AhliMu MenJawab


“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Selasa, 29 Oktober 2013

Qada Solat Subuh

Soalan:

Kalau terlepas solat subuh nak qadha' macam mana? Boleh? Ana ni selalu terlepas subuh. Qadha' solat bila-bila masa je boleh kan? Saudara saya kata tak boleh. Dia kata kalau qadha' isyak, kena qada masa subuh. Qadha' zuhur kena masa asar.

Jawapan:

Mungkin dia ingat haram mengqadha'kan solat pada waktu yang haram. Sebenarnya menurut ulama[1], boleh melaksanakan qada' solat pada bila-bila waktu tanpa ada waktu haram untuk bersolat.

Nabi sendiri menyuruh kita menyegerakan qadha' solat sebagaimana hadith: “Sesiapa lupa daripada satu solat, hendaklah bersembahyang apabila dia teringat”.[2] Begitu juga terdapat hadith Riwayat Turmuzi[3], menyatakan:

"Maka apabila seseorang kamu terlupa akan solatnya atau kerana tertidur daripada solat, maka bersolatlah apabila kamu teringatkannya."

Nabi juga memberikan spesifik kepada orang yang tertidur untuk mengqadha'kan solat kerana tertidur ataupun terlupa, kata Nabi Muhammad S.A.W:

"Sesiapa yang tidur hingga tertinggal solat atau terlupa bersolat hendaklah melakukannya apabila telah teringat. Tiada kaffarah untuknya selain demikian."[4]

Kalimah 'Tiada kaffarah untuknya selain demikian" bermaksud solat fardhu yang tertinggal wajib diqadha'kan walaupun beberapa banyak dan beberapa lama solat telah ditinggalkan.[5]

Dan terdapat juga hadith bahawa Nabi bersolat pada waktu luput subuh[6].

"Kami beserta Nabi S.A.W. telah berhenti untuk tidur dan berehat, lalu kami tidak terjaga melainkan setelah matahari terbit (waktu subuh telah luput)... Kemudian Nabi minta didatangkan air lalu baginda mengambil wuduk, kemudian mengerjakan solat (sunat) dua rakaat (subuh). Kemudian apabila dilaungkan iqamah, baginda menunaikan solat subuh."

Sebuah hadith Riwayat Bukhari dan Muslim memuatkan[7], walaupun waktu subuh telah habis, Nabi Muhammad mengqadha'kan solat subuhnya dan ini menunjukkan tidak haram bersolat pada waktu larangan. Nabi juga pernah mengqadha solat sunat selepas zuhur kerana Nabi tidak dapat mengerjakan solat sunat selepas zuhur disebabkan kehadiran beberapa orang dari puak 'Abdil Qais telah datang memeluk Islam. Maka Nabi mengqadha'kan solat sunat selepas zuhur Nabi selepas solat asar (waktu yang diharamkan solat kerana perbuatan). Jika Nabi mengqadha'kan solat sunat, maka lebih utama jika mengqadha'kan solat yang fardhu.

Wallahu'alam


Rujukan:

[1] Ustaz Azhar Idrus. Majalah Q&A isu 16: Celak Mata; Waktu Haram Solat
[2] Hadith Riwayat Muslim no.680
[3] Ustaz Mohammad Nizam Abdul Kadir al-Jarumi. Soal Jawab Remeh Temeh Tentang SOLAT Tapi Anda Malu Bertanya...
[4] Hadith Riwayat Bukhari no.572 dan Hadith Riwayat Muslim no.684
[5] Dr.Mustafa al-Khin, Dr.Mustafa al-Bugha, 'Ali al-Syarbaji. Manhaj Fiqh Al-Syafie
[6] Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. 60 Jawapan Bagi Soalan Anda
[7]  Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. 60 Jawapan Bagi Soalan Anda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan