemudian mereka bermain-main bersama aku."

(Muttafaq 'alaih)

Kita tidak boleh mengatakan Rasulullah itu mempunyai penyakit pedophilia kerana baginda berkahwin dengan Aisyah r.anha yang berumur sangat muda. Kita tidak boleh mengukur umur perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W dengan Aishah r.anha yang berumur sembilan tahun dengan zaman sekarang tetapi harus disesuaikan dengan budaya zaman itu. Bahkan mengikut sejarah, sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad, Aisyah r.anha sudah pun bertunang dengan Jober Ibn al-Moteam Ibn Ubai. Ini menunjukkan bahawa amalan tersebut tidak bercanggah dengan amaln pada masa tersebut.[4]

Sebagai nota tambahan, menurut mazhab yang empat, Islam tidak menetapkan had bilangan umur untuk bernikah.[5] Namun kalau dilihat didalam seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 memperuntukkan[6]:

"Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu."

Peruntukan ini memperuntukkan had umur untuk berkahwin menurut mahkamah syariah bagi menyelidiki status perempuan tersebut seperti latar belakang, fizikal, kemampuan berumah tangga bagi menjaga kepentingan perempuan tersebut.

Menurut Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin selaku pengamal undang-undang:

"Peruntukan ini adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan masyarakat agar tidak ada sesuatu perkahwinan yang dibuat kerana paksaan atau kerana hutang atau tujuan  yang memudharatkan mengikut pandangan syarak ataupun wali iaitu bapa dan datuk berniat jahat sehingga memaksa terjadinya perkahwinan tersebut."[7]

RUJUKAN:

[1] (2014) Al-Ustaz Isu 20, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 76
[2] (2014) Al-Ustaz Isu 22, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd. hlm. 17
[3] Afiqme Mohamad (2013), Barakah Kahwin Muda, Kuala Lumpur: Pustaka Azhar hlm. 44 dan 45
[4] Faisal Abdurrahman (2012), Tuhan Untuk Semua, Kuala Lumpur: PTS Islamika Sdn. Bhd. hlm. 89
[5] http://www.islam.gov.my/e-hadith/perkahwinan-rasulullah-saw-dengan-aisyah-ra
[6] Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 Dan Kaedah-Kaedah & Islamic Family Law (State Of Selangor) Enactment 2003 And Rules (Hingga 1hb April 2011), Selangor Darul Ehsan: International Law Book Services hlm. 91
[7] Muhamad bin Abdullah (2010), Panduan Keluarga Bahagia, Selangor Darul Ehsan: Majlis Agama Islam Selangor hlm. 26

Jumaat, 14 November 2014

Sekalikan Niat Mandi Wajib dan Wuduk

Soalan:

Nak tanya, boleh ke sekalikan niat wuduk hadas kecil dengan wuduk biasa?


Jawaban:


Baik, saya kira saudara terkeliru dengan hadas kecil, hadas pertengahan dan hadas besar. Saya perjelaskan dahulu apa beza hadas kecil dengan hadas besar[1]:

1. Hadas kecil

Apabila batalnya wuduk, maka seseorang itu akan berhadas kecil.

2. Hadas pertengahan

Apabila seseorang itu berjunub dengan cara bersetubuh dengan isteri (sekalipun tidak keluar mani) atau mengeluarkan mani dengan sengaja atau tidak sengaja.

3. Hadas besar

Apabila seseorang itu didatangi haidh atau nifas.


TERANGKATKAH WUDUK DENGAN MANDI WAJIB?

Jadi saya simpulkan soalan sebenar saudara ialah:

"Nak tanya, boleh ke sekalikan niat mandi wajib dengan wuduk biasa?"


Berkenaan dengan permasalahan saudara, saya nukilkan pandangan Ustaz Muhammad Raji Musa[2]:

"Ya, hadas kecil boleh terangkat sekali apabila kita berniat mengangkat hadas besar. Ini merupakan pandangan yang kuat dalam mazhab Shafii.

Justeru, sekiranya seseorang melakukan mandi wajib, maka ia tidak lagi wajib berwuduk setelahnya. 

Sama ada niat mandi wajib itu dihimpunkan dengan niat wuduk ataupun tidak. 

Sama ada dia membasuh anggota wuduknya secara tertib ataupun tidak.

Sekiranya dia berhadas (Ustaz maksudkan hadas kecil iaitu perkara yang yang membatalkan wuduk-penulis) ketika mandi wajib dan selepas membasuh semua anggota wuduk, maka mandi wajibnya sah. Namun wajib ke atasnya berwuduk sekiranya ingin bersolat.

Perkara yang membatalkan wuduk itu misalnya menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, terkentut ataupun keluar air kencing."


RUJUKAN:

[1] Ahmad Adnan Fadzil (2012), 30 Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 21
[2] (2011), Al-Ustaz Isu 23, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 35

Isnin, 27 Oktober 2014

Mani dan Haidh

Soalan:

Nak tanya boleh. Betul tak?


Jawaban:

Ya. InsyaAllah, betul.

1. MANI

Wuduk terbatal sebab keluar sesuatu daripada qubul dan dubur (dua jalan) iaitu air kencing dan berak.[1] Ini berdalilkan surah an-Nisa' ayat 43 (4:43). Didalam  kitab Fiqh Manhaji, pengarang menambah perkara yang menyebabkan terbatal disebabkan keluar sesuatu daripada qubul dan dubur iaitu darah, dan kentut sekalipun yang keluar itu suci.[2]

Guru saya: Ustaz Aizol Ismon -Semoga Allah melindunginya- mensyarahkan perkara ini, termasuklah guli dan cacing walaupun cacing tersebut hanya keluar sekejap selepas itu masuk semula didalam punggung, tetap membatalkan wuduk.[3] Adapun dengan sebab keluarnya air mani tidak akan membatalkan wuduk namun hanya sekadar diwajibkan mandi hadas.[4]

Mengeluarkan mani sama ada dengan sengaja atau tidak adalah hadas مُتَوَسِّطَة mutawassitah (pertengahan).[5] Air mani adalah cairan tubuh yang keluar dari zakar lelaki hasil daripada nafsu syahwat dan dikeluarkan oleh kelenjar seksual manakala proses persenyawaannya disebut pancutan.[6]

Sehubungan dengan itu, orang yang berhadas dengan hadas mutawassitah adalah di HARAMkan untuk berhenti atau menetap didalam masjid. Adapun sekadar melalui atau melintas dari pintu ke pintu masjid contohnya, maka tidak mengapa dan hukumnya harus.[7] Ini adalah kerana ia tidak berhenti dan menetap didalam masjid. Begitu juga dengan puasa, puasa tidak termasuk dalam larangan ini bagi orang yang mengeluarkan mani dengan TIDAK SENGAJA.[8]


Hukum air mani adalah suci tetapi air mani tidak menyucikan.[9] Air mani tidak termasuk dalam kategori najis. Jika terdapat air mani yang keluar, hanya perlu mandi wajib sahaja. Seperti kata pengarang kitab Muin al-Mubin;

"...Maka jika dijadikannya mani hendaklah ia mandi, tetapi kalau bukan, cukuplah dengan berwudhu' dan membasuh setakat mana yang mengenainya sahaja."[10]


2. HAIDH

Haidh adalah darah kotor yang keluar dari rahim perempuan yang bukan darah penyakit.[11] Datang haidh atau nifas adalah dinamakan sebagai hadas أكبر akbar (besar).[12] Darah adalah najis termasuklah darah binatang.[13] dan perlu difahami bahawa:

1. Bukan darah orang yang mati, kerana darah orang yang mati syahid adalah suci.
2. Bukan darah dari hidupan didalam air
3. Darah tersebut banyak dan mengalir.

Bahkan, darah haidh adalah najis, menurut kesepakatan ulama. [14]

Jika keluar haidh, maka terbatal wuduk. Ini adalah kerana wuduk terbatal jika keluar darah daripada qubul dan dubur.[15]

Diantara pengharaman bagi perempuan yang haidh ialah berhenti didalam masjid.[16] Bahkan jumhur ulama' mazhab mengatakan HARAM bagi mereka yang haidh duduk di dalam masjid.[17] Berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari:

 عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ
 أَمَرَنَا نَبِيُّنَا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَنْ نُخْرِجَ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ 

وَعَنْ أَيُّوبَ عَنْ حَفْصَةََ بِنَحْوِهِ وَزَادَ فِي حَدِيثِ حَفْصَةََ قَالَ أَوْ قَالَتْ

 الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الخُدُورِ وَيَعْتَزِلْنَ الْحُيَّضُ المُصَلَّى

"Daripada Ummu Atiyyah telah berkata:

Nabi kamu S.A.W memerintahkan kami supaya mengeluarkan wanita-wanita dan anak-anak gadis (pada hari raya).

Dan daripada Ayyub daripada Hafsah dengan lafaz yang serupa dan dia menambah dalam riwayatnya, dia (Ayyub) atau Hafsah berkata:

wanita-wanita dan anak-anak gadis, dan mereka yang didatangi haid hendaklah mengasingkan diri dari tempat solat."


Begitu juga HARAM melintasi masjid sekiranya dibimbangi akan mencemarkan masjid.[18] Sekiranya kebimbangan itu tiada, maka tiada masalah untuk melintasi didalam masjid.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] 'Abdul Hamid Hakim (2013), Muin al-Mubin Buku I,  Selangor: al-Hidayah Publication hlm.40
[2] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie jilid I, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm. 138 dan 139
[3] Ustaz Aizol Ismon: Pensyarah Fiqh Ibadah di KUIM menggunakan kitab Manhaj Fiqh al-Syafie @Fiqh Manhaji Jilid I.
[4] Ismail Kamus (Dato), Mohd Azrul Azlen Abdul Hamid (2009), Indahnya Hidup Bersyariat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 81
[5] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 21
[6] Ismail Tambi (Dr)(2008), Terapi Perkahwinan, Selangor: Buku Prima Sdn. Bhd hlm. 12
[7] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 23
[8] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid II, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm. 155
[10] 'Abdul Hamid Hakim (2013), Muin al-Mubin Buku I,  Selangor: al-Hidayah Publication hlm.47
[11] Ismail Kamus (Dato), Mohd Azrul Azlen Abdul Hamid (2009), Indahnya Hidup Bersyariat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. hlm. 67
[12] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 21
[13] Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohamad Wahid Abdul Hanif (2011), Ensiklopedia Solat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd, hlm.283
[14] Muhadir Haji Joll (2014), Khilafiah: Persoalan & Penjelasan, Kuala Lumpur: Inteam Publishing hlm. 282
[15] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie jilid I, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm.138
[16] Mustafa al-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), 'Ali al-Syarbaji (2011), Manhaj Fiqh al-Syafie jilid I, Negeri Sembilan: Majlis Fatwa Negeri Sembilan hlm. 180 
[17] Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohamad Wahid Abdul Hanif (2011), Ensiklopedia Solat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd, hlm. 87
[18] Adnan Fadzil (2012), 30 Hadis Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W, Selangor: Telaga Biru Sdn Bhd hlm 23

Jumaat, 10 Oktober 2014

Gelang untuk pakaian lelaki

Soalan:

Nak tanya. Gelang ni haram ke untuk lelaki?

Jawaban:

Memakai gelang adalah perhiasan orang perempuan. Ini dijelaskan oleh pengarang kitab Fiqh Manhaji.

Menurut pengarang lagi:

"Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah HARAM."[1]

Bagaimana pula jika ia merupakan gelang kesihatan?

Boleh jika:

i) Bertujuan perubatan
ii) Tidak niat berhias
ii) Tidak menyerupai gelang perhiasan

"Jika gelang yang kebiasaan dipakai orang ramai, hukumnya adalah HARAM kerana bentuknya adalah jelas sebagai satu perhiasan."[2]

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Mustafa al-Khin (Dr.), Mustafa al-Bugha (Dr.), 'Ali al-Syarbaji (2011),  Manhaj Fiqh 'ala Mazhab Imam al-Syafi'i Jilid III, Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Negeri Sembilan hlm. 355 dan 356
[2] Ustaz Azhar Idrus (2011), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa, Selangor: PTS Islamika Sdn. Bhd hlm. 145

Khamis, 2 Oktober 2014

Hudud

Soalan:

Tiap kali bincang hukum Allah.. Orang kata kita ni PAS.. Ni bukan hukum PAS yang reka.. Rasa Akh pun jelas tentang isu ini.

Jawaban:

New York merupakan kota sebesar 305 batu persegi.[1] Namun, tahukah anda, 24 jam jenayah di New York adalah bersamaan 10 tahun jenayah yang berlaku di  Arab Saudi?[2] Mengapa ini boleh terjadi?

Amerika adalah negara yang termaju. Tetapi adakah anda tahu bahawa laporan FBI telah dibuat berkaitan kes jenayah rogol. Menurut laporan FBI pada tahun 1990, terdapat 102 555 kes rogol yang telah dilaporkan. Hanya 16% daripada kes rogol yang telah dilaporkan.[3] Mungkin ada yang mengatakan, "oh itu negara barat, Malaysia lain!" Menjawab soalan baik ini, saya ambil statistik kes rogol yang didaftarkan yang mempunyai kedudukan yang tertinggi berbanding negeri-negeri yang lain iaitu di negeri Selangor[4]:

Tahun 2000- 216 kes
Tahun 2001- 269 kes
Tahun 2002- 253 kes
Tahun 2003- 280 kes
Tahun 2004- 294 kes
Tahun 2005- 368 kes
Tahun 2006- 421 kes
Tahun 2007- 302 kes


Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan? Ya, ini hanya statistik kes yang telah dilaporkan. Saya tanya semula, bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan? Ini semua contoh jenayah yang berlaku. Persoalannya, apa penyelesaiannya?


HUDUD

Apabila ada orang Islam yang hendak memperjuangkan  hukum Allah, maka ada juga yang menentang. Itulah sunnatullah perjuangan. Boleh lihat didalam surah al-Anfal pada ayat yang ke 30. Namun yang lebih menyedihkan, perjuangan hendak melaksanakan hukum tersebut ditentang oleh orang Islam sendiri. Umpama  kapak yang mengapak pokok kayu untuk dibuat hulu kapak. Sadis.


Baik, kita pergi kepada tafsiran hudud. Hudud (حدود)atau kata mufrad (kata nama yang menunjukkan tunggal) nya 'Had' (حد) bererti pencegahan. Para fuqaha mendefinisikan hudud sebagai keseksaan yang bentuknya telah ditetapkan oleh syarak dan dilaksanakan bagi tujuan mencapai hak Allah. Dato Ismail Kamus menjelaskan takrifan hudud sebagai hukuman syarak yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak Allah seperti memotong tangan si pencuri, rejam ke atas penzina dengan syarat-syarat yang tertentu menurut al-Quran dan al-Sunah.[5]

Daripada istilah hudud ini, dapat difahami bahawa hudud memiliki dua ciri penting[6]:

i) Keseksaan yang berbentuk rigid, tidak berubah dan tidak boleh diubah oleh Hakim atau pemerintah.

ii) Tujuan menjamin hak-hak Allah.

Sesuai dengan tafsiran  undang-undang syariah itu sendiri, undang-undang syariah adalah undang-undang yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang tidak berubah mengikut masa dan keadaan. Ia lengkap dan menjadi panduan kepada manusia.[7]

Saya teringat di dalam kuliah pertama guru saya: Ustaz Zulqarnain Zainuddin -Semoga Allah merahmatinya-. Beliau mengajar subjek Undang-Undang Pentadbiran Orang Islam. Didalam kuliah tersebut, beliau berpesan supaya talifon bimbit kami TIDAK dimatikan dan TIDAK perlu dibuat didalam 'mode' senyap. Saya dan rakan berpandangan sesama sendiri, keliru.

Alasan beliau supaya jikalau ada panggilan kecemasan, kami dapat menjawab panggilan tersebut berbanding jika talifon bimbit dibuat secara 'mode' senyap. Pertemuan akhir ketika didalam kuliah pertama bersama beliau, beliau telah menyatakan rasional disebalik larangan membuat talifon bimbit BUKAN didalam 'mode' senyap. Perbuatan kami sebenarnya bertujuan memudahkan dirinya sendiri. Apabila talifon bimbit dibuat TIDAK secara 'mode' senyap tahulah bahawa kami sedang bermain talifon didalam kelasnya. Ya. Peraturan manusia yang dibuat manusia nampak macam memudahkan orang lain tetapi sebenarnya memudahkan dirinya sendiri.

Hudud adalah hak Allah. Kalian boleh rujuk sendiri didalam al-Quran, apabila Allah berfirman mengenai hudud, Allah akan idhafat (dua kata nama yang digabungkan) kalimah hudud kepada Allah. Menurut enjin carian Quran.com, ada beberapa ayat yang menyebut perkataan hudud.[8] Kesemua kalimah hudud tersebut Allah idhafatkan kepada Allah. Misalnya surah al-Baqarah 2:187, surah al-Baqarah 2:229, surah al-Baqarah 2:230, surah an-Nisa' 4:13, surah al-Mujadilah 58:4 dan surah al-Talaq 65:1.


KESALAHAN HUDUD

Ada tujuh kesalahan hudud[9]:

1) Zina
2) Qazaf
3) Meminum arak
4) Mencuri
5) Menyamun
6) Memberontak
7) Murtad


Kesimpulannya, laksanakanlah hudud kerana hudud adalah milik Allah bukannya milik seorang insan. Berusahalah untuk membantu agar hudud dapat dilaksanakan. Hudud bukan milik satu-satu parti, bukan milik mana-mana individiu tetapi hudud adalah milik Allah. Tidak usah bertelingkah sama ada hudud dapat dan sesuai dilaksanakan di Negara ini atau tidak, namun berbincanglah agar bagaimana cara hudud dapat diaplikasikan didalam perundangan Negara. Kadangkala kita terlalu asyik hendak memperjuangkan hukum syariah namun kita terlupa menerangkan aplikasi hukum syariah itu sendiri dalam kehidupan seharian. Kalian ingat mudah kah untuk hukuman hudud dijatuhkan? Perlu dilihat nilai curian misalinya, sangkaan, dan lain-lain. Banyak perkara yang perlu dilihat sebelum hukuman hudud dijatuhkan. Tetapi manusia tak faham, manusia bermusuh kepada apa yang dia tidak tahu.

Soalan yang perlu kepada penelitian:

1) Adakah cukup sebagai seorang Islam hanya memperjuangkan hukum hudud?
2) Adakah hukuman hudud dikenakan keatas orang Islam sahaja? Bagaimana dengan bukan Islam?
3) Jika pelaku kesalahan hudud bertaubat adakah gugur hukuman hudud ke atas dirinya?
4) Tanggungjawab siapakah hukuman ini? rakyat atau pemerintah?
5) Bolehkah hukuman hudud ini ditangguhkan jika telah sabit kesalahan yang dilakukan?
6) Apakah dia hukuman hudud yang dikenakan ke atas kesalahan hudud?
7) Benarkah hukuman hudud ini adalah hukuman yang keras? Ataupun ia hanya sekadar dakwaan semata-mata?

Jadi soalan-soalan seperti ini yang perlu kita bincangkan. Persoalan sama ada hudud ini sesuai  atau tidak tidak perlu dibincangkan. Hudud datang dari Allah. Tidak perlu lagi dipertikai.

Jawaban yang dapat diberi secara ringkas:

1) Adakah cukup sebagai seorang Islam hanya memperjuangkan hukum hudud?

Bagi yang memperjuangkan hukum Islam, ingatlah bahawa Islam tidak semata-mata memperjuangkan hukum hudud. Pesan Dr. Sano Kautoub Moustapha:

"Memang benar bahawa masyarkat Islam harus menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang salah. Tanggungjawab itu tidak hanya berkaitan dengan hudud melainkan dikaitkan juga dengan kejahatan yang lain seperti rasuah, melawan ibu bapa, melemahkan ajaran Islam, kemalasan, kemunafikan, mengumpat dan sebagainya."[10]

2) Adakah hukuman hudud dikenakan keatas orang Islam sahaja? Bagaimana dengan bukan Islam?

Soalan seperti ini, al-Faqir telah bertanya sendiri kepada Ustaz Azhar Idrus melalui laman Facebook milik beliau:

"hudud tu dikenakan juga atas orang kafir kah?"

Maka jawab Ustaz Azhar Idrus:

"Terpulang kepada pemerintah."

3) Jika pelaku kesalahan hudud bertaubat adakah gugur hukuman hudud ke atas dirinya?

Kita mengambil contoh situasi jika seorang lelaki dan seorang perempuan telah berzina, kemudian mereka benar-benar bertaubat dan berusaha untuk melangsungkan perkahwinan, maka hukumnya gugur asal sahaja perkara itu tidak sampai kepada pihak yang berkuasa atau raja negeri Islam, sebab rajalah yang seharusnya melaksanakan hukuman itu. Perkara ini dijelaskan oleh Dr. Sabri Abdul Raouf.[11]

  
4) Tanggungjawab siapakah hukuman ini? rakyat atau pemerintah?

Ibn Taimiyyah berkata didalam السياسة الشريعة al-Siyasah al-Syar'iah:

ان ولاية امر الناس اعظم واجبات الدين بل لا قيام للدين إلا بها ولأن الله تعالى اوجب الا مر بالمعروف والنّهى عن منكر ونصرة المظلوم وكذلك سائرما اوجبه من الجهد والعدل واقامة الحدود لا تتمّ إلا بالقوّة والإمارة

"Memimpin dan menguasai adalah antara kewajiban agama yang terbesar. Tidak akan tertegak agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) menyuruh kepa yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, berjihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teraju kepimpinan."

Abdul Karim Zaidan didalam نِظَامُ القَضَاءِ فِي الشَّرِيعَةِ الإِسْلَامِيَّةِ berkata:

"Undang-undang Islam ialah syari'at Islam, maka ialah undang-undang yang wajib dilaksanakan. Para hakim mesti mendasarkan keputusan-keputusannya kepada undang-undang tersebut dalam semua dakwaan yang didengarinya tanpa kecuali, sama ada yang berkaitan dengan jenayah mahupun sivil, sama ada pihak yang terlibat dalam dakwaan itu terdiri dari warganegara Islam atau orang asing, sama  ada mereka itu kesemuanya orang Islam atau bukan Islam. Maka kedaulatan undang-undang Islam mencakupi ke atas sekalian mereka itu dan ke atas semua jenis dakwaan tanpa kecuali seperti mana yang saya katakan. Dan tidak harus sama sekali bagi seorang hakim menjatuhkan hukuman dengan selain dari syariat Islam, kerana ia adalah merupakan undang-undang yang mesti dilaksanakan."[12]

Bermakna, seorang rakyat tidak boleh menjalankan hudud tanpa kebenaran pemerintah. Ini disokong oleh kenyataan Ustaz Azhar Idrus:

"Kewajiban melaksanakan hukum hudud menjadi tanggungjawab pemerintah bukannya atas rakyat jelata. Rakyat WAJIB menegur pemerintah yang tidak melaksanakan hudud. Sekiranya ada golongan yang mahu melaksanakan hukum hudud, semua rakyat wajib menyokongnya. Rakyat yang redha atas pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud adalah berdosa."[13]


Wahai pemimpin, kami mengajak anda merenungi hadith Nabi:

"وَماَ لَم تَحْكُمْ أَئِمَتُهُمْ بِكِتاَبِ اللهِ وَيَتَخيَّرُوْا مِمَّا أَنْزَلَ اللهُ اِلاَّ جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ..."

-رواه ابن ماجه في كتاب الفتان-
   
"...Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (disaat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri."

(HR Ibn Majah)

Menurut as-Syaikh Ahmad Fahmi Zam-Zam, perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum Allah S.W.T dan tidak mahu menjadikan al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.[14] Jadi, tidak hairan kita lihat pada mutakhir ini dalam kalangan manusia itu bertengkar sesama sendiri.


5) Bolehkah hukuman hudud ini ditangguhkan jika telah sabit kesalahan yang dilakukan?

 "Perlaksaan syariah merangkumi penangguhan. Apabila sesuatu undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan atas sebab syari'e, sebenarnya itu juga adalah pelaksanaan syariah.

Saya mengatakan demikian berdasarkan contoh daripada Nabi yang menangguhkan pemotongan tangan ke atas pencuri yang mencuri sewaktu berperang kerana bimbang dia akan masuk ke dalam kumpulan kafir. Penangguhan sebegini adalah perlaksanaan syariah dalam bentuk yang lain iaitu menolak fitnah dan kesusahan yang lebih berat."[15]

6) Apakah dia hukuman hudud yang dikenakan ke atas kesalahan hudud?

Ruangan adalah terbatas, saya nyatakan secara ringkas sahaja.[16] Syarah untuk perkara ini, kalian boleh menuntut ilmu daripada para asatizah, masyaikh dan 'alim ulama.

a) Zina
i) Penzina yang belum berkahwin: sebat 100 kali
ii) Penzina yang sudah berkahwin: Rejam sampai mati

b) Qazaf (tuduhan zina tanpa bukti)
80 kali sebatan

c) Minum arak
40 kali sebatan

d) Mencuri
Potong tangan

e) Merompak
i) Merompak dengan membunuh: balas bunuh
ii) Merompak sahaja: potong tangan kanan dan kaki kiri dan jika masih merompak, tangan kiri dan kaki kanan.
Merompak dengan menganggu ketenteraman awam: penjara

f) Murtad
Bunuh selepas diberi tempoh bertaubat selama tiga hari ataupun tiga kali


7) Benarkah hukuman hudud ini adalah hukuman yang keras? Ataupun ia hanya sekadar dakwaan semata-mata?


Dr. Ahmad Syauqi al-Fanjari (دكتور أحمد شوقي الفنجري) dalam bukunya كَيْفَ نَحُكمْ بِالإِسْلاَم فِي دَوْلَة عَصْرِيَّة Kaifa Nahkum Bil-Islam Fi Daulah 'Asyriyyah (Bagaimana Kita Hendak Memerintah Dengan Islam Dalam Negara Moden) berkata:

"Hukuman-hukuman fizikal yang dibawa oleh Islam dianggap oleh dunia moden hari ini sebagai keras. Untuk menjawab tuduhan ini kita menyatakan; Ya, sememangnya ia keras jika dilaksanakan dalam masyarkaat seperti Barat/Eropah hari ini. Namun ia tidak keras jika dilaksanakan di dalam masyarakat Islam. Kenapa? Kerana di dalam masyarakat Barat/ Eropah, mereka memberi kebenaran kepada segala unsur yang merosakkan dan menyeleweng. Arak, pelacuran, penzinaan dan perkara-perkara yang mendorong seks dibenarkan dengan sokongan undang-undang sendiri. Apabila ada dari mereka yang mabuk dan hilang akal dan bertindak liar membunuh atau mencuri, tiba-tiba mereka ditangkap dan dipenjara. Tidakkah itu memperlihatkan pertentangan yang pelik.

Masuk akalkah, kamu menjual kepada orang arak dan menggalakkan mereka meminumnya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka mabuk disebabkan arak itu. Atau kamu membuka kepada orang ramai pintu-pintu kepada kerosakan, dan perkara-perkara yang mendorong kepada seks, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka keluar merogol/ memperkosa anak-anak gadis di jalanan. Atau kamu mengemukakan kepada orang ramai filem-filem ganas yang memuja menonjolkan aksi mencuri, rompakan bank dan sebagainya, kemudian kamu menghukum mereka apabila mereka meniru aksi-aksi dalam filem tersebut.

Segala faktor penyelewengan di atas tidak akan ditemui dalam masyarakat Islam (yang sebenar) yang hidup dalam naungan sebuah negara Islam. Oleh itu, tidak ada alasan untuk sesiapapun melakukan penyelewengan selepas itu..."[17]

Soalan-soalan perihal hudud yang perlu juga di renungi:

1) Bagaimana jika pemimpin yang melaksanakan kesalahan tersebut, adakah mendapat pelepasan?
2) Jika satu kumpulan melakukan kesalahan hudud terhadap seorang mangsa, adakah satu kumpulan tersebut akan dijatuhkan hukuman hudud?
3) Kalau tertuduh yang melakukan kesalahan hudud menarik balik kesalahan?
4) Bagaima jika tidak ada saksi? atau tidak ada bukti yang kukuh?
5) Bolehkah hudud dijatuhkan atas dasar sangkaan semata-mata?

Banyak lagi persoalan yang perlu di perjelaskan kepada masyarakat bahawa hudud ini adalah sistem undang-undang yang menjamin hak-hak manusia.

*******************************************************************************************************************

Wahai pejuang agama Islam! Apa yang hendak ditekankan disini, al-Quran bukan semata-mata bahan bacaan. Namun ia adalah sumber hukum yang boleh diambil dan wajib diambil. Perbincangan yang perlu HANYA perlaksanaan undang-undang.

Meminjam kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

"...Allah tidak menurunkan undang-undang dalam kitab suci dan lisan Rasul-Nya hanya untuk di ambil berkatnya sahaja atau hanya untuk dibacakan ke atas orang mati dan digantung menjadi perhiasan di dinding rumah. Tetapi Allah S.W.T telah menurunkannya untuk ditaati, dilaksanakan dan untuk menjadi dasar hukum bagi hubungan antara sesama manusia. Juga untuk memberikan panduang kepada jalan kehidupan agar sesuai dengan perintah, hukum dan syariat Allah."[18]

Mengakhiri tulisan, teringat pesan Tok Ayah Abul Khair Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Mahmud al-Kedahi:

"Kamu jangan jadi seperti kerengga, dia duduk di pokok buah-buahan tetapi tidak makan buah, bila ada manusia nak ambil buah dia pun kacau (marah)."[19]

Kita marah orang kacau kita punya agama, tetapi kita sendiri tidak mahu melaksanakan kandungan agama kita. Fikir-fikirkanlah.

Allahu'alam.



RUJUKAN:

[1] Wikipedia.org/Bandar_Raya_New_York


[3] Zakir Abdul Karim Naik (Dr)(2013), Jawapan Kepada Pertanyaan Bukan Islam Tentang Islam, Johor Bharu: Jahabersa hlm. 133

[4] ACP (B) Mohd. Reduan Aslie (2009), Jenayah, Selangor: Alaf 21 Sdn. Bhd hlm. 262

[5]  Dato Ismail Kamus (2009) Indahnya Hidup Bersyariat, Selangor: Telaga Biru Sdn. Bhd hlm. 252

[6] Paizah Haji Ismail (2008), Undang-Undang Jenayah Islam, Selangor: Tradisis Ilmu Sdn. Bhd hlm. 3

[7] Noor Aziah Mohd Awal (2010), Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Malaysia, Selangor: International Law Book Service hlm. 11


[9] Paizah Haji Ismail (2008), Undang-Undang Jenayah Islam, Selangor: Tradisi Ilmu Sdn Bhd hlm. 173

[10] Daud Baharom (2006), Fatwa, Selangor: Gading Kreatif hlm.48 dan 49

[11] Daud Baharom (2006), Fatwa, Selangor: Gading Kreatif hlm.55

[12] Abdul Karim Zaidan (Prof)(Dr)(2010), Sistem Kehakiman Islam (نِظَامُ القَضَاءِ فِي الشَّرِيعَةِ الإِسْلَامِيَّةِ), Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid hlm. 323

[13] Ustaz Azhar Idrus (2012), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat, Selangor: PTS Islamika Sdn Bhd. hlm. 54

[14] Shaikh Ahmad Fahmi Zam-Zam (2008), 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Kedah: Khazanah Banjariah Maahad Tarbiah Islamiah hlm. 85

[15] Al-Ustaz Isu 23: Wasatiyyah; Karakter Poliktif Islam hlm. 8 dan 87

[16] Ustaz Azhar Idrus (2012), Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat, Selangor: PTS Islamika Sdn Bhd. hlm. 52 dan 53

[17] Ahmad Adnan Fadzil (2007), 60 Soalan Bagi Soalan Anda, Kedah: Wawasan Ummah hlm.166

[18] Yusuf al-Qaradhawi (Prof)(Dr)(2011), Fiqh Kenegaraan (فقه الدولة), Selangor: Blue-T Publication Sdn. Bhd hlm. 147

[19] Tok Ayah Abul Khair Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Mahmud al-Kedahi (2011), Ruhul Zikri, Thailand: Kota Tauhid Ltd.


Jumaat, 1 Ogos 2014

Tanam Tumbuhan di Kubur

Soalan:

Saya dengar ada seorang Ustaz meriwayatkan bahawa Nabi menanam pohon tamar di atas kubur bagi meringan beban orang tersebut. Benarkah ada pandangan menyatakan tidak boleh menanam pohon tamar diatas kubur? Boleh datangkan dari kedua-dua pandangan? Tq.

Jawaban:

Saya bercakap atas dasar ilmu yang telah dizahirkan kepada saya. Mohon rujuk kepada asatizah, masyaikh, dan 'alim ulama. Mereka lebih layak bercakap perihal agama berbanding saya.

Baik, kalau melihat didalam al-Quran, telah dinyatakan bahawa haiwan dan tumbuhan juga turut bertasbih kepada Allah. Firman Allah:

"Bertasbih kepada ALlah apa-apa yang ada dilangit dan apa-apa yang ada dibumi." (Surah al-Taghabun:1). Boleh juga rujuk surah al-Israk ayat 44.

Moga-moga dengan tasbih oleh bunga tersebut boleh memberi manfaat kepada yang berada dalam kubur.
Malah, dibolehkan menggunakan pelepah, ranting-ranting yang basah dan segar.[1]

Hadis baginda mengambil pelepah tamar dan mematahkannya kemudian meletakkan diatas kubur orang yang diazab sebab suka mengadu domba, dan kencing tak dibersihkan dengan betul adalah hadis Sahihain (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis tersebut, ulama menyatakan sunat meletakkan tumbuhan yang hidup dengan tujuan mendoakan penghuni kubur.[2]

Ibn Hajar al-Haitami dalam Fatawa al-Hadisiyyah menyatakan:

"Para ulama berinstinbat daripada perbuatan Nabi S.A.W mencacak dua pelepah tamar di atas kubur, untuk bolehnya mencacak pokok dan bunga..."

Adapun pandangan yang menyatakan sebaliknya adalah pandangan yang perlu dihormati. Berkata Bin Baz[3]:

"Perbuatan baginda menanam pelepah tamar hidup adalah kerana Allah memperlihatkan kepadanya azab yang dikenakan kepada mereka berdua. Perbuatan tersebut adalah khusus untuk baginda sahaja. Baginda tidak melakukan demikian di atas kubur yang lain." (Rujuk Majmu' Fatawa Syeikh Ibn Baz, jilid 5, halaman 497)

Allahu'alam.


RUJUKAN:

[1] Muhadir Bin Haji Joll (2014), Khilafiah, Kuala Lumpur: Inteam Records Sdn Bhd. h.535-537
[2] Muhammad Aizudin Haji Kamarul Zaman (2013), al-Ustaz Isu 14; Cara Hidup Islam, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd. h.104-105
[3] Yusof Arbain (2008), Jenazah [Himpunan Fatwa Muhammad Bin Soleh al-Munajjid, Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin, Abdul Rahman al-Barrak,Abdul Aziz Bin Baz beserta terjemahan kitab Ahkam al-Janaaiz wa Bida'uha oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani], Selangor Darul Ehsan: Karya Bestari. h.123

Isnin, 28 Julai 2014

Solat bertayamum kemudian turun Hujan

Soalan:

Kalau dia dah bertayammum waktu tengah solat pastu hujan turun... macamana solat dia. Nak batalkan ke...?


Jawaban:


Perkara yang membatalkan  tayammum ada 4:

1. Perkara yang membatalkan wuduk.
2. Terdapat air
3. Berkemampuan menggunakan air tetapi sengaja menggunakan tayammum.
4. Murtad.

Berkata pengarang kitab Fiqh Manhaji[1]:

"...Tayammum terbatal apabila ada air namun solat dengan tayammum tetap sah dan tidak perlu diqadha' sekiranya air didapati selepas solat tersebut selesai. Begitu juga sekiranya air didapati setelah solat dimulai, solat tersebut boleh diteruskan dan hukumnya sah. Tetapi menghentikan solat itu untuk berwuduk dan bersolat semula dengan wuduk adalah lebih baik."

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji.(2011) Manhaj Fiqh al-Syafie Jilid I. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Jumaat, 25 Julai 2014

Qada Puasa dan Fidyah


Soalan:

Saya tinggal satu hari puasa pada 2012. Saya tak ganti puasa sampailah masuk Ramadan 2013. Selepas habis Ramadan 2013, saya selesaikan hutang-hutang puasa. Tapi fidyah nya belum bayar. Sekarang dah masuk Ramadan 2014, dan fidyah tu belum lagi dibayar. Adakah saya kena bayar dua kali ganda fidyah yang dulu tu, padahal puasanya dah selesai.


Jawapan:

1.      Saya tinggal satu hari puasa pada 2012. Saya tak ganti puasa sampailah masuk Ramadan 2013.”

Orang yang dikenakan qada dan fidyah ialah[1]:

I)                   Wanita mengandung yang berbuka puasa kerana anaknya.
II)                Wanita menyusukan anak yang berbuka puasa kerana anaknya.
III)             Seorang yang terpaksa berbuka kerana menyelamatkan orang lain.
IV)             Melewat-lewatkan ganti puasa hingga masuk Ramadan yang baharu dengan sengaja.
V)                Orang yang mati dengan meninggalkan puasa.

Maka anda adalah golongan yang ‘melewat-lewatkan ganti puasa hingga masuk Ramadan yang baharu dengan sengaja.

Berkata pengarang kitab Fiqh Manhaji[2],

“Jika cuai dan tidak mengqadanya sehingga masuk bulan Ramadan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqada puasanya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang di langkaui nya.”

2.      Selepas habis Ramadan 2013, saya selesaikan hutang-hutang puasa. Tapi fidyah nya belum bayar. Sekarang dah masuk Ramadan 2014, dan fidyah tu belum lagi dibayar.”

Satu hari tidak berpuasa Ramadan pada tahun 2012 (1433H) sehingga masuk Ramadan 2013 (1434H), maka kena qada puasa yang tertinggal dan dikenakan satu fidyah sahaja. Kemudian anda selesai qada satu hari puasa yang anda tinggal tahun 2012 selepas Ramadan tahun 2013 (1434H) tanpa membayar fidyah. Kemudian, masuk Ramadan tahun 2014 (1435H) dan anda masih tak menjelaskan satu fidyah tersebut. Maka anda hanya perlu menjelaskan satu fidyah tersebut sahaja tanpa digandakan fidyah.

3.      Adakah saya kena bayar dua kali ganda fidyah yang dulu tu, padahal puasanya dah selesai?”
Ustaz Azhar Idrus[3] berkata:

“Puasa yang sudah di qada tidak lagi berganda fidyah nya. Bilangan fidyah hanya mengikut bilangan baki yang belum di qada sahaja.”

Allahu’alam.


[1] Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (2013), A-Z Soal Jawab Puasa, Solat Tarawih, Zakat Fitrah & Hari Raya m/s 157, Selangor Darul Ehsan: Telaga Biru Sdn. Bhd
[2] Mustafa a-Khin (Dr), Mustafa al-Bugha (Dr), ‘Ali al-Syarbaji,(2011), Al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie (Terjemahan), Negeri Sembilan Darul Khusus: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
[3] Himpunan Soal Jawab Puasa Ustaz Azhar Idrus

Ahad, 29 Jun 2014

Syiah dan Saidina Ali

Soalan:

Kalaulah Saidina Ali masih hidup, mungkin ustaz/abang tahu,

1. Apa pendapat Saidina Ali tentang Syiah.
2. Adakah Saidina Ali mengecam Syiah?


Jawaban:

Saidina Ali RadiyAllahu anhu berkata:

"Akan binasa padaku yang kasihkan aku secara melampau, dia mendewa-dewakan aku dengan apa yang tidak ada padaku; dan juga orang benci padaku, sehingga kebencian itu mendorongnya menuduh aku dengan perkara-perkara yang tidak ada padaku."[1]

Saidina Ali radiyAllahu anhu meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W., 

"Akan datang selepasku satu kaum, bagi mereka gelaran yang dipanggil ar-Rafidhah." Tanya Saidina Ali r.a, "Ya Rasulullah! Apakah tanda pada mereka?" "Mereka memuji kamu dengan apa yang tidak ada pada kamu dan mereka mencerca golongan salaf (seperti sahabat Rasulullah S.A.W)."[2]

Allahu'alam


NOTA KAKI

[1] Wan Zahidi Bin Wan Teh (Dato') (2012), Majalah Q&A Isu 7: Syiah Tiada Hubungan Dengan Ahlul Bait m/s 5 dan 6. Selangor Darul Ehsan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
[2] Hadith Riwayat Daruqutni

Sabtu, 28 Jun 2014

Zina hati

Soalan:

Assalamu'alaikum. Nak tanya..
Zina hati macam mana ek?


Jawaban:

Dalam hadis yang sahih, Nabi S.A.W bersabda;

"...mata itu boleh berzina dan zinanya adalah pandangan, lidah itu boleh berzina dan zinanya adalah perkataan, kaki itu boleh berzina dan zinanya adalah ayunan langkah, tangan itu boleh berzina dan zinanya adalah tangkapan yang keras, hati itu boleh berkeinginan dan berangan-angan sedangkan kemaluan membenarkan yang demikian itu atau mendustakannya."

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, Nasaie dan Abu Dawud)

Telah berkata Ibn Qayyim al-Jauziyyah[1];

"Yang pertama kali disebutkan zina mata,  kerana inilah dasar dari zina tangan, kaki, hati dan kemaluan."

Maka, daripada soalan yang ditanyakan, jawapannya telah dijawab oleh Nabi S.A.W sendiri, iaitu "hati itu boleh berkeinginan dan berangan-angan..."

Allahu'alam


NOTA KAKI:

[1] Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Raudhah Muhibb wa Nuzhah al-Musytaqin
روضه المحبين و نزهه المشتاقين

Apa Perlu Agama Kalau Sudah Baik?

Soalan:

Allah bagi ada agama ni untuk mengajar manusia jadi baik...kan?

Tetapi, ada hamba Allah ni kata dia dah baik, apa guna lagi Allah adakan agama?

Jawaban:

Allah SWT berfirman[1],


"Dan siapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun."

Bila kita memahami ayat ini, kita akan dapati bahawa kunci nak masuk syurga ialah beriman, dan nak beramal mesti beriman.

Nasihat saya, kita cuba jangan 'bajet' bagus dengan kebaikan yang kita lakukan, saya tanya, siapa yang ciptakan kebaikan itu sendiri. Bukankah Allah?

Saya ingin membawa satu anologi mudah. Minta maaf, saya perlu buat analogi seperti ini. Bukanlah saya nak merendahkan Islam itu sendiri. Saya bawa contoh, ada sebuah kenderaan dan ada seorang pemandu. Ada kenderaan yang baik sahaja tidak akan berguna kalau tidak ada orang yang reti memandu kenderaan tersebut. 

Ada Mercedes yang hebat tidak akan bergerak jikalau pemandu tidak pernah memandu apa-apa kenderaan bermotor. Islam adalah kenderaan yang paling bagus, maka sangat rugi bagi pengguna yang tidak tahu menggunakannya.

Allahu'alam


NOTA KAKI

[1] an-Nisa 4:124


Isnin, 12 Mei 2014

Ibn Taimiyyah

Soalan 

Minta maaflah, saya nak tahu juga berkenaan Ibn Taimiyyah.

Ada yang agak ektrimis, melabel sebagai wahabi, ada yang melabel sebagai kafir.


Jawaban:
 
1. Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

"Ibn Taimiyyah dia memang bukan wahabi lah. Ibn Taimiyyah dia hidup sebelum Muhammad Abdul Wahab. Dan Ibn Taimiyyah adalah seorang tokoh Mujtahid, kalau nak tengok fasal Ibn Taimiyyah memang dia ada tersalah, memang dia ada tersilap, sebagaimana yang disebut oleh az-Zahaby. Tetapi Ibn Katheer dia salah seorang anak muridnya memuji dia sebagai Imam, al-faqqih, al-Muhaddith. Jadi mereka hidup hampir satu zaman. Mereka lebih faham siapa Ibn Taimiyyah daripada kita.

Kita harini kalau kita kata Ibn Taimiyyah sesat kita kadang-kadang ambil daripada kitab-kitab yang adakalanya diubah, jadi lebih baik kita ambil daripada pandangan Ibn Katheer, pandangan (Ibn Katheer) dalam Bidayah wa Nihayah ada[1]. Kita ambil daripada kitab az-Zahaby ada sebut, al-Durar al-Kaminah oleh Ibn Hajar[2].

Ulama kontemporari yang nampak insaf dalam menghuraikan Ibn Taimiyyah; Syeikh Muhammad Abu Zuhrah dalam kitabnya bertajuk Ibn Taimiyyah. Boleh baca kat situ dimana kesilapan silam Ibn Taimiyyah tetapi sebagai manusia biasa akan ada kesilapan...kesilapan kegelinciran para ulama. 
Maka kita tak boleh nak kata dengan sebab itu dia terus kafir.

Kita kena takwilkan maksud-maksud dia yang dia kata tu kepada takwilan yang betul. Kenapa kita nak takwilan-takwilan terus yang mengkafirkan dia.

Jadi bukan tugas kitalah. Kalau dia kafir tak kafir ke, 

ilmu-ilmu dia yang betul tu sentiasa boleh dipakai. Kita boleh ambil ilmu daripada orang kafir kalau betul dia kafir pun. So apa big deal nya?

Sebahagiannya (yang dituduh kepada Ibn Taimiyyah itu) fitnah, sebahagiannya takwilan yang buruk. Sebab itu Saidina Umar pernah sebut:

"Kalau kamu dapat dengar satu kata orang mukmim, kamu jangan takwil dia jadi salah dulu kalau ada ruang takwil dia betul."[3]

So Ibn Taimiyyah macam tu,dia mangsa dia sebab dia banyak musuh di kalangan ahli Sufi, dengan orang Syiah, lalu mereka mentakwilkannya kepada kekafiran. Habislah.

Sebahagian nya tak betul, sebahagian mungkin ada tersilap, ada kegelinciran lidah."


2. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

"Kategori yang masyhur, beliau ni tidaklah sampai kepada kafir. Dia ni berijtihad. Jadi kita tengok Dr. Yusuf al-Qaradhawi tak kata (beliau kafir).

Bahkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan pun dari segi penghujahan banyak mengambil pendapat Ibn Taimiyyah. Dan pendapat seperti dalam bab muamalat banyak diambil.

Jadi kita tak bolehlah, bagi saya tak sepatutnya kita tak mudah mengkategori orang tu sebagai kafir, atau silap, sebagainya.

Jadi lebih baik kita menghormati, menyatakan: Semoga Allah merahmati mereka semua.

al-Ghazzali; Allah merahmati, Ibn Taimiyyah; Allah merahmati, Sheikh Abdul Qadir Jailani: Allah merahmati, Ibn Qayyim; Allah merahmati, Sheikh Abdul Wahab Sya'rani; Allah merahmati.

Saya kurang berseleralah dengan cara macam tu, kurang seronoklah dengan label melabel ni."


3. Dr. Zahazan Mohamaed

"Wallahu'alam. Ibn Taimiyyah sebahagian para ulama ahli sunnah.

Kesilapan memang semua manusia ada kesilapan-lah. Jadi, kesilapan beliau memang ada tetapi kita sebagai terkemudian ini kita eloklah termasuk dalam ayat[4],


"Allah, ampuni dosa kami dan ampuni dosa mereka yang terdahulu dalam iman..."

Tiada siapa yang maksum melainkan Rasulullah."


4. Ustaz Aminuddin Abdul Rahim:

"...Ada pendapat-pendapat dia yang sekadar kita baca tetapi tidak boleh diamalkan dan tidak boleh difatwakan..."

Allahu'alam


NOTA KAKI

[1] Ibn Katheer berkata didalam Bidayah wa Nihayah, "Aku mendapati bahawa al-Shaykh al-Islam Abu al-Abbas (merujuk kepada Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah) tergolong dalam golongan ulama besar. Beliau sering melakukan kebenaran dan kesilapan. Walau bagaimanapun hanya sedikit kesalahannya. Ibarat setitis air ke dalam laut yang luas." [Terjemahan Bidayah Wa Nihayah, Jilid 14]
[2] Merujuk kepada Ibn Hajar al-Asqalani
[3] لا تظن بكلمة جرجت من أخيك المؤمن شرأ وأنت تجد لها في الخير محملا

Janganlah menyangka buruk dari satu kalimah dari saudaramu yang mukmin sedangkan engkau boleh dapati padanya kemungkinan kebaikan (ertinya takwilan atau andaian maksud kebaikan)
Rujukan:  https://ms-my.facebook.com/zaharuddin.abdrahman.1/posts/684911128237196
[4] Surah al-Hasyr ayat 10