AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 13 Oktober 2013

Hikmah Rasulullah berpoligami

Soalan:

Saya nak tahu, mengapa Rasulullah berpoligami? Saya faham ianya perintah Tuhan tetapi mesti ada sebab Rasulullah berkahwin ramai. Boleh jelaskan kepada saya, dan secara kebetulannya menjawab juga persoalan kepada orang bukan Islam bahawa Rasulullah bukan gila seks.

Jawapan: [1]

Kita sedia maklum bahawa Nabi banyak menghabiskan masa mudanya sehingga berusia 50 tahun bersama seorang isteri SAHAJA yang berumur 15 tahun lebih tua. Siapakah dia? Tentulah Khadijah Binti Khuwailid r.ha. Baginda tidak berkahwin lain sehinggalah Khadijah r.ha wafat.

Tahukah anda bahawa, kaum lelaki mulai menurun berahinya pada setelah usia empat puluh tahun?[2] Bagaimana ada yang tergamak mengatakan Nabi berkahwin ramai kerana gila seks? Astaghfirullah.

Ulama menyatakan Nabi berkahwin sebanyak 11 orang dan kesemua mereka yang Nabi kahwini itu sudahpun berkahwin kecuali Aisyah r.ha. [3]

1. Memberi Penghormatan:

Rasulullah berkahwin dengan Aisyah walaupun Aisyah ketika itu masih belum layak untuk berkahwin. Bagaimanapun Rasulullah hanya menggaulinya kecuali selepas beberapa tahun. Tujuan Rasulullah berkahwin dengan Aisyah kerana ingin memberi keistimewaan kepada Abu Bakar, seorang sahabat yang paling dekat dengannya. Budaya di tanah Arab ketika itu, mengahwinkan anak dengan pembesar kaum adalah merupakan suatu penghormatan.

Begitu juga dengan perkahwinan Nabi dengan Hafsah bertujuan untuk memuliakan Umar al-Khattab. Umar r.a asalnya menawarkan Hafsah kepada Abu Bakar dan Uthman, namun mereka tidak memberikan jawaban. Akhirnya, Rasulullah menikahi Hafsah sebagai penghormatan memuliakan Umar al-Khattab.

Berkata Muhammad Rashid Reda dalam bukunya, 'Muhammad Rasulullah S.A.W', [4]

"Sebenarnya ramai dan banyaknya isteri Rasulullah S.A.W itu  bukanlah untuk memuaskan nafsu seks, tetapi tujuan utama Baginda berbuat demikian adalah untuk mencipta suasana silaturahim yang erat dan ikatan yang kuat antara Baginda dengan para sahabat dan pemuka-pemuka Arab lain melalui jalan semenda. Kerana dengan adanya silaturahim yang erat dan ikatan yang kuat melalui jalan persemendaan ini akan membantu dan menyokong Baginda khasnya dalam penyebaran Islam."

2. Menghapuskan kesedihan:

Kita mungkin sudah maklum bahawa selepas kematian Abu Salamah dalam perang uhud, Rasulullah melamar Ummu Salamah. Bukan bertujuan untuk sesuatu tetapi untuk meringankan perit jerih Ummu Salamah.

Ummu Habibah memiliki suami, namun suaminya tidak tahan dengan penderitaan yang terpaksa dihadapi ketika memasuki Islam. Lantas beliau kembali dan meninggalkan isterinya. Maka Nabi melamar beliau kerana ingin menghapuskan bebanan perasaan dan penderitaan jiwa yang ditanggungnya akibat tindakan suaminya.


3. Memecah tradisi:

Ada sebuah tradisi yang wujud pada zaman jahiliah iaitu haram berkahwin dengan bekas isteri kepada anak angkat. Sebab itu baginda berkahwin dengan isteri Zaid Bin Harithah iaitu Zainab Binti Jahsy. Kalau kita lihat sirah, Nabi pernah ditegur kerana memanggil Zaid Bin Harithah, anak angkat Nabi sebagai Zaid Bin Muhammad. Allah kemudian tegur didalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 5;

"Panggilah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (menggunakan) nama bapa-bapa mereka. Itulah yang lebih adil disisi Allah..."


4. Bukan atas tujuan kecantikan:

Adakah orang yang gila seks akan berkahwin dengan orang yang tua?

"Saya juga sudah tua seperti dirimu." kata Nabi Muhammad S.A.W. Ini disebabkan Ummu Salamah asyik berdalih ketika Nabi melamarnya dengan menyatakan alasannya bahawa dirinya (Ummu Salamah) sudah tua.

Begitu juga wanita seterusnya yang baginda berkahwin setelah Khadijah r.ha meninggal dunia, Zainab Binti Zam'ah. Beliau seorang wanita yang sudah tua, tiada apa-apa kelebihan pun berbanding wanita muda dan sudah tidak secantik mana.

Allahu'alam.

Rujukan:

[1] Majalah al-Ustaz isu nombor 3. Fatwa Semasa: Dr.Yusuf al-Qaradawi, Hikmah Rasulullah berpoligami. m/s 28 dan 29. Petikan daripada kitab Hady al-Islam Fatawa Mu'asirah.

[2] Muhammad Sofwan, Shihabuddin A.M.P, Mohd Najib (2013), Gerbang Perkahwinan, Selangor Darul Ehsan: Jasmin Publications  m/s 5266

[3] Majalah Q&A isu 21. Mufti: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Stia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Berapakah jumlah Isteri Nabi? m/s 9 dan 10.

[4] Majalah Q&A isu 21. Mufti: Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Stia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Berapakah jumlah Isteri Nabi? m/s 10.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan