AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Ahad, 27 Oktober 2013

Harut dan Marut

Soalan:

Boleh tak cerita kepada saya kisah Harut dan Marut?

Jawapan: [1]

Harut dan Marut hanya disebut sekali didalam al-Quran iaitu pada ayat 102.

"Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitanlah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut. Sedang kedua-duanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seseorang pun sebelum mengatakan: 'Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir. Maka mereka mempelajari daripada kedua-dua malaikat itu apa yang dengan sihir itu mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seseorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi sesungguhnya, mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui."

Disini mungkin boleh diterangkan berkenaan Harut dan Marut menurut ulama:

1.  Harut dan Marut adalah dua nama kabilah jin yang mengajarkan sihir.

Ibn Katheer memuatkan pendapat didalam tafsirnya dan mengatakan bahawa pendapat ini adalah pendapat yang sangat aneh dan asing. 


2. Harut dan Marut adalah manusia jahat yang mengajarkan sihir di daerah Babil.

Imam Ibn Jarir at-Thabari memuatkan pendapat ini didalam Jamiul Bayan fi Ta'wil al-Quran dan mengatakan bahawa pendapat ini adalah lemah.


3. Harut dan Marut adalah manusia yang soleh dan sangat baik yang tinggal di Babil.

Tharir Bin Asyur dalam kitabnya, at-Tahrir wat Tanwir menjelaskan bahawa Harut dan Marut adalah manusia yang soleh dan sangat baik, disebabkan itu penduduk Babil memuliakan mereka dan menganggap mereka seperti malaikat.


4. Harut dan Marut ialah malaikat yang diturunkan oleh Allah sebagai ujian dan cubaan manusia disaat itu.

Sihir adalah budaya penduduk Babil ketika itu maka Harut dan Marut mengajar sihir dengan maksud untuk orang dapat membezakan antara mukjizat dan sihir.

Pendapat ini mengatakan Harut dan Marut adalah Malakain yang diterangkan didalam al-Baqarah ayat 102. Ini merupakan pendapat sebahagian besar ulama tafsir dan jumhur ulama. Demikian diterangkan oleh Ibn Katheer didalam kitabnya.


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus. Majalah Q&A Isu 19: Celak Mata; Siapakah Harut dan Marut?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan