AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 27 Oktober 2013

Bolehkah berwuduk dengan air laut?

Soalan:

Apa hukum ambil wuduk dengan air laut?

Jawapan:

Untuk berwuduk kita perlu menggunakan air mutlak dan boleh juga menggunakan air musyammas. Namun air yang kedua (air musyammas) itu makruh digunakan.[1]

Maka kita perlu tahu takrifan air mutlak. Air mutlak ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama kecuali pada sebutan sahaja, bukan pada hakikatnya. Air mutlak di-itlaq-kan iaitu semata-mata air tidak dikaitkan dengan air yang lain. Kadangkala dikenali sebagai air murni atau air sejati.[2]

Pembahagiannya pula, menurut ulama, air mutlak ini terbahagi kepada dua iaitu:

1. Turun dari langit- Air embun, air hujan, dan salji
2. Terbit dari bumi- Air sungai, air laut, air telaga dan air mata air.

Maka hukum menggunakan air laut sebagai berwuduk (dan mengangkat hadas) adalah harus.[3]

Dalilnya ialah dalam Hadith Riwayat Abu Daud:

"Wahai Rasulullah, kami ini nelayan dan kami bawa sedikit air. Kalau kami menggunakannya untuk berwuduk, kami akan kekurangan air minum dan kami akan kehausan. Bolehkah kami berwuduk dengan menggunakan air laut? Rasulullah menjawab, "Air laut itu al-Tahur (suci dan menyucikan). Segala bangkai (air laut) itu halal."


Rujukan:

[1] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh Al-Syafie
[2] Ahmad Adnan Fadzil. 30 Sifat Wuduk Nabi Muhammad S.A.W
[3] Dato Ismail Kamus. Al-Ustaz Isu Perdana: Fiqah Harian; Bolehkah Berwuduk Dengan Air Laut?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan